Monday, April 27, 2009

MEMPERKUKUH NILAI-NILAI MURNI TENTERA

Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Sebagai sebuah elemen dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ternyata peranan dan fungsi Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) semakin ditagih dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme ATM.
Dari aspek sejarah, peranan sesebuah unit atau bahagian yang berteraskan agama dalam organisasi ketenteraan bukanlah sesuatu yang baru.
Sejarah membuktikan kejayaan sesebuah angkatan perang banyak bergantung kepada nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan kepada setiap anggota yang terlibat. Kualiti ketenteraan tidak hanya dilihat pada kejayaan yang dicapai dalam peperangan tetapi ia juga ditentukan oleh kualiti individu yang merangkumi aspek fizikal, spiritual dan mental.
Di dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat umpamanya, Kor Chaplin telah ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. Sejak penubuhannya, jabatan ini berfungsi mengajak anggota tenteranya menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dengan memberi bimbingan agama, mengetuai upacara keagamaan dan memberi khidmat nasihat terutamanya dalam penyelesaian masalah keluarga.
Di pangkalan-pangkalan, pembinaan gereja dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan. Satu program khas telah dijalankan iaitu Chaplin Religious Enrichment Development Operation (CREDO) sejak tahun 1991.
Pembinaan mental
Tujuan program ini adalah menyedarkan semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Laut supaya menggunakan nilai-nilai agama Kristian, Islam dan Nasrani bagi meninggikan sikap integriti, amanah, komitmen dan keberanian. Program ini dikendalikan secara khemah hujung minggu. Ia mesti dihadiri oleh semua peringkat pegawai dan anggota di dalam empat peringkat iaitu personel growth, spritual growth, marriage enrichment dan teen personel growth.
Pasukan tentera lain yang turut menubuhkan Kor Chaplin adalah Angkatan Tentera Filipina (1970-an) dan Australia.
Langkah-langkah penerapan nilai-nilai agama di dalam angkatan tentera juga dilakukan di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Usaha itu dipanggil pembinaan mental atau BINTAL. Ia dikendalikan sebagai satu program yang terpenting dan mendahului segala bidang pendidikan sama ada pendidikan tentera atau pendidikan formal di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi.
Peningkatan kerjaya seseorang anggota tentera atau awam adalah tertakluk kepada pencapaiannya di dalam peperiksaan BINTAL.
Di Republik Arab Mesir pula, setelah diaibkan dalam peperangan Mesir-Israel pada Jun 1967, Presiden Gamal Nasser membuat siasatan mendalam terhadap punca Angkatan Tentera Mesir tidak berupaya menentang Israel.
Siasatannya mendapati antara punca kekalahan tersebut ialah latihan ketenteraan tidak dikendalikan secara profesional, peralatan tentera yang tidak diselenggara dengan sempurna di mana hanya sekitar 20 peratus yang beroperasi dan krisis moral di semua peringkat Angkatan Tentera Mesir.
Krisis moral yang dimaksudkan ialah sebahagian besar pegawai dan anggotanya berasa tidak puas hati menyebabkan mereka tidak berminat dengan aktiviti bukan ketenteraan.
Tindakan pertama Presiden Nasser untuk mengembalikan maruah negaranya ialah dengan memecat semua panglima dan ketua pasukan tentera termasuklah Menteri Perang, Samsuddin Badran. Mereka digantikan dengan para pegawai yang mengamalkan cara hidup dan etika ketenteraan yang berasaskan agama Islam.
Selanjutnya, amalan hidup berteraskan nilai-nilai Islam diperkenalkan dengan tegas. Mereka yang tidak boleh mematuhinya dipaksa keluar dari perkhidmatan tentera. Kemuncak kepada usaha-usaha ini adalah melancarkan serangan mengejut dengan menyeberangi Terusan Suez untuk menyerang kedudukan tentera Israel pada bulan Ramadan 1973 (Perang Ramadan).
Di dalam perang ini, Mesir berjaya membebaskan terusan Suez dan sebahagian besar Semenanjung Sinai yang ditakluki tentera Israel semasa Peperangan Arab-Israel pada tahun 1967.
Jelas kepada kita pentingnya nilai-nilai positif berteraskan agama terpahat dalam sanubari setiap anggota dan pegawai dalam sesebuah angkatan tentera. Nilai-nilai murni ini banyak mempengaruhi misi dan perjuangan sebagaimana yang ditetapkan.
Dalam konteks Malaysia, peranan sama yang diletakkan kepada institusi keagamaan iaitu Kagat. Ia ditubuhkan pada 16 April 1985, merupakan kesinambungan perkhidmatan agama yang telah wujud sejak penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1933 lagi.
Kagat sebagai generasi yang mewarisi usaha-usaha dakwah Islamiah dalam ATM, ternyata berperanan dengan baik dan cemerlang membantu ATM khususnya dalam pembinaan modal insan yang berwibawa dan cemerlang dalam profesional ketenteraan.
Menyuburkan rohani
Ini dibuktikan dengan misi Kagat iaitu membantu ATM meninggikan tahap profesionalisme menerusi pendidikan Islam serta memberi khidmat keagamaan kepada seluruh warganya.
Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bukunya Marksman: The target for the Malaysian Army menyebut: "Nilai agama akan membentuk prinsip agama, moral positif dan komitmen terhadap maruah insan. Ia menyuburkan rohani seseorang dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan secara menyeluruh. Nilai ini perlu dipupuk secara berterusan untuk mengekalkan tingkah laku yang terbaik dalam diri seseorang".
Selain itu, Panglima Tentera Darat Malaysia , Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail sempena sambutan ulang tahun Tentera Darat Malaysia (TDM) ke 76 baru-baru ini berkata, TDM sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta mempunyai misi dan visi perlu terus memperkukuhkan budaya kecemerlangan dengan nilai-nilai teras seperti kualiti, integriti, inovasi, disiplin, akauntabiliti dan profesionalisme.
Berdasarkan dua pernyataan tersebut ternyata nilai agama menjadi teras untuk membina sebuah angkatan yang profesionalisme. Pendek kata, nilai agama atau kerohanian menjadi teras dalam kejayaan sesebuah organisasi ketenteraan.
Kenyataan ini diperkukuh dengan pendapat Abdullah al-Namiri dalam bukunya Al-Harb 'Abra al-Tarikh mencatat perakuan Field Marshal Montgomery yang memperakui kekuatan spiritual adalah elemen terpenting yang menentukan kecemerlangan seseorang anggota di medan tempur.
Menyedari cabaran-cabaran tersebut, adalah penting bagi seluruh warga Kagat mengambil peringatan apa yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya Madza ya'ni intimaai lid-dakwah yang menjelaskan pentingnya setiap individu atau organisasi yang terlibat dalam dakwah sentiasa memperkukuh dan memperbaharui komitmen dalam dakwah.

Tuesday, April 7, 2009

KAGAT MENINGKATKAN TAHAP PROFESIONALISME ATM MENERUSI NILAI KEROHANIAN

KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA (KAGAT) menyambut ulang tahun ke 24 penubuhannya pada 16 April 2009 ini. Sebagai sebuah elemen dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia, ternyata peranan dan fungsinya kian ditagih dalam usaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme ATM dalam melaksanakan tanggungjawab serta peranannya menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Meninjau dari aspek sejarah peranan, yang dimainkan oleh sesebuah unit atau bahagian yang berteraskan agama dalam organisasi ketenteraan bukanlah sesuatu yang baru. Di negara-negara Barat umpamanya, keperluan unit ini adalah berperanan untuk menjaga moral dan meningkatkan semangat ketenteraan. Aspek-aspek ini memang amat ditekankan kerana sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan sesebuah angkatan perang banyak bergantung kepada nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan kepada setiap anggota yang terlibat. Kualiti ketenteraan tidak hanya dilihat pada kejayaan yang dicapai dalam peperangan, tetapi ia juga ditentukan oleh kualiti individu yang merangkumi aspek fizikal,spirituil dan mental.

Di dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat umpamanya, Kor Chaplin telah ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. Semenjak penubuhannya, jabatan ini berfungsi untuk mengajak anggota tenteranya menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dengan memberi bimbingan agama, mengetuai upacara keagamaan dan memberi khidmat nasihat terutamanya dalam penyelesaian masalah keluarga. Setiap anggota diberi kebebasan berkumpul dengan rakan-rakan agama untuk berbincang dan mendalami ilmu agama masing-masing. Pada kebiasaannya, setiap kapal laut diperuntukkan seorang pegawai agama dan sebuah bilik ibadat untuk semua penganut agama secara bergilir-gilir. Di pangkalan-pangkalan, pembinaan gereja dan penyelenggaraannya dibiayai oleh kerajaan, Satu program khas telah dijalankan yang dikenali sebagai “Chaplin Religious Enrichment Development Operation” (CREDO) semenjak tahun 1991. Tujuan program ini ialah untuk menyedarkan semua pegawai dan anggota Angkatan tentera laut supaya menggunakan nilai-nilai agama Kristian, Islam dan Nasrani bagi meninggikan sikap integriti, amanah, komitmen dan keberanian. Program ini dikendalikan secara khemah hujung minggu yang mesti dihadiri oleh semua peringkat pegawai dan anggota di dalam empat peringkat iaitu “personel growth”, “spritual growth, “marriage enrichment” dan “teen personel growth”

Misi utama Kor Chaplin ini adalah untuk meningkatkan nilai-nilai agama dan keperluan moral dalam komuniti tentera. Perkhidmatan agama biasanya tidak terhad malah meliputi pelbagai upacara agama, menerima pemeluk agama Kristian, ibadat dan lain-lain misi agama. Terdapat juga pendidikan agama yang dianjurkan di dalam unit ini seperti kelas dan sekolah agama, pembinaan individu, kumpulan koir, program pembangunan kepimpinan, tarian agama, drama, filem dan sebagainya. Kedudukan anggota Chaplin dalam angkatan tentera adalah sebagai ketua agama yang mempunyai tugas dan fungsi sebagai paderi Kristian. Namun kor ini bukanlah sebuah unit perang dan anggota tidak memikul senjata (Duties Of Chaplain and Commanders 1976).

Di dalam Angkatan Tentera Filipina, Kor Chaplin telah ditubuhkan pada awal tahun 1970an tetapi usaha-usaha menerapkan nilai-nilai agama hanya ditekankan setelah pihak tentera cuba membuat rampasan kuasa beberapa kali. Pegawai-pegawai di dalam jabatan ini terdiri daripada mereka yang agama Kristian kecuali lima peratus yang beragama Islam dan Buddha. Penerapan nilai-nilai agama ini adalah hasil dari sokongan lembaga siasatan yang menyiasat punca-punca rampasan kuasa tentera yang mendapati moral dan kesetiaan anggota-anggota tentera sangat rapuh. Penerapan ini telah berjaya mengurangkan taraf kesalahan berat di kalangan anggotanya sebanyak 60 peratus.

Di dalam Angkatan Tentera Australia pula, setiap perkhidmatan angkatan tentera mempunyai jabatan agama Kristian masing-masing. Bagi Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Australia, “Chaplin” memakai pakaian seragam tentera dan mempunyai pangkat. Fungsi utama mereka ialah mengetuai pelaksanaan upacara agama, mengajak anggota tentera mengamalkan ajaran Kristian dan memberi perkhidmatan kaunseling. Ketiga-tiga perkhidmatan ini juga mengendalikan program khas penerapan nilai agama, “Character Guidance” bagi semua peringkat pegawai dan anggotanya untuk jangka masa dua hingga tiga minggu sahaja. Program ini telah menampakkan hasil apabila kehadiran dalam upacara agama di kapal dan pangkalan telah meningkat antara 20 peratus hingga 30 peratus ”

Langkah-langkah penerapan nilai-nilai agama di dalam angkatan tentera juga dilakukan di dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Usaha ke arah tersebut dipanggil sebagai pembinaan mental atau BINTAL, dikendalikan sebagai satu program yang terpenting dan mendahului segala bidang pendidikan sama ada pendidikan tentera atau pendidikan formal di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi. Peningkatan kerjaya seseorang anggota tentera atau awam adalah tertakluk kepada pencapaiannya di dalam peperiksaan BINTAL. Dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI), Kepala Pusat Pembinaan Mental (KAPUSBINTAL) bertanggungjawab mengendalikan pendidikan mental untuk seluruh peringkat anggotanya melalui pembinaan kerohanian yang berasaskan pancasila.

Di Republik Arab Mesir pula, setelah mengalami dengan penuh keaiban di dalam peperangan Mesir-Israel pada bulan Jun 1967, Presiden Gamal Nasser, Presiden Mesir pada waktu itu, telah membuat siasatan mendalam terhadap punca Angkatan Tentera Mesir tidak berupaya menentang Israel. Hasil siasatannya mendapati bahawa di antara punca kekalahan tersebut ialah latihan ketenteraan tidak dikendalikan secara profesional, peralatan tentera yang tidak diselenggarakan dengan sempurna hingga menyebabkan hanya sekitar 20 peratus sahaja yang beroperasi dan krisis moral di semua peringkat Angkatan Tentera Mesir. Krisis moral yang dimaksudkan ialah sebahagian besar pegawai dan anggotanya mempunyai rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan mereka tidak berminat dengan aktiviti bukan ketenteraan.

Tindakan pertama Presiden Nasser ialah untuk mengembalikan maruah negaranya ialah dengan memecat semua panglima dan ketua pasukan tentera termasuklah Menteri Perang, Samsuddin Badran dan menggantikan mereka dengan pegawai-pegawai yang mengamalkan cara hidup dan etika ketenteraan yang berasaskan kepada agama Islam. Selanjutnya, amalan hidup berteraskan nilai-nilai Islam telah diperkenalkan dengan tegas sehingga mereka yang tidak boleh mematuhinya dipaksa keluar dari perkhidmatan tentera. Kemuncak kepada usaha-usaha ini ialah dengan melancarkan serangan mengejut dengan menyeberangi Terusan Suez untuk menyerang kedudukan tentera Israel pada bulan Ramadhan 1973 (Perang Ramadhan). Di dalam peperangan ini, Mesir telah berjaya membebaskan terusan Suez dan sebahagian besar Semenanjung Sinai yang ditakluki oleh tentera Israel semasa Peperangan Arab-Israel pada tahun 1967.

Jelas kepada kita betapa pentingnya nilai-nilai positif yang berteraskan agama terpahat dalam sanubari setiap anggota dan pegawai dalam sesebuah angkatan tentera. Nilai-nilai murni ini banyak mempengaruhi misi dan perjuangan sebagaimana yang telah ditetapkan.

Dalam konteks Malaysia, peranan sama yang diletakkan kepada institusi keagamaan yang terdapat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia atau KAGAT. Ia ditubuhkan pada 16 April 1985, merupakan kesinambungan perkhidmatan agama yang telah wujud sejak penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1933 lagi. Oleh yang demikian peranan institusi agama dalam Angkatan Tentera Malaysia telah bermula sejak sekian lama dan KAGAT sebagai generasi yang mewarisi usaha-usaha dakwah Islamiah dalam ATM, ternyata telah berperanan dengan baik dan cemerlang bagi membantu ATM khususnya dalam aspek pembinaan modal insan yang berwibawa dan cemerlang dalam profesional ketenteraan. Ini dapat dibuktikan dengan misi KAGAT iaitu membantu ATM meninggikan tahap profesionalisme menerusi pendidikan Islam serta memberi khidmat keagamaan kepada seluruh warga ATM.

Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bukunya “Marksman:“The target for the Malaysian Army” telah menyebut, “Nilai agama akan membentuk prinsip agama, moral positif dan komitmen terhadap maruah insan. Ia menyuburkan rohani seseorang dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan secara menyeluruh. Nilai ini perlu dipupuk secara berterusan untuk mengekalkan tingkah laku yang terbaik dalam diri seseorang”.

Selain dari itu Panglima Tentera Darat Malaysia , Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail, sempena dengan sambutan ulang tahun Tentera darat Malaysia ke 76 baru-baru ini telah menyebut bahawa, “ Tentera Darat sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta mempunyai misi dan visi perlu terus memperkukuhkan budaya kecemerlangan dengan nilai-nilai teras seperti kualiti, integriti, inovasi, disiplin, akauntabiliti dan profesionalisme”.

Berdasarkan dua penyataan tersebut ternyata nilai agama menjadi teras untuk membina sebuah angkatan yang profesionalisme. Bagi tokoh-tokoh yang terlibat dalam dunia ketenteraan menyatakan nilai agama atau kerohanian menjadi teras dalam kejayaan sesebuah organisasi ketenteraan. Kenyataan ini diperkukuh dengan pendapat Abdullah al-Namiri dalam bukunya Al-Harb `Abra al-Tarikh mencatat perakuan Field Marshal Montgomery yang memperakui kekuatan spiritual adalah elemen terpenting yang menentukan kecemerlangan seseorang anggota di medan tempur. Beliau menjelaskan:“Spiritual strength is that fighting spirit which is considered to be the first of the vital factors for success in battle, because in it reflected all the attributes which should be found in military personnel, including character, discipline, courage, truthfulness, ability and capacity to face difficult conditions, and which prevents the loss of faith or motive for struggle.” (Abdullah An-Namiri, “Al-Harb `Abra al-Tarikh)yang bermaksud ”Kekuatan kerohanian (spiritual) iaitu semangat bertempur adalah dianggap sebagai faktor utama menentukan kejayaan dalam sesuatu peperangan kerana ia memancarkan keseluruhan sifat yang wujud dalam diri anggota tentera termasuk sifat peribadi, disiplin, keberanian, kejujuran, kebolehan dan keupayaan untuk menghadapi keadaan yang sukar, dan (merupakan faktor) yang akan menghalang kehilangan kepercayaan dan penggerak untuk berjuang.”

Menyentuh aspek profesionalisme ini, Samuel Huntington (1957:7-18) dalam ‘The soldier and the state: Theory and politics of military relations’ menyatakan, profesionalisme ketenteraan mempunyai tiga ciri utama iaitu, pertama, kepakaran yang khusus, berpengetahuan serta mempunyai kemahiran yang diperoleh dari latihan, pendidikan, pengalaman dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang kepakarannya. Kedua, mempunyai kesedaran tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan pihak yang berpentingan. Ini adalah penting kerana sebagai anggota tentera mereka perlu mempunyai serta mempamerkan perlakuan dan akhlak yang murni selaras dengan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Selain dari itu anggota tentera yang profesional perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh kejujuran dan tidak mementingkan diri sendiri dan sedia berkorban apa sahaja sama ada harta atau nyawa sekalipun demikian mempertahan maruah ketenteraan. Ciri ketiga yang disebut oleh Huntington ialah ciri-ciri perwatakan organisasi tentera dan individunya yang melahirkan semangat ‘setia kawan’ atau ‘esprit de corp’ .

Berdasarkan aspek tersebut, Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir Bin Baharom juga mengakui bahawa peranan KAGAT kian mencabar pada masa kini khususnya untuk membina dan juga membimbing anggota ATM menjadi anggota tentera profesional serta mempunyai ciri-ciri muslim, mukmin dan muhsin. Untuk itu, antara strategi yang digunakan oleh KAGAT pada masa kini ialah dengan kaedah pendidikan dan peningkatan ilmu. Selain dari itu, aspek penghayatan agama adalah amat penting kepada setiap anggota tentera dan ia perlu dijadikan sifat keperibadian setiap anggota tentera khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia. Ciri-ciri tersebut ialah keimanan yang teguh, pelaksanaan ibadat dan akhlak mulia.
.
Menyedari cabaran-cabaran tersebut, adalah penting bagi seluruh warga KAGAT perlu mengambil peringatan apa yang telah disebut oleh dapat Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya ‘Madza ya’ni intimaai lid-dakwah’ menjelaskan penting untuk setiap individu atau organisasi yang terlibat dalam dakwah sentiasa memperkukuh dan memperbaharui komitmen dalam dakwah. Sempena dengan sambutan ulang tahun KAGAT ke 24, wajar sekali seluruh kepimpinan dan warga KAGAT sama-sama berganding bahu untuk terus membina komitmen dalam usaha-usaha dakwah dalam ATM yang merangkumi aspek pengukuhan organisasi, peranan serta cabaran dan juga kesungguhan anggota dalam menjayakan usaha dakwah dan penghayatan Islam, sekali gus dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme dalam ATM yang dicita-citakan.
____________TAMAT______________________

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal adalah pegawai KAGAT yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday, March 24, 2009

PERKHIDMATAN AGAMA DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

“Tugas dan tanggungjawab pasukan tentera hanya untuk berperang dan mempertahankan negara”. Mungkin itu pendapat sesetengah masyarakat kita hari ini. Malah ada juga sebilangan pihak yang tidak sedar betapa perlunya keutuhan dan kekuatan angkatan tentera khasnya dan masyarakat amnya, kerana leka dan rakus mengejar arus pembangunan dan kekayaan ekonomi yang begitu pesat dan banyak sekali. Keperluan rohani adalah satu elemen yang tidak patut diketepikan sama sekali kerana ia menjadi asas bagi mendukung kekuatan fizikal. Dalam konteks pertahanan negara, Angkatan Tentera Malaysia sememangnya menyedari hakikat tersebut, malah pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak demi menjayakan hasrat murni ini dan seterusnya mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara.

Oleh yang demikian, Kor Agama Angkatan Tentera atau lebih sinonim dengan panggilan KAGAT telah ditubuhkan secara rasminya pada 16 April 1985 setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mewujudkan sebuah institusi khas yang mengendalikan hal ehwal keagamaan dan kerohanian dalam Angkatan Tentera Malaysia ( KAGAT 20 Tahun: 2005). Tugas dan tanggungjawab yang dimainkan oleh KAGAT tidak boleh dianggap mudah kerana peranannya begitu luas yang meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Memandangkan keanggotaan di dalam ATM rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Maka wajarlah sebuah organisasi di bawah ATM diberikan mandat untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan anggotanya. Malah penubuhan KAGAT pada waktu itu adalah tepat pada masanya kerana berdasarkan sejarah silam, negara telah mewarisi corak kepimpinan dan pentadbiran tentera British sejak sebelum merdeka lagi (Abdul Rahim Awang 1998).

Perlembagaan Malaysia, Perkara dalam perkara 3(1), telah termaktub menyebutkan bahawa,

“Agama Islam ialah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. (Perlembagaan Persekutuan. Mac Graw Hill : 2007).

Berdasarkan perkara tersebut, agama merupakan salah satu ciri yang penting bagi negara Malaysia, dan oleh yang demikian wajar untuk berusaha dan menerapkan nilai-nilai Islam kepada tatacara perkhidmatan awam negara ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia seperti yang telah disebut dalam Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Abdul Hamid Zainal Abidin, Penerapan Nilai-Nilai Islam,1990). Secara amnya, kegiatan-Kegiatan Keislaman di Malaysia selepas mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertamanya ialah kegiatan bersifat rasmi seperti yang dijalankan oleh kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan juga kegiatan serta program agama yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam di negeri-negeri. Kedua, kegiatan agama yang dijalankan secara tidak rasmi oleh rakyat dan juga orang ramai menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti Persatuan Penduduk, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan sebagainya (Wan Hussein Azmi Abdul Kadir :1980).

Oleh yang demikian dalam konteks ATM usaha-usaha ke arah penghayatan Islam dilaksanakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).

PELAKSANAAN DAKWAH DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Dakwah Islamiah adalah ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah disampaikan dan disebarluaskan secara hikmat dan berkesan. Sehubungan dengan itu, atas kesedaran bagi menyampaikan dakwah Islamiah dengan lebih berkesan dan untuk membina anggota tentera yang beriman dan bertakwa sekali gus dapat berkhidmat dengan cemerlang dan berkesan usaha-usaha dakwah Islamiah telah dilaksanakan dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia secara lebih meluas dan tersusun. Bab ini akan menjelaskan pelaksanaan dakwah yang dilakukan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha menyampaikan mesej Islam dan memberi pemahaman dan penghayatan agama Islam kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia.

PENGERTIAN DAKWAH

Pengertian dakwah secara etimologi, dakwah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu da’a, yad’u, da’wan, du’a (Majma al-Lughah al-Arabiyah 1972) yang bererti mengajak, menyeru, memanggil, seruan, permohonan dan permintaan. Istilah ini sering diberi erti yang sama dengan istilah-istilah tabligh, amar maaruf dan nahi mungkar, mauizzah hasanah, tabsyir, inzar, washiah, tarbiyah, taa’lim dan khutbah.

Dalam pengertian lain dakwah dimaksudkan dengan ibadah, ajakan, permohonan ( al-istighatahah) permintaan dan azam. Mengikut terminologi bahawa pengertian dakwah ialah mengajak manusia kepada kebaikan dan petunjuk, menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar ( al-amr bi al ma’ruf wa an-nahyl al-munkar) untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dan kategori ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, dakwah umat Nabi Muhammad SAW kepada sekalian umat untuk memeluk agama Islam. Kedua, dakwah kepada sesama umat Islam agar sentiasa melakukan kebaikan, ketiga, dakwah kepada diri masing-masing untuk menggerakkan kebaikan sekali gus mendorong untuk melakukannya( Ali Mahfuz t.th).

Berdasarkan pengertian di atas baik secara etimologi atau terminologi, dakwah dapat diertikan dengan setiap ajakan baik melalui perkataan, tulisan ataupun sikap sama ada ajakan tersebut ke arah kebaikan ataupun kejahatan. Pengertian ini telah terdapat dalam al-Quran di mana dakwah tidak sahaja dimaksudkan terhadap hal-hal yang baik, bahkan ajakan kepada perkara-perkara yang tidak baik juga disebut dengan dakwah. Ini sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Mukmin ayat 41, Allah berfirman,


"Dan Wahai kaumku! apa halnya Aku Dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku ke neraka? Kamu mengajakku supaya Aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah dan mempersekutukanNya Dengan apa Yang Aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal Aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampu”


Berdasarkan ayat di atas dapat difahami bahawa kata dakwah dalam bentuk yang neutral iaitu mengajak sesatu perkara yang baik atau yang tidak baik. Menurut al-Syawkani (1973) dakwah kepada kebaikan ialah mengajak manusia untuk masuk syurga dan menghindari masuk neraka dengan iman kepada Allah dan mematuhi seruan-seruan Rasulullah. Sementara dakwah yang tidak baik pula ialah mengajak manusia untuk masuk ke neraka dengan cara mempersekutukan Allah atau syirik.

Pandangan al-Syawkani itu tidak jauh bezanya dengan pandangan al-Razi (t.th) dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghayb yang menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah kepada kebaikan ialah menyeru manusia kepada keimanan yang dapat memberikan keselamatan kepada mereka, sedangkan yang dimaksudkan dengan dakwah kepada kejahatan ialah mengajak manusia kepada kekufuran sehingga seseorang itu terjerumus ke dalam neraka.

Berhubung dakwah ke jalan Allah SWT, Ali Mahfuz (t.th) telah membahagikannya kepada empat tahap iaitu yang pertama, melaksanakan dakwah ke jalan Allah menerusi pedang atau peperangan. Kedua melaksanakan dakwah dengan cara pendekatan yang telah dilakukan seperti para nabi dan rasul iaitu dengan memberikan contoh-contoh kebaikan. Ketiga, dakwah dengan memberikan penumpuan kepada persoalan hati dengan mendidik dan memberikan rangsangan dan kehidupan kepada hati. Keempat, dakwah menuju ketuhanan yang bermaksud mendahulukan segala kepentingan dan ketetapan yang telah ditentukan Allah SWT berbanding dengan yang lain.

Dakwah juga merupakan usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah SWT (Bahi al-Kulli 1983: 52). Ini bermaksud, perpindahan berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kejahatan kepada kebaikan, kesesatan kepada kebaikan, kesesatan kepada hidayah, negatif pada positif dan perkara-perkara buruk kepada kebaikan.

Selain dari itu, dakwah juga bermaksud sebagai usaha mengubah suatu situasi kepada situasi yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi, organisasi ataupun masyarakat. Dakwah bukan sahaja sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup sahaja, tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas. Apatah lagi pada masa kini dakwah harus lebih berperanan menuju kepada pelaksanaan ajaran Islam secara lebih holistik dalam pelbagai aspek kehidupan (Abdul Aziz Mohd Zin et.al: 2006).

A. Hasjmy dalam bukunya Dustur Dakwah menurut al-Quran (1994), menegaskan dakwah ialah satu kurikulum dan penerangan yang lengkap, juga satu kegiatan ajakan, baik dalam bentuk lisan, tulisan, mahupun tingkah laku, yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain.
.
Menurut Syamsul Bahri (199:208) dakwah mengandungi erti seruan atau ajakan, jemputan atau panggilan, arahan atau dorongan untuk melakukan suatu tindakan tertentu. Beliau menyatakan lagi, dakwah dan tarbiah itu dipergunakan untuk menunjuk suatu aktiviti yang dipergunakan untuk mengembangkan suatu tata kehidupan sosial sebagi aktiviti sosialisasi sistem ajaran Islam.

Oleh itu jelas bahawa dakwah merupakan satu usaha serius yang dijalankan dalam usaha mengajak manusia kepada agama Islam dan hidayah-Nya demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, serta melaksanakan tuntutan-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang.

Dalam pelaksanaan dakwah ia melibatkan tiga unsur yang penting iaitu penyampai dakwah, maklumat yang disampaikan dan penerima dakwah. Namun dakwah mengandungi pengertian yang lebih luas dari istilah tersebut, kerana istilah dakwah mengandungi makna atau pengertian sebagai aktiviti menyampaikan ajaran Islam, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan juga memberi khabar gembira serta peringatan kepada manusia (M. Munir 2006).

Istilah dakwah dalam al-Quran diungkapkan dalam bentuk fi’il (kata perbuatan) atau masdar (kata terbitan) sebanyak lebih 100 kali. Dalam Al-Quran perkataan dakwah dalam erti mengajak terdapat 46 kali, 39 kali sebut dalam erti mengajak kepada Islam dan kebaikan dan tujuh kali pengertian membawa ke neraka atau kejahatan ( Mu’jam Mufaris lil kalimat al-Quran 2000).

Oleh kerana itu secara terminologi pengertian dakwah dari aspek positif bermaksud ajakan kepada kebaikan dan keselamatan dunia dan akhirat. Selain dari itu terdapat definisi yang berbeza yang telah di berikan oleh ilmuwan dan ulama dalam pengertian dakwah. Antaranya:

a. Ali Makhfudh (.t.th) dalam bukunya Hidayatul Mursyidin ila Thuruq al Wa’izana al-Khitabath ‘ menyatakan, “ dakwah adalah mendorong manusia untuk berbuat kebajikan dan mengikuti petunjuk (agama), menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar agar memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat.
b. Muhammad Khidr Husain dalam bukunya ‘al-Dakwah ila al-islah’ “mengatakan,dakwah adalah tindakan untuk memotivasikan orang lain agar berbuat baik dan mengikuti jalan petunjuk dan melakukan amar makruf nahi mungkar dengan tujuan mendapatkan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
c. Ahmad Ghalwassy dalam bukunya ‘ad-dakwah al-Islamiyyah’ menyatakan bahawa ilmu dakwah adalah ilmu yang digunakan untuk mengetahui berbagai-bagai seni menyampaikan kandungan ajaran Islam, baik akidah, syariat ataupun akhlak.
d. Nasaruddin Latiff (t.th) dalam bukunya Teori dan praktik dakwah Islamiah, menyatakan bahawa dakwah adalah setiap usaha atau aktiviti dengan menggunakan lisan ataupun tulisan yang bersifat menyeru, mengajak, memanggil manusia lainnya untuk beriman dan mentaati Allah SWT selaras dengan garis-garis akidah dan syariat Islamiah.
e. Toha Yahaya Omar menyatakan bahawa dakwah adalah mengajak manusia dengan cara bijaksana kepada jalan yang benar sesuai dengan perintah tuhan untuk kemaslahatan dan kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.
f. Quraish Shihab (1992) dalam bukunya, Membumikan al-Quran mendefinisikan dakwah sebagai seruan atau ajakan kepada keinsafan atau usaha mengubah situasi yang tidak baik kepada situasi yang lebih baik dan sempurna terhadap peribadi ataupun masyarakat.

Berdasarkan definisi yang telah diberikan, walaupun agak berbeza, namun dapat disimpulkan bahawa inti pati dakwah merupakan aktiviti dan tindakan untuk mengubah manusia, baik individu ataupun masyarakat dari keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Selain dari itu istilah dakwah mencakupi pengertian berikut:

a. Dakwah adalah suatu aktiviti atau kegiatan yang bersifat menyeru atau mengajak orang lain untuk mengamalkan ajaran Islam.
b. Dakwah adalah proses penyampaian ajaran Islam yang dilakukan secara sedar dan sengaja.
c. Dakwah adalah suatu aktiviti yang pelaksanaannya dilakukan dengan berbagai-bagai cara dan kaedah.
d. Dakwah adalah kegiatan yang dirancang dengan tujuan mencari kebahagiaan hidup dengan mencari keredaan Allah.
e. Dakwah adalah usaha peningkatan pemahaman keagamaan untuk mengubah pandangan hidup, sikap batin dan perilaku manusia yang tidak sesuai dengan ajaran Islam menjadi sesuai dengan tuntunan syariat bagi memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Tuesday, March 10, 2009

PERANAN TENTERA BAGI UMAT ISLAM

Allah SWT telah menetapkan bahawa kepentingan dunia ini perlu dipertahankan dan juga kepentingan mempertahankan prinsip Islam di atas muka bumi ini. Ini adalah seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 251,



“ Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut Dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta Dalam tentera Talut) membunuh Jalut. dan (Sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) Kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa Yang dikehendakiNya. dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) Dengan setengahnya Yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam”.


Dalam kitab suci al-Quran telah dijelaskan tentang kepentingan jihad dan mengarahkan umat Islam supaya sentiasa berjihad di jalan Allah. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 41,



“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”.

Dalam surah ini juga khususnya dalam ayat 39, Allah telah memperingatkan kepada umat Islam tentang balasan di kalangan umat Islam yang tidak bersedia untuk berjihad di jalan Allah atau tidak sanggup untuk berjihad demi mempertahankan agama Allah. Firman Allah,



“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikit pun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” .


Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Mukhtasar Ibn Kathir, dalam aspek jihad telah menjelaskan bahawa “ Allah SWT telah memerintahkan seluruh kaum Muslimin bergerak bersama Rasulullah SAW dalam perang Thabuk untuk memerangi musuh-musuh Allah, iaitu bangsa Romawi, sama ada yang senang atau susah atau yang muda atau yang tua kerana kaum Muslimin telah mendengar berita bahawa bangsa Romawi telah bersiap sedia untuk menyerang Madinah,

Dari pengalaman sirah Islam, telah membuktikan bahawa kaum Muslim khususnya pada zaman Rasullah, zaman sahabat, zaman khulafak ar-Rasyidin ataupun pada zaman Daulah Umaiyyah dan Daulah Abbasiyah. Kesan dari ketinggian semangat jihad yang wujud dalam diri umat Islam terdahulu terbukti dengan ketinggian dan kemuliaan umat Islam pada waktu itu. Keadaan sebaliknya pula berlaku apabila umat Islam telah mula mengabaikan semangat jihad ini, kaum Muslimin telah berubah umpama apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW, dalam sabdanya yang bermaksud,

“Kamu (umat Islam) hampir ditelan atau dikuasai oleh bangsa-bangsa seperti gelojohnya mereka menelan makanan, kelak Allah mencabut (menghapuskan) perasaan gerun dari hati-hati musuh kamu ketika itu juga Allah menimbulkan perasaan lemah dalam hati-hati kamu”. Seorang sahabat bertanya: “ apakah bilangan kami (umat Islam sedikit pada ketika itu ya Rasulullah?’. Baginda menjawab : “Tidak. Malahan lebih ramai bilangan kamu, tetapi ramainya kamu ibarat buih-buih di permukaan air yang mengalir”. Seorang sahabat lagi bertanya: “Apakah kelemahan itu ya Rasulullah?”. Baginda menjelaskan: “Cinta kepada dunia dan benci takut) kepada mati”.


Berdasarkan keadaan tersebut umat Islam mempunyai peranan untuk mempertahankan Islam dan salah satu pendekatan yang penting ialah melalui ketenteraan Islam. Dalam hal ini Khalid Ahmad Syantut dalam bukunya al-Muslimun wa Tarbiyah al-askariah (1993), menjelaskan bahawa tentera merupakan sebahagian dalam masyarakat dan tentera mempunyai dua kategori iaitu:

a. Memasuki perkhidmatan Tentera secara sukarela iaitu individu yang memasuki perkhidmatan tentera secara sukarela dan memilih tentera sebagai satu bidang kerja dalam hidup. Mereka mendapat gaji bulanan dan dalam keadaan aman mereka berlatih dalam ilmu ketenteraan . Ini seperti mana yang kita dapat lihat di pusat-pusat latihan ketenteraan ataupun akademi ketenteraan di mana anggota belajar atau berlatih dalam tempoh yang tertentu dalam usaha menjadi tentera yang berketerampilan dan berwibawa sekali gus dapat membina sebuah angkatan tentera yang mantap.

b. Memasuki tentera secara kerahan wajib. Dalam bentuk ini setiap warga negara lelaki yang telah mencukupi umur 18 tahun, mereka diwajibkan memasuki akademi tentera untuk berlatih dan berkhidmat sebagai anggota tentera untuk tempoh yang ditetapkan. Biasanya dalam tempoh satu tahun hingga tiga tahun. Setelah tempoh tersebut mereka kembali menjadi orang awam, namun demikian dalam tempoh-tempoh tertentu mereka akan dipanggil untuk menjalani latihan ketenteraan.

Islam agama perdamaian

Islam telah dianggap oleh pihak Barat sebagai agama yang disebarkan melalui mata pedang. Anggapan yang keliru dan mengelirukan serta mengandungi unsur-unsur prejudis ini telah lama di canang oleh musuh-musuh Islam dan ianya diterima oleh kebanyakan orang. Walau bagaimanapun hakikat Islam sebagai ad-din yang membawa gagasan rahmat dan keselamatan sejagat masih tetap asli. Dari itu ajaran Islam dan sirah Rasulullah SAW merupakan pembawa dan penyampai risalah Islam.

Ketenteraan atau tentera adalah satu kumpulan profesional yang perlu dimiliki oleh sesebuah negara. Tentera terdiri daripada satu kumpulan yang berorganisasi dan terurus yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa jua situasi kritikal khususnya perangan. Menurut Amus Permutter (2002) tentera merupakan satu ikatan persaudaraan dan perikatan sekali gus alat kekuasaan dan birokrasi. Bagi S.E Finer (1962) pula, kelompok tentera ini diwujudkan bagi menghadapi peperangan dan untuk mempertahankan serta memastikan kemenangan untuk mempertahankan kepentingan sebuah negara.

Dari pengertian di atas dapat diambil kesimpulan bahawa peranan atau fungsi ketenteraan adalah untuk melakukan tugas dalam aspek pertahanan sesebuah negara dan ini disebut sebagai “peranan tentera”.

Dalam perjalanan sejarah Islam, masyarakat Islam klasik mula mengenal hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan apabila terbentuknya negara Islam yang pertama iaitu Madinah. Kajian ketenteraan dari sudut fiqh siyasah agak jarang dilakukan. Para pengkaji banyak melihat ketenteraan sebagai satu cabang kajian iaitu dari sudut jihad. Para pengkaji ketenteraan biasanya membuat analisis taksonomi dan konseptual dalam mengkaji bidang ketenteraan. Aspek ini diperlukan untuk melihat kajian ketenteraan dari sudut jenis tentera, bentuk-bentuk hubungan tentera dan awam, dan aspek sejarah ketenteraan. Untuk itu, Samuel Huntington (1980) telah mengemukakan tiga bentuk ketenteraan. Pertama, tentera profesional, iaitu bentuk organisasi tentera yang menonjol di negara yang keadaan politiknya stabil. Kedua, ketenteraan pretorian, iaitu bentuk tentera yang berkembang di negara-negara yang keadaan politiknya tidak stabil dan ketiga, tentera revolusi iaitu bentuk yang terdapat di negara yang keadaan politiknya yang stabil, tetapi ia bermula dari suasana politik yang tidak stabil.

Jacques Van Den dalam bukunya Ideology and The Military telah membahagikan ketenteraan itu kepada tiga landasan ideologi iaitu ideologi politik, ideologi korporat dan ideologi operasi (Muhammad Najib Azca 1998: 47). Berbeza dengan Luckam dalam Civil Military Vol 12 (2000), yang melihat kuat atau tidaknya organisasi tentera di sesebuah negara itu bergantung pada tiga aspek iaitu:

a. Aspek organisasi dan struktur ketenteraan secara profesional.
b. Kemampuan menekan atau mengawal kuasa pemerintahan sesebuah negara khususnya kerajaan yang memerintah.
c. Mempunyai peranan politik dalam sesebuah negara. Ini bermaksud organisasi tentera sebagai “guardian of the state’. Oleh yang demikian tentera mempunyai peranan yang dominan dalam pemerintahan sesebuah negara.

Berdasarkan kepada pendapat di atas, ternyata ketenteraan Islam pada zaman awal Islam tidak hanya dilihat sebagai satu alat untuk menghadapi peperangan semata-mata tetapi ia juga sebagai alat atau mekanisme untuk perluasan politik Islam pada zaman tersebut.

Jeneral Carl Von Clauswentiz (1967: 36), pernah menyebut bahawa perang hanyalah lanjutan dari tindakan politik dengan cara yang lain. Bagi ahli fikah pula menjelaskan “ diwujudkan perang itu kerana ada sebab. Perang bukankah tujuan akhir, kerana menjadi tujuan akhir adalah memberikan hidayat kepada orang kafir. Maka membunuh orang kafir itu bukanlah tujuan, kerana apabila mereka telah mendapat hidayah, perang bukan cara yang terbaik” (Wahbah Zuhaili 1962: 62).

Selain dari itu terdapat beberapa kajian yang telah dibuat bagi melihat ketenteraan dari aspek keagamaan. Antaranya:

(a.) Muhammad Jamaluddin (t.th), dalam, Al-askariyyah al-Islamiah telah menekankan nilai-nilai ideal yang perlu dimiliki oleh sesebuah organisasi ketenteraan menurut pandangan Islam.
(b) Wahbah Zuhaili (1962) Athasru al-Harb fil-Islam. Buku ini membahaskan tentang aspek peperangan dari perspektif Islam. Tidak banyak buku-buku fikah yang melihat peperangan dalam sejarah Islam sebahaginya dari sistem kenegaraan dalam Islam. Kebanyakan ahli fikah melihat peperangan sebagai sebahagian dari misi jihad fi sabilillah. Bagi Wahbah misi jihad sesungguhnya menegakkan nilai-nilai universal dalam Islam, sehingga jihad mengangkat senjata melawan orang kafir bukan satu-satunya bentuk jihad fi sabillah. Terdapat jihad dalam bentuk lain seperti melawan hawa nafsu. Namun Wahbah tetap mengakui terdapat konsep jihad dan peperangan dalam khazanah ilmu fikah kontemporari.

Wahbah telah membezakan antara jihad dengan peperangan. Jihad yang dimaksudkan dalam ilmu fikah ialah peperangan atau pertarungan antara umat Islam dengan bukan umat Islam dalam rangka menegakkan nilai-nilai dan agama Islam. Sejarah jihad dalam Islam dimulai sejak munculnya berbagai peperangan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Manakala peperangan (harb) pula merupakan peperangan antara satu negara dengan satu negara yang lain. Konteks peperangan ini juga biasa dilihat dalam sejarah Islam ketika negara-negara atau kerajaan Islam mempertahankan negara masing-masing.

(c) Reuben Levy (1969) The Social Structure of Islam. Buku ini menjelaskan aspek-aspek sosial dalam Islam yang merangkumi strata sosial dalam Islam termasuk kedudukan wanita, kanak-kanak, aspek perundangan Islam, pendidikan moral, politik, agama dan pemerintahan Islam Selain dari itu terdapat juga bab yang menyentuh tentang ketenteraan Islam secara ringkas.

(d) Howards M. Federsphil (1973), Military and Islam in Indonesia, dalam Jurnal Fasific Affairs Vol 46. Kajian ini melihat korelasi antara Keislaman seseorang anggota tentera dalam kehidupan seharian. Islam yang difahami sebagai way of life dan pandangan hidup mengatur seluruh kehidupan manusia. Aspek ibadah ritual merupakan ciri-ciri keimanan seseorang yang dilihat secara zahirnya. Sedangkan ketakwaan sebagai inti penghayatan Islam.

Di kalangan tentera Islam Indonesia, aspek ritual keagamaan menjadi sangat penting dalam melihat perkembangan Islam di dalam Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Apa yang dilakukan oleh Jeneral Abdul Haris Nasution, pada waktu itu ialah dengan mewujudkan kelompok tentera yang dapat menguruskan aspek pembinaan mental anggota tentera, dalam usaha untuk mengekalkan anggota tentera Muslim mengamalkan ajaran Islam sesuai dengan tempat dan keadaan.
(e). Muhammad Yassin Mahdzar Siddigue (1988), Organization of Goverment under the Holy Prophet. Kajian yang telah dilakukan oleh Mahdzar ialah beliau melihat berkaitan dengan aspek-aspek politik Islam klasik yang amat komprehensif. Buku tersebut telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian ketenteraan, bahagian perkhidmatan awam bahagian pengurusan agama. Buku ini juga telah menjelaskan organisasi ketenteraan di zaman Rasullah berdasarkan buku-buku sejarah utama dalam Islam iaitu seperti Sirah an-Nabawi oleh Ibn Ishak, Tarikh Islami oleh at-Tabari serta buku tulisan Montogomery Watt menerusi bukunya, “Prophet and the statesmen”.
(f) Afzalur Rahman (1990), Muhammad as military leader. Buku ini menjelaskan nilai-nilai universal ketenteraan Islam yang selama ini disalah fahami oleh ramai orang. Khususnya golongan bukan Islam. Buku ini juga menjelaskan bahawa Islam disebarkan melalui konsep ketenteraan Islam yang amat murni dan bukan melalui pedang (Islam is a sword). Secara umumnya Rahman menjelaskan tentang prinsip-prinsip peperangan dalam Islam dengan banyak mengemukakan dalil-dalil naqliah sama ada dari al-Quran ataupun dari al-Hadis. Berkembangnya organisasi ketenteraan dalam Islam tidak terlepas dari aspek semangat dan nilai-nilai agama yang menjadi landasan perjuangan tentera Islam. Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan keizinan untuk berperang turut dikaitkan dalam konteks peperangan yang berlaku dalam zaman Nabi Muhammad SAW.

Merujuk kepada Madinah sebagai sebuah negara Islam yang pertama, peperangan bukanlah satu-satunya strategi dalam melakukan perluasan wilayah negara Islam. Ini terbukti dengan ramainya orang Yahudi yang menjadi warga negara di Madinah. Walaupun mereka terpaksa membayar jizyah (cukai) kepada pihak pemerintah Islam. Peperangan dilakukan jika sekiranya tiada jalan lain untuk perdamaian.

(g) Daniel Pipes (1993), Slave soldier and Islam, yang telah mengkaji perkembangan ketenteraan pada zaman Abbasiyyah, di mana Pipes telah melihat kumpulan tentera pada zaman kerajaan Mamluk (129-205 H). Pipes, menjelaskan tentang maksud “Slaves soldier”, itu adalah kumpulan anggota tentera pada zaman kerajaan Mamluk yang telah dapat dididik dan dilatih sehingga menjadi tentera Muslim yang berwibawa, terlatih serta telah menghayati Islam sepenuhnya hingga mampu menjaga kerajaan Abbasiyyah.

TANGGUNGJAWAB KETENTERAAN DALAM ISLAM

Tanggungjawab ketenteraan dalam Islam merupakan kewajipan akidah dan jihad yang berlandaskan syariat serta akhlak Islam yang dilaksanakan melalui tanggungjawab kepimpinan negara Islam yang sah. Pelaksanaan dan tindakan ketenteraan hendaklah berlaku dengan kaedah-kaedah dan peraturan seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan perincian hukum oleh ijmak sahabat Rasulullah SAW. Dengan ini tanggungjawab ketenteraan adalah juga tuntutan iman, Islam dan ihsan sebagai ibadat yang tertinggi untuk meninggikan kalimah Allah. Operasi ketenteraan Islam adalah operasi merealisasikan dakwah Islamiah kepada seluruh umat manusia. Dengan sebab itu setiap anggota tentera dalam Islam adalah pendakwah di jalan Allah. Tentera menyebarkan dakwah Islamiah jika tentera itu benar-benar melaksanakan tugas jihad perang pada jalan Allah seperti mana yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah apabila negara Islam Madinah ditubuhkan (Ideris Endot 1987). Antara tanggungjawab ketenteraan Islam merangkumi perkara berikut:

a. Pemeliharaan akidah. Islam meletakkan akidah atau arkanul iman sebagai asas dalam kehidupan. Asas akidah atau kepercayaan kepada seseorang yang menghayati akidah akan merasa dirinya bebas dan merdeka dari mana-mana ikatan makhluk di alam ini. Sebaliknya, orang-orang yang tidak beriman kepada Allah mempunyai pandangan dan nilai hidup yang akan diukur dari segi kepentingan dan hubungannya degan duniawi. Itulah kesempitan dunia yang pernah disebut oleh Ruba’i bin Amir ketika dihantar untuk menemui panglima perang Farsi yang bernama Rustam. Ruba’i menyatakan kepada Rustam bahawa kedatangan tentera Islam adalah untuk membebaskan manusia dari menambah manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah dan untuk mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan keluasan akhirat. Begitu juga apa yang berlaku kepada Khalid al-Walid yang memimpin 10,000 orang tentera dapat mengalahkan seratus ribu tentera Farsi. Seorang ketua tentera Farsi bertanya, “Bagaimana tentera yang sedikit dapat mengalahkan tentera yang ramai?’. Khalid menjawab, “Kami mencintai mati dan kamu mencintai hidup, kamu berjuang untuk hidup dan kami berjuang untuk mati dan kami mencintai mati”. Ternyata keimanan dengan akidah yang mantap memberi kekuatan sekali gus memastikan Islam dapat dipertahankan.
b. Pelaksanaan dakwah Islamiah. Tentera bertanggungjawab terhadap dakwah Islamiah apabila ia dapat memperluaskan kuasa dan penubuhan kerajaan atau perluasan jajahan takluk. Tentera berperanan sebagai pendakwah dan menyampaikan dakwah kepada manusia, membebaskan manusia syirik dan kufur kepada nur Islam. Mereka membawa pedang membuka negeri bukan tujuan untuk menjajah, tetapi membebaskan manusia dari syirik dan penyembahan berhala. Tujuan mereka adalah melaksanakan penyebaran agama Allah dan Syariat Islam.
c. Melaksanakan jihad. Sesungguhnya pedang atau peperangan dalam Islam bukanlah pemusnah, penghancur atau kezaliman tetapi pedang dalam Islam merupakan senjata untuk melurus, memberi dan mengawal. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pada suatu ketika memegang al-Quran di tangan kanannya dan memegang pedang di tangan kirinya dan menyatakan, “ aku diutus kepada manusia dengan ini (merujuk kepada al-Quran) dan juga dengan ini (merujuk kepada pedang). Aku akan betulkan manusia supaya berjalan di atas yang lurus. Pedang berguna untuk menjaga mereka kembali ke jalan Allah sekiranya mereka telah menyeleweng”.

Pemimpin tentera Islam yang terkenal, Uqbah bin Nafi’ pernah menjelaskan matlamat jihad dan matlamat pembukaan negara Islam. Setelah beliau berjaya (dengan izin Allah) membuka Afrika Utara dan berjaya sampai ke lautan Atlantik, beliau bersama-sama sahabatnya menunggang kuda dan terus meredah laut dan apabila air sampai ke paras dada kuda, beliau berhenti lalu berkata, “ wahai tuhanku, aku keluar bukan untuk bongkak dan bukan untuk jahat. Aku keluar semata-mata untuk jihad di jalan engkau, untuk meninggikan kalimah dan hukuman engkau dan untuk mendapatkan keredaan engkau, wahai tuhanku, kalaulah aku ketahui ada manusia yang di seberang lautan ini yang mengkufuri engkau sehingga dia beriman kepada engkau...” . Demikian antara matlamat peperangan dan jihad dalam Islam, dan mereka berani untuk terus berjuang demi menegakkan kalimah tauhid atas nama jihad dan sentiasa menghayati firman Allah SWT,


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL

  "Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...