Monday, June 22, 2009

KITA ADALAH UMAT YANG MULIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Seorang Muslim secara fitrahnya adalah mulia di sisi Allah SWT disebabkan diri, agama, al-Quran dan tanah airnya. Ini berbeza dengan orang fasiq yang jauh dari tuhan, menghinakan diri dengan kerja-kerja maksiat, pasif dan meremehkan orang Islam. Bagi orang fasiq dan kafir sesuap nasi lebih penting atau lebih mahal dari kehormatan dirinya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan nafsu dan keperluan dapat dipenuhi. Kita telah ditakdirkan oleh Allah SWT sebagai umat yang mulia. Bagaimananya mungkin tidak menggadaikan kehormatan dan harga diri dan kemudian menjadi hina disebabkan diri kita sendiri ?

Mengapa menjadikan diri kita dihina

Seorang guru telah menghukum pelajarnya di hadapan rakan-rakannya yang bermaksud untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada pelajar berkenaan akan kesalahan tersebut, namun sebenarnya tindakan tersebut merupakan satu penghinaan kepada pelajar dan telah mengakibatkan kesan negatif kepada pelajar iaitu pelajar akan kehilangan harga diri. Bagi seseorang yang telah dihina, tidak mudah baginya untuk melupakan perkara tersebut kerana amat sukar seseorang itu untuk berlapang dada jika ia dihina di hadapan umum.

Dalam kes yang lain pula, suami mendera atau memukul isteri di hadapan anak-anak Perbuatan tersebut akan memberikan kesan psikologi kepada isteri dan olah-olah ia dihina di hadapan anak-anak oleh suami. Sesungguhnya perbuatan ini amat bertentangan dengan akhlak Islam. Rasulullahlah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya atau para pembantunya. Rasulullah juga melarang suami memukul isterinya di bahagian muka atau di tempat-tempat yang sensitif, ini adalah kerana muka merupakan lambang kehormatan.

Dalam kehidupan kita seharian, banyak sekali perlakuan atau amalan yang berbentuk penghinaan diri telah dilakukan. Antaranya yang sering kita lihat ialah seperti orang tua atau ibu bapa yang memukul dan mengherdik anak-anak mereka di depan orang ramai atau rakan-rakan anak mereka. Ini merupakan satu penghinaan terhadap harga diri anak. Oleh itu anda mungkin bertanya, “bagaimanakah caranya untuk mendidik anak?”, Jika mereka melakukan kesalahan, apakah mereka boleh dihukum? Di mana, di bilik? Di tempat bermain? Atau di hadapan rakan-rakan mereka?”. Ini soalan-soalan yang perlu di jawab dengan penuh kesedaran oleh diri kita.

Kita juga kadang-kadang memberi peluang kepada anak-anak kita untuk bertanya, jika ada yang bertanya sedang kita berbual dengan orang lain, kita memarahinya dengan kata-kata, usah ganggu orang tua sedang bercakap, budak-budak tidak boleh menjampuk!. Ini menyebabkan anak-anak kita hilang kepercayaan diri, merasa terhina dan membuatnya takut untuk berinteraksi dengan generasi tua dan memberikan pendapat,. Ternyata ini akan melahirkan jurang yang besar antara generasi tuan dan muda. Ini perlu diubah dan kita perlu tahu menghormati orang lain supaya mereka dapat hidup dengan terhormat.

Jangan menghina diri sendiri

Dalam sebuah organisasi diberitakan terdapat seorang pegawai atasan yang suka mengherdik dan menghina pegawai bawahannya dengan pelbagai kata-kata kesat. Terdapat di kalangan pekerja ang diherdik itu telah berumur dan telah bekerja agak lama. Salah seorang pekerja bertanya kepada pekerja yang telah berumur itu, “ mengapa saudara masih mampu bertahan untuk bekerja di sini, sedangkan sering diherdik dan dicerca?”. Dia menjawab, “ saya tidak ada kerja lain untuk menampung kehidupan ini”.

Saudaraku, percayalah hidup dengan kehinaan jauh lebih buruk dari hidup dengan kelaparan. Pergi dan carilah kerja lain. Apakah dengan kehinaan yang ada terima selalu akan dapat mendidik agar anda menjadi terhormat? Tentu tidak. Oleh sebab itu janganlah kita sekali-kali menghinakan diri kita sendiri. Penghinaan diri kita oleh orang lain akan memburukkan kehormatan diri dan juga keluarga.

Perlu diingat bahawa, umat yang kehilangan kehormatan, tanah air dan kesuciannya adalah umat yang hina. Bagaimana orang lain hendak menghormati kita jika kita sendiri tidak tahu menjaga kehormatan diri kita sendiri.

Asas kemuliaan dari Allah

Dari segi etimologi perkataan ‘adz-dzul’ atau kehinaan adalah merujuk kepada sesuatu yang di luar kawalan seperti tanah atau binatang liar. Ini berdasarkan firman Allah,


“ Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan Dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.


Untuk dihormati oleh orang ain, kita hendaklah sentiasa berserah kepada Allah . Ini berdasrkan firmannya,


”Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya Dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah Segala kemuliaan. kepada Allah lah naiknya Segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan Tauhid, untuk dimasukkan ke Dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”.

Kita adalah hamba Allah

Seluruh manusia di alam ini tidak mempunyai kekuatan yang hakiki untuk menjadi mulia atau hina. Hanya Allah SWT yang mempunyai kekuasaan untuk menentukan kehinaan dan kemuliaan. Seseorang yang dimuliakan pada hari ini, tidak mustahil akan menjadi hina pada keesokan harinya. Hari ini rakan kita seorang yang kaya dan mungkin besok telah jatuh miskin. Begitu juga, dengan kehidupan ini, pagi ini kita bersama berbual dan petangnya telah menghembuskan nafas yang terakhir untuk pulang ke rahmatullah.

Hakikat ini perlu menjadi iman kita. Iman yang berteraskan tauhid. Kita bukan hamba kelas atasan dan juga kita tidak boleh menjadi hamba orang atasan. Kita semua adalah hamba Allah. Adakah orang miskin memerlukan orang miskin yang lain atau orang yang hendak tenggelam memerlukan bantuan dari orang yang juga hendak tenggelam?Tentu sekali tidak. Seseorang yang miskin memerlukan bantuan dari seseorang yang kaya untuk membebaskan dirinya dari kemiskinan. Inilah situasinya kita dengan Allah SWT yang Maha kaya dan Maha berkuasa. Allah yang memuliakan dan Allah yang menghinakan. Kita sangat memerlukan pertolongan Allah untuk meminta pertolongannya supaya kita dapat hidup dengan penuh kehormatan. Untuk itu marilah kita merenung firman Allah,

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Untuk itu janganlah kita meminta kemuliaan selain dari Allah SWT. Ini adalah kerana Allah sahajalah yang mempunyai kemuliaan yang setinggi-tingginya. Firman Allah,

“(Iaitu) orang-orang Yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya)”.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024