Friday, March 6, 2009

PEMBINAAN PENGHAYATAN AGAMA DALAM ATM

Salah satu aspek penting dalam usaha mmbina penghayatan agama adalah menerusi penddikan. Penekanan utama pendidikan adalah untuk membangunkan keperibadian manusia berlandaskan etika moral dan agama. Menurut perspektif Islam, pendidikan merupakan asas yang penting kepada keseluruhan hidup manusia bagi mencapai objektif pengabdian yang menyeluruh terhadap Allah (Adnan :2002).Pendidikan juga merupakan proses menjaga dan memelihara sifat-sifat semula jadi seseorang individu yang diberi latihan atau pendidikan untuk memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri mereka dengan dorongan secara beransur-ansur supaya bakat, personaliti dan nilai-nilai luhur dapat dikembangkan dengan baik (Abdul Ghani 1976).Hassan Langgulung (1991) mengatakan, fokus utama dan terpenting dalam pendidikan ialah seseorang individu itu perlu dididik sepanjang masa secara seimbang ialah jasmani, rohani, emosi dan intelek (JERI) yang dijuruskan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah dan memperoleh keredaanNya . Sebagaimana diungkapkannya “manusia yang penuh keimanan dan takwa berhubung dengan Allah, memelihara dan menghadapkan segala perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan” (Hassan Langgulung 1991:137).

Selain dari itu matlamat pendidikan dalam Islam juga bertujuan untuk melahirkan hamba Allah yang mempunyai perkembangan diri yang seimbang dalam kehidupan insan, merangkumi aspek, emosi, intelek dan rohani. Dalam Islam, keseimbangan pembangunan manusia perlu berasakan kepada kerohanian agar manusia yang didik tersebut berakhlak mulia, bertakwa,patuh dan taat kepada hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah S.w.t sebagaimana yang telah dibincangkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979), Syed Ali Ashraf (1988), Rosnani (1996) dan Ab. Halim (2000) bahawa pendidikan adalah sebagai proses ta’adib yang dihubungkaitkan dengan islah adab.

Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT)telah berusaha menyediakan sukatan pendidikan Islam ATM yang telah dikeluarkan dalam arahan Pentadbiran No 5 Kor Agama Angkatan Tentera, dan matlamat yang digariskan dalam sukatan Pendidikan Islam ATM tersebut ialah untuk melahirkan anggota tentera Muslim yang berilmu, beriman, kepada Allah s.w.t melalui kefahaman, penghayatan, keselarasan dan pengenalan ajaran Islam. Selain dari itu matlamat Sukatan pendidikan ini juga agar dapat membentuk anggota tentera yang bertakwa dan mendapat keredaan dari Allah s.w.t (Sukatan Pendidikan Islam Angkatan Tentera Malaysia:1998). Turut digariskan sebagai objektif pendidikan Islam ATM ialah:

a. Membentuk fahaman akidah yang sihat berlandaskan hakikat ketuhanan yang sebenar.
b. Menolak kefahaman-kefahaman yang tidak bertuhan, fahaman syirik dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan fikrah Islam.
c. Memberi kefahaman kepada anggota-anggota tentera dalam melaksanakan ibadah harian.
d. Menghindar gejala-gejala keruntuhan rumah tangga seterusnya membentuk keluarga sejahtera.
e. Membimbing anggota agar sentiasa jujur, dedikasi dan ikhlas dalam melaksanakan tugas harian.
f. Membentuk satu kekuatan diri di jiwa para anggota dalam mengawal diri dari godaan nafsu syaitan serta berusaha membersihkan diri dari segala bentuk dosa.
g. Menimbulkan minat di kalangan anggota untuk membaca al-Quran, memperbaiki mutu bacaan dan seterusnya memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.
h. Membangkit semangat perjuangan suci berlandaskan al-Quran dan Sunah serta berlatarbelakangkan sejarah perjuangan Rasulullah S.a.w serta para sahabat dan pejuang-pejuang Islam.
i. Melahirkan anggota tentera yang mampu mengamalkan ajaran Islam di samping menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam jenayah yang ditegah Islam.

Pada tahun 2006 terdapat semakan terhadap Sukatan Pendidikan ini dan matlamat semakan ini ialah agar pendidikan Islam yang diajar-ajar kepada anggota ATM lebih berkesan dari segi penghayatan dan fungsi sebagai benteng keagamaan dan amalan seharian. Contohnya anggota ditekankan supaya dapat menghayati konsep keesaan tuhan sehingga dapat merasai bahawa Allah SWT sentiasa memerhati gerak-geri, mengetahui isi hati dan pemikiran. Oleh itu setiap anggota perlu dan sentiasa memperhatikan bahawa perbuatan-perbuatan lahiriah dan Batiniah mengikut lunas-lunas Islam agar hidup mendapat keredaan Allah. Amalan sikap ini secara berterusan akan menjadikan seseorang itu seorang yang bertakwa. Jika demikian akan tampil generasi Muslim yang mempunyai kekuatan keimanan, menguasai ilmu fardu kifayah, fardu ain, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta berakhlak mulia.

