Monday, September 7, 2009

TEGUH MEMPERJUANGKAN ISLAM

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Di dalam setiap perangan, Rasulullah SAW sentiasa menggunakan perkataan-perkataan tertentu sebagai slogan atau kata-kata semangat yang dapat merangsang setiap orang dalam pasukan tentera Islam memerangi tentera kafir Quraisy.

Dalam Perang Badar slogan yang digunakan ialah ‘ahad’, ‘ahad’ merujuk kepada keesaan Allah SWT. Perkataan, ‘agamamu, agamamu ,jiwamu, darahmu” telah digunakan dalam Perang Uhud. Semua perkataan yang digunakan menggambarkan kasih sayang dan kesediaan untuk berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan Islam. “Ya mansur, amut, amut” adalah kata-kata semangat yang digunakan dalam Perang Khandak. Perkataan tersebut merujuk kepada memohon bantuan Allah bagi mencapai syahid.

Berdasarkan kata-kata semangat yang telah digunakan dalam sirah Rasulullah, sejauh manakah kita dapat mengambil iktibar untuk terus mempertahankan agama dan terus memperjuangkan agama dengan penuh kesabaran dan semangat seperti mereka yang terdahulu? Ketika seluruh manusia tenggelam dalam kekalutan nafsu apakah kita masih komitmen dengan agama? Mungkin juga mereka akan bertanya, “apakah yang diperoleh dari semangat luar biasa ini?’. Katakanlah kepada mereka, “ Islam amat mahal dan Islam bukanlah agama murahan, kita perlu mencintainya dari segala sesuatu”.

Teguh mempertahankan agama bererti kita mesti berani berkata, “saya akan memberikan komitmen kepada agama yang saya yakini meski apa pun yang terjadi. Sentiasa mengajak orang lain, mengingatkan saudara seagama, serta tidak peduli dengan mereka yang mencemuh atau mengecilkan peranan saya. Apa yang penting ialah saya menyeru Islam dengan cara yang terbaik seperti mana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW”.

Siti Aisyah, isteri Nabi pernah menyebutkan bahawa akhlak nabi adalah al-Quran. Ini dapat diperkukuhkan dengan doa yang selalu Nabi baca setiap kali solat,

“Kepada Yang Maha berkuasa dan menguasai hati, teguhkanlah hatiku untuk membela agamamu”.

Rasulullah sering berdoa semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran untuk terus mempertahankan agama Allah dan sesungguhnya kesabaran bukanlah perkara yang kecil atau remeh tetapi ia merupakan anugerah yang besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat.

Pada satu-satu ketika dalam melakukan sesuatu kita begitu bersemangat sekali, tetapi beberapa lama kemudian semangat itu telah hilang entah ke mana. Memperjuangkan Islam perlu semangat yang kuat dan berterusan dan selain dari itu ia juga memerlukan kesabaran. Allah telah berfirman berkaitan dengan anjuran untuk kita sentiasa bersabar dan terus bersabar. Firman Allah yang bermaksud,
”Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Allah juga sentiasa menggalakkan kita untuk sentiasa bersabar dalam hidup ini . Firman Allah yang bermaksud

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar”

Berdasarkan ayat di atas dapatlah kita mengambil pemahaman dari saranan untuk tidak berasa lemah dan cepat menyerah. Perlu diingat bahawa kita adalah hamba Allah yang mempunyai hubungan yang terus dengan Allah melalui solat dan doa yang dilakukan. Firman Allah,

“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Perlu dijelaskan bahawa kesabaran merupakan natijah kepada kemenangan dan kejayaan. Kemenangan juga terletak kepada kemampuan kita untuk bersabar dan menjadikan Allah sebagai tempat berlindung. Ini seperti yang pernah diucapkan oleh Ibnu Abbas, “cukuplah Allah sebagai penolong kami dan pelindung”. Kata-kata ini juga pernah diucapkan oleh Ibrahim ketika dilempar ke dalam api, juga diucapkan oleh Musa serta pengikutnya ketika dikejar oleh Firaun dan tentera-tenteranya. Nabi Muhammad juga pernah mengucapkan kata-kata yang sama.Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,

“Mereka juga ialah Yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)".

1 comment:

Anonymous said...

perjuangan perlu diteruskan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam!

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024