Friday, January 22, 2010

BRIGADIER JENERAL HAJI KAMARUDDIN BIN MAMAT PENGARAH KAGAT KEEMPAT

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada bulan April yang lalu KAGAT selagi lagi mengalami perubahan pucuk kepimpinan. Pengarah KAGAT yang keempat ini walaupun ada pandangan yang menyatakan beliau agak 'junior' tetapi ternyata beliau amat menyerlah dan popular di kalangan pegawai atasan ATM, berdasarkan ketrampilan dalam tugas-tugas yang telah diamanahkan.

Pepatah Melayu ada menyebut, “ Yang patah tumbuh yang hilang berganti”, begitu juga dalam KAGAT yang turut mengalami perubahan pucuk pimpinan. Kini KAGAT diterajui oleh generasi kelima KAGAT dan tentunya beliau turut ingin meneruskan kesinambungan kejayaan dan kecemerlangan yang telah ditempa oleh kepimpinan terdahulu dan untuk itu beliau memulakan kepimpinannya dengan cetusan wawasan baru yang perlu dihayati oleh warga KAGAT sepenuhnya. Antara harapan tersebut ialah:


KEPERIBADIAN MULIA (HUSNUL-KHULUQ - NOBLE CHARACTER
). Pelaksanaan gerak kerja seharian hendaklah berteraskan konsep iman dan takwa dan dilaksanakan dengan penuh hikmah serta keikhlasan demi mencapai keredaan Allah SWT. Sahsiah diri selaku `Daie askari’ atau pendakwah tentera yang akur kepada sistem dan budaya kerja tentera perlu dihayati bersungguh-sungguh oleh semua peringkat warga KAGAT.


KEFAQIHAN AGAMA (TAFAQQUH FIDDIN – RELIGIOUS EXPERTISE). Sabda Nabi SAW: ``Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, akan dianugerahkan kefaqihan (kepakaran) dalam bidang agama” (Hadith, Al Bukhari). Warga KAGAT perlu memiliki kefaqihan atau kefahaman yang mendalam dalam bidang agama dan mempertingkat ilmu-ilmu semasa, khasnya yang berkaitan teknologi maklumat atau ICT bagi menjamin keupayaan melaksanakan tanggungjawab selaku penasihat agama yang dinamik dan berkesan.

KEPELBAGAIAN KEBIJAKSANAAN (AL-HIKMAH FI AL-DAKWAH – MULTIPLE INTELIGENCE)
. Daie-Askari’ (Pendakwah tentera) yang cemerlang seharusnya mampu mengeluarkan idea yang bernas, berfikiran kreatif, kritis, bersifat terbuka dan berhikmah dalam penyampaian dakwah
kebijaksanaan hendaklah berteraskan neraca al-Quran dan al-Hadis di samping bantuan ilmu kontemporari serta maklumat-maklumat semasa yang berkembang pesat dalam era globalisasi masa kini.
KESEIMBANGAN KECERDASAN (TAWAZUN AN- NASYIT -ESQ BALANCED). Ulama tasawuf terdahulu serta Imam Al-Ghazali menerusi tulisannya di dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin, menekankan kepada umat Islam supaya memiliki keseimbangan peribadi dan kecerdasan khasnya di segi emosi dan rohani (ESQ – Balanced) sebagai pelengkap kepada kecerdasan pemikiran dalam menuju ke arah kesempurnaan insan (insan kamil). ESQ Balanced adalah pembangunan potensi seluruh kecerdasan dari segi pemikiran (IQ) Emosi (EQ) dan rohani (SQ) secara holistik dan seimbang.
KOMITMEN TUGAS (AL-ITQAN FIL AMAL - JOB COMMITMENT). Sabda Rasulullah SAW: ``Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadith riwayat al-Baihaqi). Setiap warga KAGAT hendaklah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, ketekunan dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan organisasi.

Sesungguhnya pencapaian ke arah itu memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak dan ia tentunya selaras dengan hasrat Menteri Pertahanan YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang inginkan membangunkan modal insan dalam Angkatan Tentera dalam erti kata sebenar iaitu dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah. Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW secara menyeluruh dalam kehidupan. Pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membina insan yang terbaik dan berguna kepada diri, masyarakat dan negara.
“Tanpa modal insan serta bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi”. (Utusan Malaysia 16 September 2009).
Perkara ini telah diperkukuhkan lagi dengan rancangan pembangunan strategik jangka panjang ATM atau Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4D MAF). Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Azizan Ariffin telah menjelaskan dalam ucapan Ulang tahun ATM ke 76 dengan menyebut,

”Angkatan Tentera Malaysia telah memasuki dimensi keempatnya atau fourth dimension Malaysia Armed Forces iaitu era transformasi yang bercirikan keupayaan bersepadu dan keupayaan pelbagai dimensi. keadaan ini akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia beroperasi secara bersama serta dapat membina kesan sinergi yang optimum. ciri-ciri utama yang disasarkan oleh angkatan tentera Malaysia dalam era transformasi adalah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan. pada hemat saya, evolusi transformasi keupayaan angkatan tentera Malaysia ini perlu di perkasa secara menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan yang berkualiti”.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024