Selain dari itu menurut Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir bin Baharom (2008), menjelaskan bahawa aspek penghayatan agama adalah amat penting kepada setiap anggota tentera dan ia perlu dijadikan sifat keperibadian setiap anggota tentera khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia. Ciri-ciri tersebut ialah keimanan yang teguh, pelaksanaan ibadat dan akhlak mulia. Bagi mencapai matlamat tersebut, menurut beliau lagi, KAGAT telah mengatur banyak aktiviti dan progam dakwah dalam usaha membina penghayatan agama yang tinggi di kalangan anggota ATM seluruhnya. Dalam hal ini beliau telah merujuk kepada buku “Panduan Kehidupan Tentera” (2008: 56-60) yang diterbitkan khusus sebagai panduan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia. Ciri-ciri tersebut adalah:

a. Keimanan yang teguh. Keimanan kepada Allah SWT adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Ini berdasarkan firman Alah SWT,


“ Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal soleh. Beriman kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manusia daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Konsep iman merangkumi tiga unsur utama iaitu pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini, akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan rohaniah yang cukup kental bagi membina jiwa dan jasmani manusia . Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

b. Pelaksanaan amal ibadat. Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu adalah supaya manusia atau makhluk itu beribadat kepadaNya. Firman Allah SWT,


“ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.


Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khusus yang menyentuh fardu ain dan juga fardu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia. Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta atau masyarakat adalah dianggap ibadat sebagaimana firman Allah SWT,

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya; Dan mereka Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan Yang sia-sia; Dan mereka Yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka Yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka Sesungguhnya mereka tidak tercela”.

c. Akhlak mulia. Akhlak mulia dan peribadi unggul boleh dihasilkan daripada keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai-nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah SAW adalah contoh utama pembentukan akhlak sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Antara nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:

i. Amanah. Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh keadilan. Firman Allah SWT,

 “Dan jika kamu berada Dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang Yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang Yang memberi hutang). kemudian kalau Yang memberi hutang percaya kepada Yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) Yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang Yang diamanahkan kepadaNya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya. dan janganlah kamu (Wahai orang-orang Yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara Yang dipersaksikan itu. dan sesiapa Yang menyembunyikannya, maka Sesungguhnya ia adalah orang Yang berdosa hatinya. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan”.

ii. Ikhlas. Ikhlas adalah inti pati setiap ibadat dan perbuatan. Firman Allah SWT,

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah agama Yang benar”.

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang menampakkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah yang bermaksud,
“ Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim”.

iii. Tekun. Islam menggalakkan umatnya supaya tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun”.

iv. Berdisiplin. Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu pekerjaan akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi kerana dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
v. Bersyukur. Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: Pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh pencipta sama ada sedikit ataupun banyak. Kedua, bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah SWT supaya kebajikan sentiasa di balas dengan kebajikan. Firman Allah SWT,

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".


vi. Sabar. Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dihendaki Allah melalui firmaNya,


“Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan”.

vii. Adil. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Tiga perkara yang menyelamatkan seseorang itu daripada kemurkaan Allah iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketiak suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri”.



viii. Patuh dan taat. Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul dari segi matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya. Prinsip ini boleh dirumuskan dari pelaksanaan solat berjemaah, di mana makmum (pengikut) tidak perlu mengikuti imam (pemimpin) yang tidak mengikut rukun-rukun solat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Wajib ke atas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi (perintah ketua/ pemimpin) di dalam perkara-perkara yang disukai atau dibencinya, selagi tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat tidak lagi ia diwajibkan mendengar dan taat”.

Ulama menggariskan tiga keadaan mewajibkan pengikut patuh dan taat kepada pemimpinnya iaitu:

a. Pemimpin yang melaksanakan ajaran Islam.
b. Pemimpin yang adil dalam pengurusan dan tindakan terhadap semua orang.
c. Pemimpin yang tidak menyuruh melakukan perkara jahat atau maksiat. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Kamu tidak ada hak untuk mentaati orang yang tidak tat kepada Allah SWT”.

Sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan, menghormati pemimpin yang akan membawa pada kehebatan dan keagungan yang sepatutnya. Sifat ini akan membawa kepada kecemerlangan sesebuah organisasi dan keamanan serta kedamaian sesebuah negara. Firman Allah SWT,



“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.


ix. Sanggup berkorban. Pengikut haruslah memberikan sesuatu komitmen sama ada kepada penghasilan, organisasi, cetusan idea dan sebagainya. Komitmen merupakan suatu yang berkesinambungan, pengikut yang mempunyai komitmen akan mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain di sekitarnya dalam melaksanakan sesuatu misi atau kerja yang diarahkan oleh seseorang pemimpin dengan jaya dan efektif. Ini kerana, pengikut merupakan satu rantaian individu dalam organisasi atau masyarakat. Jika rantaian individu mempunyai komitmen, ia akan mempengaruhi motivasi individu di sekitarnya, Seterusnya akan memberi dorongan kepada pemimpin dalam melaksanakan urusannya dengan lancar dan cemerlang. Dalam masa yang sama, komitmen ini adalah peluang untuk seseorang pengikut mempertingkatkan lagi kerjaya dan taraf hidupnya.

Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Antara firman Allah yang mengaitkan aspek tersebut adalah seperti berikut:



“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk Agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka)”.


“Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang Yang di sekeliling mereka dari orang-orang "A'raab" ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri Dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana Sesungguhnya (Tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (Tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat Yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (Tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu Yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal Yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya”


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”.


“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: "Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) Yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah Islam (secara damai). jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu Dengan balasan Yang baik (di dunia dan akhirat), dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu Dengan azab Yang tidak terperi sakitnya".




x. Thiqah (Boleh dipercayai). Setiap pengikut perlu mampuberdikari dan berfikir secara kritikal dalam sesuatu perkara atau penilaian demi kebaikan kumpulan atau organisasi. Ini akan membolehkan pemimpin dan kumpulannya menanam rasa kebolehpercayaan terhadap dirinya. Dia boleh dipercayai bila-bila masa sahaja dan sama-sama berkongsi kejayaan dengan pemimpin dan masyarakat sekitar.

xi. Tajarrud (Jati diri). Tajarrud ialah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan kepimpinan organisasi yang disertai dan mengetepikan semua prinsip yang lain. Yakin dengan prinsip perjuangan yang dipegang bahawa tulah yang paling mulia,paling lengkap dan paling tinggi. Firman Allah,



“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat".


Firman Allah lagi,

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan Yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa Yang kamu sembah Yang lain dari Allah; Kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara Kami Dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan Aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah Wahai orang-orang Yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya Yang kafir, Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! kepada Engkaulah sahaja Kami berserah diri, dan kepada Engkaulah Kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali


KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan dalam bab ini iaitu penghuraian dan penjelasan mengenai penghayatan agama dapatlah disimpulkan bahawa penghayatan agama itu mencakupi pelbagai dimensi yang luas dan juga merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak seseorang Muslim itu. Bagi menjelaskan lagi kajian ini khususnya dalam aspek penghayatan Islam di kalangan anggota tentera, kajian ini akan menghuraikan beberapa aspek yang berkaitan dengan ketenteraan Islam, sejarah ketenteraan pada zaman Rasulullah dan para sahabat dengan tujuan kajian ini benar-benar dapat mencangkup bagaimanakah institusi ketenteraan itu dapat menjadi unggul berdasarkan sirah Rasulullahlah dan sejarah Islam, yang menghayati Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan sekali gus menjadi benteng pertahanan ummah yang mampu menepati ciri-ciri maqasid al-syariyyah dan organisasi angkatan tentera dapat menepati kehendak Islam serta mampu memenuhi lima kriteria dalam Islam yang disebut sebagai ad-Dharuriyyat al-Hams atau kepentingan yang lima iaitu:

(i) Menjaga Agama (hifzul ad-din) bermaksud hak untuk memilih agama dan melaksanakan ajaran agama dan mengamalkannya dalam kehidupan.

(ii) Menjaga akal (Hifzul al-aql) bermaksud kebebasan berfikir dan mengemukakan pendapat bagi memperoleh keadilan dan kebenaran.

(iii) Menjaga nyawa (Hifzul an-Nafs) bermaksud hak untuk menjaga kepentingan nyawa iaitu kehidupan manusia supaya boleh hidup sesuai dengan keadaan sekelilingnya.

(iv) Menjaga harta (Hifzul al-Mal) bermaksud bebas untuk mencari, mengumpul harta serta menggunakannya bagi kepentingan diri dalam kehidupannya.

(v) Menjaga keturunan (Hifzul an-nasab) bermaksud setiap insan berhak untuk mempunyai keturunan, menjaga keturunan dan memastikan keturunannya berkembang dan berterusan (Al-Mawardi, Abu Hassan Ali. 1960).

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024