OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
Tarikh 16 September setiap tahun merupakan tarikh yang penting bagi negara khususnya bagi organisasi Angkatan Tentera Malaysia. Tahun ini ATM merayakan ulang penubuhan ke 76. Dalam tempoh tersebut tentu sekali banyak cabaran, kepayahan dan juga pengalaman pahit manis bagi memastikan negara aman, makmur dan berdaulat.
Menyorot kembali perjalanan sejarah perjuangan ATM, ternyata sejarah perjuangan ATM merupakan satu aspek penting dalam komponen kemajuan negara Malaysia dan ia juga mempunyai akar sejarah yang bertunjangkan penghayatan agama. Penghayatan agama di sini merujuk komitmen dan menghayati Islam di dalam kehidupan di kalangan anggota ATM dan juga organisasinya. Penghayatan agama yang dimiliki oleh seluruh warga ATM telah mendorong mereka melakukan perubahan dalam diri selaras dengan perjuangan ATM. Paling kurang terdapat empat aspek penghayatan agama yang boleh dikaitkan dengan ATM dan sekali gus memberikan sumbangan yang luar biasa dalam kesetiaan dan kesungguhan organisasi ini mempertahankan kedaulatan dan pertahanan negara.
Pertama: Kesedaran yang sedia wujud bahawa penubuhan ATM adalah atas kesedaran hati nurani rakyat yang ingin menjaga bangsa, tanah air dan kedaulatan negara nya dan ini berkait rapat dengan penghayatan agama. Fakta sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu amat sensitif dengan agama dan mereka bersedia mempertahankan dan gugur hingga ke titisan darah yang akhir kerana agama, bangsa dan negara.
Kedua: Penghayatan agama dalam ATM wujud dan digerakkan secara sedar dan bukan ‘secara kebetulan’ atau ‘ tidak sengaja’ kerana nilai-nilai agama dan kesedaran perlunya perkhidmatan agama telah dimulakan sejak wujudnya penubuhan Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933 lagi dan perkhidmatan yang sedia wujud itu diteruskan dengan penubuhan KAGAT pada tahun 1985 dan selanjutnya diperhebat peranan dan dimantapkan pengurusannya.
Ketiga: Tugas mempertahankan negara merupakan satu amanah yang telah diberikan kepada organisasi ATM dan amanah tersebut telah diberikan oleh pemerintah dan rakyat dan oleh yang demikian amanah tersebut juga merupakan amanah dari Allah SWT. Penjagaan serta menunaikan amanah tersebut juga merupakan sebahagian dari penghayatan agama.
Keempat: Bertunjangkan nilai sejarah khususnya kesinambungan generasi awal orang Melayu yang berjuang dan juga generasi awal perintis ATM yang berteraskan nilai agama dan sentiasa menjunjung nilai agama dalam kehidupan. Ini dapat dibuktikan bahawa ramai di kalangan anggota ATM pernah menerima pendidikan agama secara formal dalam proses pendidikan mereka.
Kelima: Penghayatan agama dalam ATM juga dapat dilihat dalam proses latihan dan pembinaan anggota ATM, yang berteraskan ajaran Islam.
Berdasarkan lima ciri yang telah disebutkan, ternyata nilai penghayatan agama dapat dilihat dari seorang tentera, walaupun mereka tidak disebut sebagai ‘ulama’ tetapi peranan mereka meneladani junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam surah An-nisa’ ayat 74 yang bermaksud,
Oleh itu, orang-orang (yang beriman) Yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). dan sesiapa Yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala Yang besar.
Contoh terbaik untuk mengaplikasikan pertahanan ialah dengan melihat apa yang dilaksanakan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam membina kekuatan yang merangkumi dan mencakupi keseluruhan elemen-elemen kehidupan pada zaman tersebut.
Proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW telah menghasilkan para sahabat yang mempunyai kekuatan akidah yang teguh, kekuatan ikatan persaudaraan yang kukuh dan mempunyai azam dan cita-cita yang jauh. Pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah dengan mempersiapkan individu Muslim dengan melaksanakan pentarbiyyahan (pendidikan) menyelesaikan kehidupan manusia melalui metode tarbiah secara komprehensif dan tidak mengabaikan sedikit pun sama ada aspek fizikal, intelektual, spiritual, kehidupan material, kehidupan batin dan seluruh aktiviti manusia di dunia ini. Hasil yang diperoleh melalui proses tersebut amatlah mengagumkan kerana lahir para sahabat yang mempunyai teladan yang patut ditiru oleh generasi kemudian. Hakikatnya para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW bukan sahaja menjadi pendakwah tapi pada masa yang sama menjadi tentera-tentera yang mengibarkan bendera ad-deen Islam ke seluruh alam. Dari sudut ketenteraan secara khusus, Rasulullah SAW telah membahagikan penyusunan operasi angkatan tenteranya kepada beberapa jabatan iaitu:
a. Jabatan barisan hadapan yang meliputi:
i. Bahagian strategi dan taktik peperangan.
ii. Bahagian syura.
iii. Bahagian memperkuatkan kekuatan tempur.
iv. Bahagian operasi, latihan dan persenjataan.
b. Jabatan tadbir dan logistik yang meliputi:
i. Bahagian pengurusan harta rampasan.
ii. Bahagian perkhidmatan perubatan
Kedua-dua jabatan ini tidak dipisahkan dan tidak dibezakan dari sudut tanggungjawab untuk berperang. Ini bermakna di bahagian mana pun seseorang itu berada, kewajipan mengangkat senjata untuk berperang adalah sama. Rasullah SAW telah membuktikan kepada dunia, betapa kekuatan persenjataan sahaja tidak mencukupi jika sekiranya anggota tentera terdiri daripada mereka yang lemah dari sudut spritual, mental dan juga fizikal. Pembinaan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW untuk mewujudkan roh jihad yang membara di kalangan para sahabat apabila keluar berjihad adalah dimulakan dengan pembinaan diri anggota tentera itu terlebih dahulu dan disertai dengan kemahiran peperangan Inilah kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sehingga baginda dan para sahabat (tentera-tentera Islam) mampu memenangi peperangan penting walaupun mempunyai kekuatan persenjataan yang terbatas.
Walau bagaimanapun, apa yang dinyatakan di sini bukanlah Rasulullah SAW menolak sama sekali keperluan pertahanan dari sudut persenjataan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah keselarasan dan keperluan kedua-duanya untuk digabungkan bagi menghasilkan natijah yang maksimum. Malah Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat untuk membuat peralatan perang seperti pedang dan perisai agar dapat digunakan oleh tentera Islam apabila berlakunya peperangan Gambaran dijelaskan melalui firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 25,
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi Dengan keadaannya mengandungi kekuatan Yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi Dengan keadaan Yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu Dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang Yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Justeru itu mempertahankan Malaysia secara umumnya adalah tanggungjawab semua masyarakat dan pengkhususan diberikan kepada anggota tentera yang dibayar gaji untuk mempertahankan negara. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah mewujudkan kebersamaan semua individu dalam sesebuah negara tidak kira kedudukannya mempertahankan negara daripada ancaman musuh dengan berjihad mengorbankan apa sahaja yang dimiliki sama ada harta mahupun nyawa untuk mempertahankan Islam dan negara Madinah dari ancaman musuh.
Sejarah telah membuktikan bahawa ramai di kalangan para sahabat menyumbangkan apa sahaja yang mereka miliki kepada tentera-tentera Islam yang berjuang di medan peperangan. Sayidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Thalib adalah segelintir sahabat bukan sahaja mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan dan mengembangkan Islam tetapi menyerahkan apa sahaja yang mereka miliki demi kedaulatan Islam dan negara Madinah ada waktu tersebut.
Semangat atau jihad sebegini sepatutnya ditiru oleh rakyat negara ini bagi mempertahankan negara yang kita cintai ini. Persoalannya ialah berapa ramai rakyat negara ini termasuk ahli-ahli korporat yang sudi untuk menaja atau membiayai pertahanan negara dengan memberikan sumbangan suntuk membeli senjata. Mungkinkan seorang ahli korporat atau syarikat korporat menaja satu senjata berat? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyertai Askar Wataniah sebagai bukti menunjukkan persediaan apabila berlakunya peperangan? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari bahawa ketika mereka tidur nyenyak tidur bersama anak isteri, terdapat anggota tentera di perbatasan negara yang bersengkang mata menjaga perbatasan negara? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari bahawa keamanan yang di kecapi membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat ganda sedangkan ada di kalangan anggota atau bekas anggota tentera yang menderita kesusahan? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari tanggungjawab mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh semua pihak kerana pertahanan negara adalah satu keperluan utama yang membolehkan negara ini membangun dan terus maju.
Kekalahan negara Arab dengan Rejim Zionis Israel telah menyebabkan pemimpin-pemimpin negara-negara Arab mencari satu alternatif untuk membangkitkan semangat jihad untuk melawan ancaman musuh terutamanya Zionis yang sentiasa bersiap sedia menghancurkan mereka. Justeru itu satu muktamar telah diadakan yang dihadiri oleh para menteri pendidikan negara-negara Arab dan mereka bersepakat bahawa pentarbiyyahan yang menekankan aspek spritual, moral dan ketenteraan akan lebih memantapkan keimanan, semangat jihad, pengorbanan dan menjadikan mati syahid diterapkan untuk membela tanah air dan bangsa sebagai cita-cita tertinggi perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara-negara Arab Di dalam muktamar tersebut beberapa resolusi telah diluluskan iaitu:
a. Pendidikan dan pengajaran di negara Arab mestilah berdasarkan keimaman kepada Allah kerana keimanan merupakan sumber etika secara umum dan khusus bagi individu dan masyarakat.
b. Mengembangkan metodologi dan buku-buku pendidikan agama dan nasionalis secara menyeluruh sehinggalah nilai-nilai ini tertanam dalam jiwa generasi muda.
c. Pendidikan ketenteraan perlu didedahkan kepada pelajar-pelajar di peringkat menengah lagi.
d. Tenaga pendidik mestilah mempunyai ciri-ciri yang baik dan menjadi teladan kepada masyarakat.
e. Penggemblengan tenaga dan institusi dalam menjayakan resolusi yang diputuskan. Koordinasi yang mantap dari semua elemen dan institusi dalam sesebuah negara akan berjaya mendidik generasi yang menyedari tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan khususnya untuk mempertahankan sesebuah negara.
Sejarah telah membuktikan bahawa negara pernah mengalami peristiwa pahit bagi memastikan negara aman dan sejahtera. Negara kita pernah diancam keselamatannya oleh pihak komunis dan para petualang negara. Bagi memastikan negara terus aman dan mampu memaju kemajuan negara, ramai di kalangan anggota keselamatan kita yang telah terkorban.
Kenyataannya di sini ialah keperluan untuk kita membina tenaga manusia yang hebat bagi mempertahankan negara merupakan agenda penting dalam sesebuah negara. Pembinaan tenaga manusia pertahanan ini, bukan sahaja terhad kepada warga ATM sahaja tetapi meliputi keseluruhan masyarakat dalam sesebuah negara tidak kira di mana kedudukannya dan siapa orangnya. Hakikat ini perlu disedari dengan baik agar pertahanan negara daripada ancaman musuh difikirkan dan dipikul bersama oleh setiap anggota masyarakat dalam negara ini selari dengan gagasan Perdana Menteri mencapai matlamat ‘1Malaysia’.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment