Friday, March 6, 2009

PENUBUHAN KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA (KAGAT)

Kesedaran untuk terus meninggikan syiar Islam dalam perkhatanan Angkatan tentera di kalangan generasi awal pegawai-pegawai agama di Kementerian Pertahanan tentunya mewarisi kesinambungan perjuangan Rasulullah, para sahabat dan juga para ulama dan ilmuwan Islam terdahulu. Cabaran untuk meneruskan syiar Islam ini memang wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Ini seperti yang sebut oleh Majid Khadduri (1969) dalam bukunya War and peace in the law of Islam, telah menyebut,

“ Allah gave Prophet Muhammad four swords (for fighting the un believers): the first against polytheist, which Muhammad himself fought ; the second against apostates, which Caliph Abu Bakar fought; the third against the people of the book, which caliph Umar fought with; and the fourth against dissenters, which caliph Ali fought with”. (Shaybani, kitab al-Siyar al-Khabir :14-15).

Menyorot kembali proses dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah, ternyata pada peringkat awal hanya menyebarkan Islam secara ‘senyap’ di kalangan kaum keluarga dan sahabat yang terdekat sahaja. Selepas beberapa tahun setelah menerima wahyu yang pertama Baginda mula berdakwah secara terbuka sehingga Baginda mendapat ancaman dari pihak musuh, serta keselamatan diri Baginda sentiasa terancam dan dihina oleh kaum sendiri. Bentuk perjuangan menyebar, meninggikan syiar Islam serta usaha-usaha penghayatan agama dan dakwah dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia juga mengalami bentuk perjuangan yang sama, cuma yang membezakan ialah dari segi cabaran yang perlu dihadapi.

Seperti mana yang telah disebutkan kesan dari perubahan sosiobudaya dan politik negara dan masyarakat, khususnya menjelang tahun 80 an, terdapat usaha-usaha ke arah proses penerapan nilai-nilai Islam di dalam sektor kerajaan dan usaha penerapan nilai-nilai Islam dalam organisasi ketenteraan turut mengalami proses yang sama seiring dengan sektor-sektor awam yang lain.

Ekoran dari perkembangkan di atas, idea dan usaha mengembangkan perkhidmatan agama sebagai suatu organisasi dalam satu bentuk kor di bawah perkhidmatan ATM mula digerakkan. Di samping untuk mendekatkan anggota agama ke arah ‘militarization’, terdapat faktor lain yang mendorong penubuhan KAGAT dengan kadar segera iaitu:

a. Merancang, menyelaras dan melaksanakan usaha-usaha dakwah Islamiah dan penghayatan Islam kepada semua pegawai dan anggota dalam ATM.
b. Memberi dan mengembangkan pengajaran ilmu-ilmu Islam khususnya penekanan kepada ketinggian akhlak, sikap dan sifat (spirit de corps) di samping memberi kefahaman di dalam erti kata sebenar tentang perkhidmatan tentera mengikut pandangan Islam.
c. Melaksana dan menguatkuasakan segala peraturan, undang-undang dan hukum Islam yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri.
d. Memberi bantuan kepada usaha-usaha mempertingkat semangat keperwiraan anggota tentera seimbang dengan misi perjuangan ATM (Burhanuddin Jalal, KAGAT: Wadah dan profesionalisme :1998).

Setelah usaha-usaha awal ke arah penubuhan KAGAT dimulakan sejak akhir tahun 1979, khususnya pada zaman Dato’ Patinggi Abdul Taib Mahmud menjadi Menteri Pertahanan, namun idea tersebut hanya dapat dilaksanakan pada tahun 1980 apabila YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pertahanan pada waktu itu telah menggesa penubuhan sebuah kor untuk mengendalikan hal ehwal keagamaan dalam ATM dilaksanakan dengan segera. Penubuhan KAGAT selaras dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam telah dilancarkan oleh kerajaan pada waktu itu. Hasilnya pada 24 Jun 1980, Majlis Angkatan Tentera (MAT) melalui persidangan kali ke 197 telah bersetuju dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera atau singkatannya KAGAT. Selanjutnya pada 16 April 1985 penubuhan KAGAT telah mendapat persetujuan dan limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke VIII , Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ketika itu dan KAGAT secara rasminya ditubuhkan pada tarikh yang sama iaitu 16 April 1985. Dengan penubuhan tersebut KAGAT merupakan kor yang ke 16 dalam Tentera Darat Malaysia dan penugasannya meliputi ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia yang merangkumi perkhidmatan Darat, Laut dan Udara (Risalah KAGAT : 1986).

Seterusnya pada 29 November 1984, Persidangan Majlis Angkatan Tentera ke 238 telah meluluskan skim perkhidmatan Kor Agama Angkatan Tentera (Kertas Minit Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera kali 238). Selanjutnya melalui persidangan Majlis Angkatan Tentera ke 249 pada 29 Mac 1986, pihak MAT telah meluluskan syarat-syarat pertukaran perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam kepada Kementerian Pertahanan di bawah skim perkhidmatan tentera (Kertas Minit Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke 249 pada 29 Mac 1986).

Dengan penubuhan KAGAT pada waktu itu dengan jelas ia berhasrat untuk mencapai matlamat berikut:

a. Memenuhi keperluan agama anggota Islam ATM dan keluarga mereka.
b. Menyediakan kemudahan anggota dan pendidikan agama Islam bagi masyarakat tentera di masa aman, kecemasan atau peperangan.
c. Membina pendirian akhlak, keteguhan dan disiplin yang kukuh di kalangan anggota ATM berasaskan kepada penerapan nilai-nilai Islam yang sesuai dengan masa dan keadaan.
d. Menyelesaikan masalah-masalah pentadbiran agama Islam mengikut perundangan- perundangan yang dikuatkuasakan dari masa ke masa, khususnya dalam hal ehwal syariah dan hubung kait antara ATM dengan masyarakat awam.
e. Berusaha mengurus apa jua perkara yang didapati perlu oleh pihak berkuasa demi kebaikan dan perkembangan Islam dalam ATM (Di persada Kegemilangan: 2005).

Sejajar dengan penubuhan KAGAT, semua individu yang terlibat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera secara langsung atau tidak langsung disarankan agar memahami tujuan KAGAT ditubuhkan. Ini jelas apa yang telah dinyatakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat pada waktu itu Leftenan Jeneral Datuk Yaacob Mohd Zain, yang menegaskan bahawa semua pegawai dan anggota tentera mematuhi dan menghormati anggota KAGAT bagi menjamin keberkesanan terhadap perlaksanaan nilai-nilai Islam dan disiplin. Anggota KAGAT (Mingguan Malaysia, 29 Mac 1987).

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024