Sunday, June 21, 2009

MENGAPA MASIH KETINGGALAN?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Bumi kita subur mempunyai pelbagai hasil dan sumber alam yang kaya. Kita juga tidak kurang dari segi sumber tenaga manusia atau modal insannya. Tetapi kita masih menjual bahan mentah atau hasil bumi kita kepada orang lain dengan harga yang begitu murah dan kemudian kita mengimportnya kembali ke negara kita dengan harga yang mahal? Mengapa ini berlaku? Atau kita sekadar berserah?

Mungkin tahap kerja kita masih sekadar untuk memuaskan hati bos dan tidak untuk meningkatkan produktiviti sepenuhnya. Piawaian kerja yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan pihak atasan walaupun ia mampu untuk melakukan ke tahap yang lebih baik dan tinggi lagi. Dalam satu kisah, Rasulullah memasuki masjid ketika masih di luar waktu solat dan didapati Abu Umamah berada dalam masjid dan Rasulullah bertanya, “ mengapa kamu duduk di sini?”. Abu Umamah menjawab, “ hutang yang banyak dan kerisauan yang melanda”. Rasulullah kemudian mengajar satu doa yang bermaksud,

“ Ya Allah aku berlindung dari Mu perasaan gelisah dan sedih dan aku berlindung dari-Mu ketidakmampuan dan kemalasan”.

Berdasarkan doa yang dibacakan oleh Nabi itu ternyata ketidakmampuan dan juga sikap malas merupakan dua penyakit berbahaya, kita perlu sentiasa memohon perlindungan dari Allah semoga penyakit tersebut dijauhkan dari kita. Selain dari itu juga pada hari ini ramai di kalangan anak-anak muda yang memilih untuk menganggur daripada bekerja dengan alasan kelulusan atau ijazah yang mereka miliki tidak sesuai dengan kerja yang ada di pasaran. Dalam aspek ini Allah SWT telah mengingatkan melalui firman-Nya,

“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).

“Dan Sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

“Wahai orang-orang yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.


Berdasarkan ayat di atas Allah SWT telah memberikan formula ibadat kepada-Nya. Kita dituntut untuk melakukan solat dan kemudian diminta untuk berusaha mencari nafkah dan tidak duduk termenung, bersikap malas dan mengharap rezeki datang seperti meminta sedekah. Dalam ayat yang lain Allah SWT tentang galakan bekerja setelah solat malam. Firman Allah,

“Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang Yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah Yang menentukan Dengan tepat kadar masa malam dan siang. ia mengetahui Bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira Dengan tepat kadar masa itu, lalu ia menarik balik perintahNya Yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana Yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). ia juga mengetahui Bahawa akan ada di antara kamu orang-orang Yang sakit; dan Yang lainnya orang-orang Yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan Yang lainnya lagi orang-orang Yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamanya). maka bacalah mana-mana Yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (ikhlas). dan (ingatlah), apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan Yang sebaik-baiknya dan Yang amat besar pahalaNya. dan mintalah ampun kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Kenapa tidak berusaha

Kita selalu menemui pandangan yang keliru tentang orang yang taat terhadap agama tetapi gagal dalam bidang pekerjaan kerana tumpuan yang berlebihan dalam ibadatnya. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi sedangkan semua orang mempunyai pekerjaan? Al-Quran sering menekankan paduan antara aspek iman dan amal soleh. Tidakkah kerja seorang doktor yang membantu pesakit itu satu bentuk amal soleh? Atau ia tidak termasuk dalam amal soleh? Firman Allah SWT.

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu Wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur”.


Dalam hal ini jika kita mampu bekerja dengan baik, maka kerja yang baik dalam tempoh yang panjang itu merupakan tempoh kebaikan. Niatkan bahawa segala seluruh aktiviti atau profesion kita itu sebagai amal jariah yang merupakan sumbangan kepada seluruh umat dan agama.

Umar al-Khattab mengerjakan ladangnya secara berganti-ganti dengan salah seorang ahli Ansar. Sehari ia bekerja dan sehari dia bersama Rasulullah. Bagi Abu Bakar as-Siddiq pula yang keimanannya menyamai iman seluruh umat, pernah tiga kali menyumbangkan seluruh kekayaannya untuk kaum Muslimin, sewaktu hijrah, Perang Tabuk dan ketika memerangi murtad. Memang tidak menghairankan negara Abu Bakar seorang peniaga yang berjaya.

Begitu juga bagi Uthman al-Affan dan Abdul Rahman bin Auf yang banyak memberikan sumbangan kerana mereka juga peniaga yang berjaya. Mereka adalah di antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga. Bagi Umar al-Khattab pernah berkata, “ Demi tuhan, aku tidak ingin ajalku menjemput kecuali dalam dua keadaan, saat berjuang di jalan Allah ataupun ketika mencari nafkah”. Berdasarkan kenyataan Umar al-Khattab ini ternyata betapa pentingnya pekerjaan dalam hidup kita!

Sekiranya kita benar-benar bertawakal kepada Allah sudah pasti Allah akan memberi rezeki kepada kita seperti mana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada waktu pagi dengan perut kosong dan pulang ke sarang pada waktu petang dengan perut yang kenyang!

Apakah kita rela menjadi burung yang lumpuh?

Pernah dikisahkan tentang seorang pedagang di zaman Ibrahim Adham yang berniat untuk meninggalkan dunia perniagaannya. Tujuannya adalah untuk menumpukan sapenuh perhatian terhadap ibadah. Kemudian dia berjalan di sebuah gurun dan terserampak dengan seekor burung yang lumpuh. Dalam fikirannya timbul persoalan, bagaimanakah agaknya burung ini dapat makan?. Sedang ia berfikir tuba-tiba dia melihat burung lain datang membawa makanan kepada burung yang lumpuh itu. Niatnya untuk berhenti berniaga semakin kuat kerana ia melihat bahawa rezeki pasti ada kerana ada orang yang akan memberi rezeki kepadanya. Ketika menceritakan kisah tersebut kepada Ibrahim Adham, beliau bertanya kepada lelaki itu, “adalah engkau ingin menjadi seperti burung yang lumpuh itu? Sesungguhnya tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah”, kata Ibrahim Adham.

Bekerja merupakan ibadah. Namun penyataan ini perlu disesuaikan di tempat yang sepatutnya. Bukan bermaksud kita meninggalkan solat atas alasan pekerjaan ataupun sebaliknya iaitu meninggalkan pekerjaan kerana solat. Rasulullah pernah berjabat tangan dengan lelaki yang tapak tangannya kasar dan Baginda bersabda, “sesungguhnya Allah suka orang seperti ini”. Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, “pedagang yang jujur, seiring dengan para nabi, orang yang benar dan para syuhada” . Dalam hadis lain Baginda bersabda yang bermaksud, “ Sesiapa yang berkebun dan bercucuk tanam, kemudian hasilnya dimakan haiwan, burung dan manusia, maka ia mendapat keampunan pada setiap buah yang dimakan hasil dari tanamannya itu” . Nabi juga ada bersabda yang bermaksud, “Allah menyukai Muslim yang profesional” .

Semasa pemerintahannya Umar al-Khattab sering melawat masjid-masjid di luar waktu sembahyang bagi meninjau kalau-kalau terdapat di kalangan rakyatnya duduk-duduk di masjid sedangkan waktu sembahyang belum tiba lagi. Lalu Umar bertanya, “Apakah menyebabkan kamu sekalian duduk-duduk di sini?”. “Kami memohon rezeki dari Allah”. Mendengar kata itu, Umar mengangkat tongkatnya lalu memukul mereka “ celakalah kamu sekalian, tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat rezeki jika asyik duduk di sini tanpa berusaha. Sesungguhnya emas dan perak tidak turun dari langit”.

Apakah umat Islam rela dan suka menjadi seperti burung yang lumpuh? Harapan kita bersama agar umat Islam tidak menjadi begitu dan akan menjadi umat yang rajin dan mempunyai kekayaan yang dapat membantu orang lain. Hadis Rasulullah mengingatkan kita tentang keutamaan makan dengan usaha dan produk yang dihasilkan sendiri. “ Tidak ada seseorang pun yang makan, lebih baik makan hasil jerih payahnya sendiri”.

Kebangkitan umat amat ditentukan oleh keikhlasan kita bekerja dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan umat. Bila keseluruhan umat telah bertekad untuk bekerja dengan kuat dan semangat segala masalah dapat diselesaikan dan kemajuan umat dapat dicapai. Ingatlah bahawa perubahan tidak akan wujud selagi rezeki kita masih bergantung pada orang

1 comment:

Anonymous said...

Kita masih negara membangun walaupun telah 51 yahun merdfeka. Mengapa?

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024