Tuesday, March 24, 2009

PERKHIDMATAN AGAMA DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

“Tugas dan tanggungjawab pasukan tentera hanya untuk berperang dan mempertahankan negara”. Mungkin itu pendapat sesetengah masyarakat kita hari ini. Malah ada juga sebilangan pihak yang tidak sedar betapa perlunya keutuhan dan kekuatan angkatan tentera khasnya dan masyarakat amnya, kerana leka dan rakus mengejar arus pembangunan dan kekayaan ekonomi yang begitu pesat dan banyak sekali. Keperluan rohani adalah satu elemen yang tidak patut diketepikan sama sekali kerana ia menjadi asas bagi mendukung kekuatan fizikal. Dalam konteks pertahanan negara, Angkatan Tentera Malaysia sememangnya menyedari hakikat tersebut, malah pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak demi menjayakan hasrat murni ini dan seterusnya mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara.

Oleh yang demikian, Kor Agama Angkatan Tentera atau lebih sinonim dengan panggilan KAGAT telah ditubuhkan secara rasminya pada 16 April 1985 setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mewujudkan sebuah institusi khas yang mengendalikan hal ehwal keagamaan dan kerohanian dalam Angkatan Tentera Malaysia ( KAGAT 20 Tahun: 2005). Tugas dan tanggungjawab yang dimainkan oleh KAGAT tidak boleh dianggap mudah kerana peranannya begitu luas yang meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Memandangkan keanggotaan di dalam ATM rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Maka wajarlah sebuah organisasi di bawah ATM diberikan mandat untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan anggotanya. Malah penubuhan KAGAT pada waktu itu adalah tepat pada masanya kerana berdasarkan sejarah silam, negara telah mewarisi corak kepimpinan dan pentadbiran tentera British sejak sebelum merdeka lagi (Abdul Rahim Awang 1998).

Perlembagaan Malaysia, Perkara dalam perkara 3(1), telah termaktub menyebutkan bahawa,

“Agama Islam ialah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. (Perlembagaan Persekutuan. Mac Graw Hill : 2007).

Berdasarkan perkara tersebut, agama merupakan salah satu ciri yang penting bagi negara Malaysia, dan oleh yang demikian wajar untuk berusaha dan menerapkan nilai-nilai Islam kepada tatacara perkhidmatan awam negara ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia seperti yang telah disebut dalam Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Abdul Hamid Zainal Abidin, Penerapan Nilai-Nilai Islam,1990). Secara amnya, kegiatan-Kegiatan Keislaman di Malaysia selepas mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertamanya ialah kegiatan bersifat rasmi seperti yang dijalankan oleh kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan juga kegiatan serta program agama yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam di negeri-negeri. Kedua, kegiatan agama yang dijalankan secara tidak rasmi oleh rakyat dan juga orang ramai menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti Persatuan Penduduk, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan sebagainya (Wan Hussein Azmi Abdul Kadir :1980).

Oleh yang demikian dalam konteks ATM usaha-usaha ke arah penghayatan Islam dilaksanakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .