Dakwah Islamiah adalah ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah disampaikan dan disebarluaskan secara hikmat dan berkesan. Sehubungan dengan itu, atas kesedaran bagi menyampaikan dakwah Islamiah dengan lebih berkesan dan untuk membina anggota tentera yang beriman dan bertakwa sekali gus dapat berkhidmat dengan cemerlang dan berkesan usaha-usaha dakwah Islamiah telah dilaksanakan dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia secara lebih meluas dan tersusun. Bab ini akan menjelaskan pelaksanaan dakwah yang dilakukan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha menyampaikan mesej Islam dan memberi pemahaman dan penghayatan agama Islam kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia.
PENGERTIAN DAKWAH
Pengertian dakwah secara etimologi, dakwah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu da’a, yad’u, da’wan, du’a (Majma al-Lughah al-Arabiyah 1972) yang bererti mengajak, menyeru, memanggil, seruan, permohonan dan permintaan. Istilah ini sering diberi erti yang sama dengan istilah-istilah tabligh, amar maaruf dan nahi mungkar, mauizzah hasanah, tabsyir, inzar, washiah, tarbiyah, taa’lim dan khutbah.
Dalam pengertian lain dakwah dimaksudkan dengan ibadah, ajakan, permohonan ( al-istighatahah) permintaan dan azam. Mengikut terminologi bahawa pengertian dakwah ialah mengajak manusia kepada kebaikan dan petunjuk, menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar ( al-amr bi al ma’ruf wa an-nahyl al-munkar) untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dan kategori ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, dakwah umat Nabi Muhammad SAW kepada sekalian umat untuk memeluk agama Islam. Kedua, dakwah kepada sesama umat Islam agar sentiasa melakukan kebaikan, ketiga, dakwah kepada diri masing-masing untuk menggerakkan kebaikan sekali gus mendorong untuk melakukannya( Ali Mahfuz t.th).
Berdasarkan pengertian di atas baik secara etimologi atau terminologi, dakwah dapat diertikan dengan setiap ajakan baik melalui perkataan, tulisan ataupun sikap sama ada ajakan tersebut ke arah kebaikan ataupun kejahatan. Pengertian ini telah terdapat dalam al-Quran di mana dakwah tidak sahaja dimaksudkan terhadap hal-hal yang baik, bahkan ajakan kepada perkara-perkara yang tidak baik juga disebut dengan dakwah. Ini sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Mukmin ayat 41, Allah berfirman,
"Dan Wahai kaumku! apa halnya Aku Dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku ke neraka? Kamu mengajakku supaya Aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah dan mempersekutukanNya Dengan apa Yang Aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal Aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampu”
Berdasarkan ayat di atas dapat difahami bahawa kata dakwah dalam bentuk yang neutral iaitu mengajak sesatu perkara yang baik atau yang tidak baik. Menurut al-Syawkani (1973) dakwah kepada kebaikan ialah mengajak manusia untuk masuk syurga dan menghindari masuk neraka dengan iman kepada Allah dan mematuhi seruan-seruan Rasulullah. Sementara dakwah yang tidak baik pula ialah mengajak manusia untuk masuk ke neraka dengan cara mempersekutukan Allah atau syirik.
Pandangan al-Syawkani itu tidak jauh bezanya dengan pandangan al-Razi (t.th) dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghayb yang menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah kepada kebaikan ialah menyeru manusia kepada keimanan yang dapat memberikan keselamatan kepada mereka, sedangkan yang dimaksudkan dengan dakwah kepada kejahatan ialah mengajak manusia kepada kekufuran sehingga seseorang itu terjerumus ke dalam neraka.
Berhubung dakwah ke jalan Allah SWT, Ali Mahfuz (t.th) telah membahagikannya kepada empat tahap iaitu yang pertama, melaksanakan dakwah ke jalan Allah menerusi pedang atau peperangan. Kedua melaksanakan dakwah dengan cara pendekatan yang telah dilakukan seperti para nabi dan rasul iaitu dengan memberikan contoh-contoh kebaikan. Ketiga, dakwah dengan memberikan penumpuan kepada persoalan hati dengan mendidik dan memberikan rangsangan dan kehidupan kepada hati. Keempat, dakwah menuju ketuhanan yang bermaksud mendahulukan segala kepentingan dan ketetapan yang telah ditentukan Allah SWT berbanding dengan yang lain.
Dakwah juga merupakan usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah SWT (Bahi al-Kulli 1983: 52). Ini bermaksud, perpindahan berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kejahatan kepada kebaikan, kesesatan kepada kebaikan, kesesatan kepada hidayah, negatif pada positif dan perkara-perkara buruk kepada kebaikan.
Selain dari itu, dakwah juga bermaksud sebagai usaha mengubah suatu situasi kepada situasi yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi, organisasi ataupun masyarakat. Dakwah bukan sahaja sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup sahaja, tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas. Apatah lagi pada masa kini dakwah harus lebih berperanan menuju kepada pelaksanaan ajaran Islam secara lebih holistik dalam pelbagai aspek kehidupan (Abdul Aziz Mohd Zin et.al: 2006).
A. Hasjmy dalam bukunya Dustur Dakwah menurut al-Quran (1994), menegaskan dakwah ialah satu kurikulum dan penerangan yang lengkap, juga satu kegiatan ajakan, baik dalam bentuk lisan, tulisan, mahupun tingkah laku, yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain.
.
Menurut Syamsul Bahri (199:208) dakwah mengandungi erti seruan atau ajakan, jemputan atau panggilan, arahan atau dorongan untuk melakukan suatu tindakan tertentu. Beliau menyatakan lagi, dakwah dan tarbiah itu dipergunakan untuk menunjuk suatu aktiviti yang dipergunakan untuk mengembangkan suatu tata kehidupan sosial sebagi aktiviti sosialisasi sistem ajaran Islam.
Oleh itu jelas bahawa dakwah merupakan satu usaha serius yang dijalankan dalam usaha mengajak manusia kepada agama Islam dan hidayah-Nya demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, serta melaksanakan tuntutan-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang.
Dalam pelaksanaan dakwah ia melibatkan tiga unsur yang penting iaitu penyampai dakwah, maklumat yang disampaikan dan penerima dakwah. Namun dakwah mengandungi pengertian yang lebih luas dari istilah tersebut, kerana istilah dakwah mengandungi makna atau pengertian sebagai aktiviti menyampaikan ajaran Islam, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan juga memberi khabar gembira serta peringatan kepada manusia (M. Munir 2006).
Istilah dakwah dalam al-Quran diungkapkan dalam bentuk fi’il (kata perbuatan) atau masdar (kata terbitan) sebanyak lebih 100 kali. Dalam Al-Quran perkataan dakwah dalam erti mengajak terdapat 46 kali, 39 kali sebut dalam erti mengajak kepada Islam dan kebaikan dan tujuh kali pengertian membawa ke neraka atau kejahatan ( Mu’jam Mufaris lil kalimat al-Quran 2000).
Oleh kerana itu secara terminologi pengertian dakwah dari aspek positif bermaksud ajakan kepada kebaikan dan keselamatan dunia dan akhirat. Selain dari itu terdapat definisi yang berbeza yang telah di berikan oleh ilmuwan dan ulama dalam pengertian dakwah. Antaranya:
a. Ali Makhfudh (.t.th) dalam bukunya Hidayatul Mursyidin ila Thuruq al Wa’izana al-Khitabath ‘ menyatakan, “ dakwah adalah mendorong manusia untuk berbuat kebajikan dan mengikuti petunjuk (agama), menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar agar memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat.
b. Muhammad Khidr Husain dalam bukunya ‘al-Dakwah ila al-islah’ “mengatakan,dakwah adalah tindakan untuk memotivasikan orang lain agar berbuat baik dan mengikuti jalan petunjuk dan melakukan amar makruf nahi mungkar dengan tujuan mendapatkan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
c. Ahmad Ghalwassy dalam bukunya ‘ad-dakwah al-Islamiyyah’ menyatakan bahawa ilmu dakwah adalah ilmu yang digunakan untuk mengetahui berbagai-bagai seni menyampaikan kandungan ajaran Islam, baik akidah, syariat ataupun akhlak.
d. Nasaruddin Latiff (t.th) dalam bukunya Teori dan praktik dakwah Islamiah, menyatakan bahawa dakwah adalah setiap usaha atau aktiviti dengan menggunakan lisan ataupun tulisan yang bersifat menyeru, mengajak, memanggil manusia lainnya untuk beriman dan mentaati Allah SWT selaras dengan garis-garis akidah dan syariat Islamiah.
e. Toha Yahaya Omar menyatakan bahawa dakwah adalah mengajak manusia dengan cara bijaksana kepada jalan yang benar sesuai dengan perintah tuhan untuk kemaslahatan dan kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.
f. Quraish Shihab (1992) dalam bukunya, Membumikan al-Quran mendefinisikan dakwah sebagai seruan atau ajakan kepada keinsafan atau usaha mengubah situasi yang tidak baik kepada situasi yang lebih baik dan sempurna terhadap peribadi ataupun masyarakat.
Berdasarkan definisi yang telah diberikan, walaupun agak berbeza, namun dapat disimpulkan bahawa inti pati dakwah merupakan aktiviti dan tindakan untuk mengubah manusia, baik individu ataupun masyarakat dari keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Selain dari itu istilah dakwah mencakupi pengertian berikut:
a. Dakwah adalah suatu aktiviti atau kegiatan yang bersifat menyeru atau mengajak orang lain untuk mengamalkan ajaran Islam.
b. Dakwah adalah proses penyampaian ajaran Islam yang dilakukan secara sedar dan sengaja.
c. Dakwah adalah suatu aktiviti yang pelaksanaannya dilakukan dengan berbagai-bagai cara dan kaedah.
d. Dakwah adalah kegiatan yang dirancang dengan tujuan mencari kebahagiaan hidup dengan mencari keredaan Allah.
e. Dakwah adalah usaha peningkatan pemahaman keagamaan untuk mengubah pandangan hidup, sikap batin dan perilaku manusia yang tidak sesuai dengan ajaran Islam menjadi sesuai dengan tuntunan syariat bagi memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment