Friday, November 6, 2009

MEMAHAMI PENGURUSAN DAKWAH

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Apa itu pengurusan dakwah? Menurut Abdul Ghafar Don, Zulkiple bin Abdul Ghani (2000), Pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada kemajuan dan kesejahteraan umat Islam. Perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan kesejahteraan umat tercapai.

Bagi Syed Othman al-Habsyi (1998), Pengurusan dakwah adalah pengurusan yang mampu menentukan dakwah matlamat dakwah yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan program yang wajar dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti segala masalah serta strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang dirancang. Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan dakwah perlu mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif dakwah, strategi dakwah, struktur pengurusan, perancangan program dan juga belanjawan.

Pendapat seterusnya mengenai pengurusan dakwah dikutip dari al-Burey yang menyatakan, pengurusan adalah sebagai menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai manusia sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain ( Mustaffa Hj.Daud 1994:2). Manakala menurut Abu Majid Abduh pula pengurusan adalah kegiatan tentang usaha memimpin, membimbing dan memupuk individu serta merancang, menyusun dan memantau segala proses seperti orang perseorangan, bahan, mesin, kuantiti, kelengkapan, harta dan pasaran (Othman Talib 2000: 18).

Secara khusus, pengertian pengurusan dakwah boleh diertikan sebagai suatu kegiatan terpimpin dengan menggunakan segala sumber organisasi sama ada sumber kemanusiaan atau kebendaan dalam mencapai matlamat organisasi dakwah atau jemaah (A. Rosyad Shaled 1977: 44). Manakala menurut Rozhan Othman (1990) pengurusan dakwah pula merangkumi berbagai-bagai aktiviti-aktiviti dan penyusunan segala sumber organisasi, termasuk tenaga manusia, untuk dijuruskan kepada pencapaian matlamat dakwah.

Daripada takrif-takrif yang telah diberikan, pengurusan dakwah merangkumi pelbagai aktiviti serta penyusunan segala sumber organisasi, termasuklah tenaga manusia untuk menjurus kepada pencapaian matlamat dakwah.


Matlamat Pengurusan Dakwah dan Islam

Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991), telah menjelaskan bahawa matlamat pengurusan organisasi Islam adalah selari dengan matlamat masyarakat Islam itu sendiri. Pengurusan organisasi Islam telah meletakkan matlamat yang tertinggi untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat dengan keredaan Allah SWT. Antara matlamat yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

i. Untuk memastikan pelaksanaan undang-undang Islam dan semua bidang kehidupan.
ii. Melaksanakan tugas sebagi khalifah Allah SWT dengan mengurus secara adil dan saksama.
iii. Membentuk masyarakat yang bersepadu dan harmoni.

Bagi Ideris Endot (2004) pula, matlamat pengurusan Islam adalah untuk mencapai matlamat Syariat Islamiah sepenuhnya yang secara langsung boleh dinyatakan seperti berikut:

a. Menjaga ad-din. Matlamat menjaga dan menegakkan ad-din adalah dasar utama dalam pengurusan Islam yang berfungsi untuk melaksanakan segala suruhan dan menjauhi larangan Allah Taala mengikut keadaan suasana yang diizinkan oleh syariat Islam.

b. Menjaga akal. Menjaga akal menjadi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan Islam supaya kesejahteraan akal dapat dijaga daripada sebab akibat yang boleh mencacat sama ada dari segi akal lahiriah (fizikal) atau akal rohani (maknawi).

c. Menjaga jiwa.Menjaga jiwa atau diri adalah satu matlamat pengurusan yang penting. Setiap diri dan jiwa insan terjamin dalam syariat Islam mengikut hukum-hukum qisas, hudud, takzir dan sebagainya.


d. Menjaga Kehormatan. Matlamat menjaga kehormatan dan kemuliaan insan ini dilaksanakan dengan tujuan untuk menjamin dan menjaga supaya seseorang individu itu sentiasa berada dalam akhlak dan tingkah laku yang baik dan terpuji (mahmudah), serta menjauhi daripada sifat perangai yang buruk (mazmumah)dan merosakkan fungsi kemuliaan status insan.

e. Menjaga harta. Menjaga harta benda kekayaan umat dan negara (awam) adalah matlamat pengurusan Islam dalam bentuk pengurusan harta kekayaan (sumber ekonomi). Harta kekayaan awam hendaklah diurus dengan baik, adil dan sempurna serta menjauhi daripada sebarang pengurusan harta yang haram dan terlarang di sisi Islam. Pengurusan harta kekayaan juga melibatkan tata urus terbaik harta benda diuruskan dengan perkhidmatan harmonis sesama manusia dengan matlamat yang diakui oleh Islam.

Berdasarkan matlamat untuk menjaga kepentingan Islam atas dasar Maqasid as-syariyyah seperti yang disebutkan di atas, maka oleh sebab itulah aspek pengurusan dakwah yang dilaksanakan oleh KAGAT ini perlu digerakkan mengikut landasan yang betul kerana mendidik, mentarbiah atau mendakwahi anggota tentera merupakan sesuatu yang amat penting kerana peranan dan tugas anggota tentera itu sebenarnya menjaga lima perkara yang dipertahankan agama, bangsa dan negara selari dengan kehendak Islam oleh Islam iaitu menjaga ad-din, menjaga akal, menjaga jiwa, menjaga kehormatan dan menjaga harta.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024