Tuesday, March 10, 2009

PERANAN TENTERA BAGI UMAT ISLAM

Allah SWT telah menetapkan bahawa kepentingan dunia ini perlu dipertahankan dan juga kepentingan mempertahankan prinsip Islam di atas muka bumi ini. Ini adalah seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 251,



“ Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut Dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta Dalam tentera Talut) membunuh Jalut. dan (Sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) Kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa Yang dikehendakiNya. dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) Dengan setengahnya Yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam”.


Dalam kitab suci al-Quran telah dijelaskan tentang kepentingan jihad dan mengarahkan umat Islam supaya sentiasa berjihad di jalan Allah. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 41,



“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”.

Dalam surah ini juga khususnya dalam ayat 39, Allah telah memperingatkan kepada umat Islam tentang balasan di kalangan umat Islam yang tidak bersedia untuk berjihad di jalan Allah atau tidak sanggup untuk berjihad demi mempertahankan agama Allah. Firman Allah,



“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikit pun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” .


Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Mukhtasar Ibn Kathir, dalam aspek jihad telah menjelaskan bahawa “ Allah SWT telah memerintahkan seluruh kaum Muslimin bergerak bersama Rasulullah SAW dalam perang Thabuk untuk memerangi musuh-musuh Allah, iaitu bangsa Romawi, sama ada yang senang atau susah atau yang muda atau yang tua kerana kaum Muslimin telah mendengar berita bahawa bangsa Romawi telah bersiap sedia untuk menyerang Madinah,

Dari pengalaman sirah Islam, telah membuktikan bahawa kaum Muslim khususnya pada zaman Rasullah, zaman sahabat, zaman khulafak ar-Rasyidin ataupun pada zaman Daulah Umaiyyah dan Daulah Abbasiyah. Kesan dari ketinggian semangat jihad yang wujud dalam diri umat Islam terdahulu terbukti dengan ketinggian dan kemuliaan umat Islam pada waktu itu. Keadaan sebaliknya pula berlaku apabila umat Islam telah mula mengabaikan semangat jihad ini, kaum Muslimin telah berubah umpama apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW, dalam sabdanya yang bermaksud,

“Kamu (umat Islam) hampir ditelan atau dikuasai oleh bangsa-bangsa seperti gelojohnya mereka menelan makanan, kelak Allah mencabut (menghapuskan) perasaan gerun dari hati-hati musuh kamu ketika itu juga Allah menimbulkan perasaan lemah dalam hati-hati kamu”. Seorang sahabat bertanya: “ apakah bilangan kami (umat Islam sedikit pada ketika itu ya Rasulullah?’. Baginda menjawab : “Tidak. Malahan lebih ramai bilangan kamu, tetapi ramainya kamu ibarat buih-buih di permukaan air yang mengalir”. Seorang sahabat lagi bertanya: “Apakah kelemahan itu ya Rasulullah?”. Baginda menjelaskan: “Cinta kepada dunia dan benci takut) kepada mati”.


Berdasarkan keadaan tersebut umat Islam mempunyai peranan untuk mempertahankan Islam dan salah satu pendekatan yang penting ialah melalui ketenteraan Islam. Dalam hal ini Khalid Ahmad Syantut dalam bukunya al-Muslimun wa Tarbiyah al-askariah (1993), menjelaskan bahawa tentera merupakan sebahagian dalam masyarakat dan tentera mempunyai dua kategori iaitu:

a. Memasuki perkhidmatan Tentera secara sukarela iaitu individu yang memasuki perkhidmatan tentera secara sukarela dan memilih tentera sebagai satu bidang kerja dalam hidup. Mereka mendapat gaji bulanan dan dalam keadaan aman mereka berlatih dalam ilmu ketenteraan . Ini seperti mana yang kita dapat lihat di pusat-pusat latihan ketenteraan ataupun akademi ketenteraan di mana anggota belajar atau berlatih dalam tempoh yang tertentu dalam usaha menjadi tentera yang berketerampilan dan berwibawa sekali gus dapat membina sebuah angkatan tentera yang mantap.

b. Memasuki tentera secara kerahan wajib. Dalam bentuk ini setiap warga negara lelaki yang telah mencukupi umur 18 tahun, mereka diwajibkan memasuki akademi tentera untuk berlatih dan berkhidmat sebagai anggota tentera untuk tempoh yang ditetapkan. Biasanya dalam tempoh satu tahun hingga tiga tahun. Setelah tempoh tersebut mereka kembali menjadi orang awam, namun demikian dalam tempoh-tempoh tertentu mereka akan dipanggil untuk menjalani latihan ketenteraan.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024