Saturday, November 14, 2009

MEMAHAMI TERMINOLOGI TENTERA DALAM ISLAM

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kajian tentang ketenteraan dari sudut fiqh siasah merupakan bidang kajian keislaman yang jarang dilakukan berbanding dengan kajian-kajian lain. Para penulis dan pengkaji politik sering melihat aspek ketenteraan dari aspek jihad. Secara ringkasnya hubungan antara Islam dengan dan ketenteraan seolah-olah terdapat jurang yang agak jauh kerana institusi ketenteraan sering ditafsirkan sebagai institusi yang penuh larangan dan kerahsiaan Malaysia. Perkara ini turut diakui oleh Chandran Jesrun (1975) yang telah menjelaskan bahawa di Malaysia, organisasi tentera dan dasar pertahanan negara kurang mendapat perhatian para pengkaji, mungkin kerana kesukaran untuk mendapat kebenaran dalam usaha menjaga kerahsiaannya. Namun demikian menurut Imam Yahya (2004), dalam Islam terdapat persamaan antara ketenteraan dan Islam yang perlu dilihat dan dikaji.

Pertama: Pertautan ketenteraan dengan politik kenegaraan. Dalam perbincangan Islam dari sudut politik, persoalan yang penting ialah berkaitan dengan aspek kepimpinan setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW. (Harun Nasution 1986 :1). Ini penting kerana Nabi Muhamad SAW bukan sahaja sebagai Nabi dan Rasul tetapi juga sebagai pemerintah negara Madinah. Selain dari itu juga turut menjadi ketua kepada angkatan tentera kerana tentera sebagai tunjang kekuatan sesebuah negara.

Kedua: Secara umumnya tentera dan Islam saling berkaitan dalam mencapai matlamat kenegaraan. Ketenteraan sebagai tunjang yang mempunyai kekuatan serta mampu untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan negara sekali gus menjaga keselamatan negara dan rakyat.

Ketiga : Dalam konteks sejarah Islam klasik, Islam dan tentera merupakan institusi politik yang sangat berpengaruh dalam percaturan politik negara. Ini dibuktikan dengan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Madinah dan ternyata di peringkat awal pemerintahan negara Madinah institusi ketenteraan memainkan peranan yang penting. Secara realitinya bahawa beberapa peperangan yang berlaku dalam masa 10 tahun setelah peristiwa hijrah, pihak tentera telah memainkan peranan yang penting dalam pemerintahan negara. Ini terbukti dengan pelantikan beberapa sahabat Nabi sebagai pemimpin tentera dalam usaha memperluaskan pengaruh dan syiar Islam di negara-negara sekitar Makkah dan Madinah.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga konsep tersebut, ternyata Islam dan ketenteraan mempunyai perkaitan dan saling melengkapi dalam usaha pembinaan sebuah negara yang diredai oleh Allah.

Para penulis sejarah Islam juga, telah menterjemah atau mengaitkan ketenteraan dengan pelbagai istilah yang berbeza. Antaranya ialah al-Askariyyah (Bernard Lewis 1993 : 504), al-Jays (Muhammad Jamaluddin Mahfuz t.th ), al-Jund (Muhammad Jamaluddin Mahfuz t.th ), al-Harb ( Muhammad Wahbah az-Zuhaili : t.th ), al-Ghazwun (Ibn Athir : t.th) , al-Qital dan al jihad ( Syed Qutb : 1983). Penggunaan istilah-istilah tersebut pula dapat dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu bagi kumpulan pertama untuk menunjukkan aktiviti perang yang dilakukan oleh tentera Islam seperti al-jihad, al-jund dan al-Qital. Istilah-istilah ini banyak memberikan kekuatan kepada perjuangan Islam dalam konteks mempertahankan Islam dari musuh-musuh luar. Bagi kumpulan yang kedua pula, istilah seperti al-harb, al-Askariyyah dan al-jays lebih merujuk kepada pengembangan ketenteraan dan juga kenegaraan.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024