Tuesday, June 23, 2009

BERUBAH atau REBAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang telah berlangsung pada bulan Mac 2009 yang lalu, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah mengingatkan kepada semua ahli UMNO yang seramai 3.4 orang supaya mengambil ingatan atau tindakan iaitu ‘ Berubah atau Rebah”. Ingatan ini adalah bagi memastikan UMNO terus relevan kepada masyarakat Melayu dan mampu untuk terus mendapat sokongan orang Melayu setelah gagal memperoleh undi orang Melayu melalui Pilihan raya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 yang lalu.
Berdasarkan ucapan tersebut, beliau menampakkan azam dan komitmen untuk lebih berani membuat perubahan dalam UMNO, bagi mengembalikan semula sokongan rakyat Malaysia kepada parti keramat tersebut yang diakui telah banyak jasanya kepada Negara sejak merdeka hingga hari ini. Dato’Sri Mohd Najib telah mengajak seluruh ahli UMNO untuk sama-sama menghayati beberapa ayat al-Quran yang menyuruh kita melakukan perubahan. Antara lain beliau telah menyebut,
“. Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:

Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang. Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Pada umumnya terdapat beberapa perkara yang disarankan oleh Dato Sri Mohd Najib kepada semua pihak bagi melakukan perubahan iaitu:
• KEPIMPINAN : Peringatan Datuk Sri Najib pada semua perwakilan agar dapat memilih barisan pimpinan yang amah,ampuh, padu, setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi.
• POLITIK WANG : Mesti dibanteras hingga ke akar umbi, jika tidak mahu melihat parti di kapan dan dikuburkan oleh UMNO sendiri.
• SISTEM PEMILIHAN : Cara pemilihan UMNO melalui sistem kuota mesti dirombak dan hak memilih kepimpinan diserah kepada akar umbi.
• PARTI PILIHAN MELAYU : UMNO mesti memperbetulkan semula visi, hala tuju dan dasar perjuangannya, agar ia terus menjadi parti pilihan dan sandaran orang Melayu.
Selain dari itu, Datuk Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 (MPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa pada 28 April 2009 yang lalu telah mengajak 1.2 juta kakitangan Perkhidmatan awam Malaysia untuk turut berubah atau membuat anjakan paradigma baru bagi mencapai hasrat “pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat”. Perubahan atau anjakan yang diperlukan ialah dengan:

· Perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan .
· Sektor awam perlu beralih daripada budaya out-put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan keberhasilan secara holistik.
· Perubahan dari pada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudahkan cara sera menyenangkan rakyat.
· Sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.
Terdahulu dari itu ketika mengumumkan Barisan Kabinet Malaysia yang baru agar setiap menteri dapat menentukan dan memenuhi KPI (key perfomance index) atau Petunjuk prestasi utama bagi kementerian masing-masing serta dapat memenuhi matlamat ‘prestasi diutamakan penyampaian didahulukan’.
Berdasarkan tema-tema perubahan yang digagaskan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak itu yang kini Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO, telah mendorong pihak kami untuk menerbitkan buku sebagai satu usaha dan tindakan awal untuk sama berusaha ke arah melakukan perubahan yang dihasratkan.
Melalui buku ini kami ingin mengajak para pembaca untuk kembali kepada Allah dan merasakan kenikmatan dan kemanisan iman apabila berserah dan pasrah kepada Allah dalam usaha untuk melakukan perubahan dalam diri, keluarga, musyarakat dan seterusnya negara dengan menghayati firman Allah dalam surah ar-Ra’du ayat 11,

”Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri”

Buku yang anda sedang tatap ini adalah satu bahan renungan agar kita dapat melakukan satu perubahan terhadap diri menuju keredaan Ilahi dan perubahan umat menuju umat yang rabbani, masyarakat yang madani dan negara yang hadhari. Bagaimanakah mewujudkan segala perubahan tersebut? Segala jawapan terkandung dalam buku ini yang menjelaskan berbagai-bagai aspek penting dalam perubahan diri yang akan memberikan pengaruh yang besar terhadap kebangkitan dan kemuliaan umat, masyarakat dan negara.

Ia juga sebagai satu langkah awal untuk menyahut seruan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak yang mengajak umat Melayu di Malaysia supaya berubah agar tidak rebah di telan arus kemajuan dunia pada hari ini.

“mahu atau tidak mahu, kita mesti berubah. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”.- YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia (24 Mac 2009)

Buku ini merupakan satu coretan harapan yang berorientasikan petunjuk untuk dilaksanakan dan ia bukan satu analisis politik yang mengagumkan atau tulisan rencana kewartawanan yang bersifat penyiasatan tetapi ia adalah tulisan atau bahan yang terbit dari hati yang dinukilkan melalui akal dan disampaikan dengan tulus ikhlas kepada para pembaca yang mempunyai jiwa-jiwa dan keyakinan terhadap Islam.

Akhir kata saya berdoa semoga Allah SWT sentiasa menganugerahkan kepada kita hati yang kental, lidah yang jujur amalan yang diterima dan juga semoga Allah menunjukkan kepada kita kebenaran menerusi kata-kata dan perbuatan dan kita berserah kepada Allah sebagai tempat berlindung yang terbaik untuk kita. Selamat membaca.

BURHANUDDIN ABDUL JALAL
18 Jun 2009

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .