Tuesday, March 10, 2009

TANGGUNGJAWAB KETENTERAAN DALAM ISLAM

Tanggungjawab ketenteraan dalam Islam merupakan kewajipan akidah dan jihad yang berlandaskan syariat serta akhlak Islam yang dilaksanakan melalui tanggungjawab kepimpinan negara Islam yang sah. Pelaksanaan dan tindakan ketenteraan hendaklah berlaku dengan kaedah-kaedah dan peraturan seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan perincian hukum oleh ijmak sahabat Rasulullah SAW. Dengan ini tanggungjawab ketenteraan adalah juga tuntutan iman, Islam dan ihsan sebagai ibadat yang tertinggi untuk meninggikan kalimah Allah. Operasi ketenteraan Islam adalah operasi merealisasikan dakwah Islamiah kepada seluruh umat manusia. Dengan sebab itu setiap anggota tentera dalam Islam adalah pendakwah di jalan Allah. Tentera menyebarkan dakwah Islamiah jika tentera itu benar-benar melaksanakan tugas jihad perang pada jalan Allah seperti mana yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah apabila negara Islam Madinah ditubuhkan (Ideris Endot 1987). Antara tanggungjawab ketenteraan Islam merangkumi perkara berikut:

a. Pemeliharaan akidah. Islam meletakkan akidah atau arkanul iman sebagai asas dalam kehidupan. Asas akidah atau kepercayaan kepada seseorang yang menghayati akidah akan merasa dirinya bebas dan merdeka dari mana-mana ikatan makhluk di alam ini. Sebaliknya, orang-orang yang tidak beriman kepada Allah mempunyai pandangan dan nilai hidup yang akan diukur dari segi kepentingan dan hubungannya degan duniawi. Itulah kesempitan dunia yang pernah disebut oleh Ruba’i bin Amir ketika dihantar untuk menemui panglima perang Farsi yang bernama Rustam. Ruba’i menyatakan kepada Rustam bahawa kedatangan tentera Islam adalah untuk membebaskan manusia dari menambah manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah dan untuk mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan keluasan akhirat. Begitu juga apa yang berlaku kepada Khalid al-Walid yang memimpin 10,000 orang tentera dapat mengalahkan seratus ribu tentera Farsi. Seorang ketua tentera Farsi bertanya, “Bagaimana tentera yang sedikit dapat mengalahkan tentera yang ramai?’. Khalid menjawab, “Kami mencintai mati dan kamu mencintai hidup, kamu berjuang untuk hidup dan kami berjuang untuk mati dan kami mencintai mati”. Ternyata keimanan dengan akidah yang mantap memberi kekuatan sekali gus memastikan Islam dapat dipertahankan.
b. Pelaksanaan dakwah Islamiah. Tentera bertanggungjawab terhadap dakwah Islamiah apabila ia dapat memperluaskan kuasa dan penubuhan kerajaan atau perluasan jajahan takluk. Tentera berperanan sebagai pendakwah dan menyampaikan dakwah kepada manusia, membebaskan manusia syirik dan kufur kepada nur Islam. Mereka membawa pedang membuka negeri bukan tujuan untuk menjajah, tetapi membebaskan manusia dari syirik dan penyembahan berhala. Tujuan mereka adalah melaksanakan penyebaran agama Allah dan Syariat Islam.
c. Melaksanakan jihad. Sesungguhnya pedang atau peperangan dalam Islam bukanlah pemusnah, penghancur atau kezaliman tetapi pedang dalam Islam merupakan senjata untuk melurus, memberi dan mengawal. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pada suatu ketika memegang al-Quran di tangan kanannya dan memegang pedang di tangan kirinya dan menyatakan, “ aku diutus kepada manusia dengan ini (merujuk kepada al-Quran) dan juga dengan ini (merujuk kepada pedang). Aku akan betulkan manusia supaya berjalan di atas yang lurus. Pedang berguna untuk menjaga mereka kembali ke jalan Allah sekiranya mereka telah menyeleweng”.

Pemimpin tentera Islam yang terkenal, Uqbah bin Nafi’ pernah menjelaskan matlamat jihad dan matlamat pembukaan negara Islam. Setelah beliau berjaya (dengan izin Allah) membuka Afrika Utara dan berjaya sampai ke lautan Atlantik, beliau bersama-sama sahabatnya menunggang kuda dan terus meredah laut dan apabila air sampai ke paras dada kuda, beliau berhenti lalu berkata, “ wahai tuhanku, aku keluar bukan untuk bongkak dan bukan untuk jahat. Aku keluar semata-mata untuk jihad di jalan engkau, untuk meninggikan kalimah dan hukuman engkau dan untuk mendapatkan keredaan engkau, wahai tuhanku, kalaulah aku ketahui ada manusia yang di seberang lautan ini yang mengkufuri engkau sehingga dia beriman kepada engkau...” . Demikian antara matlamat peperangan dan jihad dalam Islam, dan mereka berani untuk terus berjuang demi menegakkan kalimah tauhid atas nama jihad dan sentiasa menghayati firman Allah SWT,


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .