Thursday, January 21, 2010

MEJAR JENERAL DATO HAJI JAMIL KHIR BIN BAHAROM PENGARAH KAGAT KETIGA


Mejar Burhanuddin Abdul Jalal




Seterusnya 'tampalan' minggu ini adalah untuk mencatatkan sedikit 'kisah' berhubung dengan Pengarah KAGAT yang ketiga. Sebagai pegawai KAGAT yang telah memulakan perkhidmatan sejak tahun 1986, dan telah terdedah kepada pelbagai aspek pentadbiran, latihan, operasi dan juga pelbagai perkara yang berhubung kait dengan dunia ketenteraan, serta hubungan yang baik dengan pegawai atasan, ternyata kesemuanya merupakan 'aset' yang penting serta 'advantage' kepada beliau untuk mengetuai KAGAT apabila Brig Jen Dato' Najmi bersara pada tahun 2005.



Sebagai penerus kepada kepimpinan yang terdahulu hasil kepimpinan terdahulu, Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir Bin Bahrom telah dipilih untuk menerajui KAGAT bagi era selanjutnya. Bagi meneruskan kesinambungan inisiatif kepimpinan terdahulu beliau telah berusaha untuk memantapkan lagi KAGAT. Antara tindakan pertama yang diambil ialah dengan memberikan garis panduan kepada seluruh warga KAGAT dan hala tuju untuk membentuk sebuah organisasi agama yang kredibel, mantap berarus perdana mestilah direalisasikan.

Hal tuju atau prinsip tersebut diharapkan berupaya untuk membina sebuah perkhidmatan keagamaan yang ’versatile’ dan sentiasa ke hadapan dalam apa jua tindakan serta mampu menjadi pemangkin kerohanian Islam dalam bersikap proaktif, positif dan komited dalam mencapai misi dan visi perjuangan.

Dalam memimpin ke arah mencapai objektif ini, beliau telah menggariskan prinsip 6M yang perlu diberikan tumpuan oleh semua warga KAGAT.

PERINSIP PERTAMA: MUSYARATAH (MENEPATI SYARAT KEJAYAAN – PRE REQUISITE). Ia adalah pra syarat bagi mewujudkan suatu penanda aras atau ‘ bench mark’ untuk melahirkan anggota KAGAT yang beriltizam tinggi bagi memaju dan menjayakan apa jua tindakan untuk pembentukan mentaliti warga KAGAT yang berilmu, matang dan bermatlamat di samping mengamalkan budaya kerja cemerlang. Komitmen untuk melahirkan keseragaman ketetapan dan kesatuan matlamat serta pendapat adalah cabaran besar yang perlu ditangani KAGAT dalam mencapai kedudukan yang sama tinggi dengan pihak lain. Sebarang pertembungan idea dan pendapat yang boleh menjurus kepada perpecahan akan membawa kepada hala tuju yang kabur dan menggugat kesepaduan matlamat, ia wajar dihindarkan. Sejajar dengan itu, keperluan untuk meningkatkan serta mengekalkan motivasi anggota KAGAT akan terus diusahakan. Pendekatan positif serta langkah penambahbaikan akan terus diadakan demi kemajuan warga KAGAT.

PERINSIP KEDUA: MU’ATABAH (MENGHAKIS SIFAT-SIFAT BURUK- SELF RESTRAINT). Bersikap tegas dan jelas tanpa kompromi dalam perkara yang menjurus kepada kerosakan organisasi. Ia meliputi individu dan organisasi, kedua-duanya berkait rapat, tanpa individu maka tiadalah organisasi. Proses ke arah pembentukan sahsiah unggul atau ‘ towering personality’ adalah suatu cara ke arah melahirkan anggota KAGAT yang berketerampilan dari segi hala tuju, mempunyai kejelasan matlamat dalam melaksanakan tugas. Sebarang pengabaian kepada proses ini akan membawa kelesuan dalam tindakan dan kabur dalam hala tuju. Keyakinan warga ATM kepada organisasi KAGAT hendaklah sentiasa tersemat di dalam jiwa semua anggota KAGAT agar hala tuju perjuangan murni tidak ternoda dengan sikap dan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab serta mengambil mudah terhadap sebarang tindakan. Setiap warga KAGAT hendaklah menjaga adab dan akal budi agar mereka boleh dijadikan model kepada warga ATM dalam mencontohi dan meneladani keindahan kehidupan muslim.

PERINSIP KETIGA: MU’AQABAH (MENGEKAL TINDAKAN YANG BENAR SECARA BERTERUSAN- SELF EDUCATING). Melaksanakan pendidikan jiwa supaya pembentukan imej selari dengan prinsip Islam. Sebagai warga KAGAT adalah wajar bagi kita membentuk jiwa supaya mempunyai daya juang yang unggul. ‘Accountability’ atau kebertanggungjawaban adalah sikap mulia yang perlu ada pada setiap warga KAGAT dalam menyusuri arus cabaran dan rintangan dalam organisasi ATM. Amalan ini perlu disuburkan dengan berpandukan kod etika yang sedia ada dalam ATM.

PERINSIP KEEMPAT: MURAQABAH (MENGAWAL DIRI SECARA BERTERUSAN- GOD CONCIOUSNESS). Sifat sentiasa menyedari bahawa apa jua langkah dan tindakan hendaklah berada di landasan yang ditetapkan KAGAT haruslah subur dengan sifat tersebut dan saya ingin memastikan bahawa warga KAGAT akan melalui proses ini. Kita tidak mahu ia sekadar menjadi retorik perjuangan bagi menggambarkan kehebatan KAGAT pada pandangan pihak luar tetapi hakikatnya ia goyah. Dasar Da’ie Askari yang telah digariskan oleh kepimpinan terdahulu akan terus direalisasikan.

PERINSIP KELIMA: MUHASABAH (MENILAI DIRI - SELF EVALUATION). Pemerintahan yang berjaya memerlukan kualiti kepimpinan dan pengurusan terbaik., di samping mengamalkan corak kepimpinan dinamik. Untuk itu, reformasi dalaman hendaklah dilakukan kerana ia sangat dituntut oleh Islam. Ia perlu direalisasikan secara bersungguh-sungguh oleh setiap warga KAGAT dan dicernakan melalui tindakan jelas dalam apa jua gerak kerja kita. Muhasabah pengurusan, yang merangkumi reformasi dan validasi dalaman adalah salah satu usaha yang wajar dilakukan oleh semua peringkat anggota sebagai kaedah untuk menilai prestasi diri. Muhasabah luaran dilaksanakan melalui penilaian oleh orang lain terhadap kita. Ia mampu menilai sama ada kerja kita menepati piawaian yang ditetapkan atau sebaliknya. Kita hendaklah boleh menerima teguran atau penilaian secara telus. Anjakan paradigma perlu dilakukan demi kebaikan organisasi yang disayangi.

PERINSIP KEENAM: MUJAHADAH (BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH - TENACITY/STRUGGLE). Kejayaan berterusan hanya akan terhasil dari usaha yang bersungguh-sungguh, tanpa mengenal jemu dan putus asa. Dalam proses ini seseorang itu akan dipacu dengan iltizam kekuatan dan ketabahan dalam usaha mencapai sasaran matlamat yang ditetapkan. Kesungguhan usaha yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi, ikhlas dan jujur akan menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Malah sebagai seorang Muslim ganjaran yang diperoleh lebih bermakna dan akan berterusan hingga ke akhirat.


Ternyata kesungguhan beliau untuk terus memacu KAGAT ke arah yang cemerlang, gemilang dan terbilang sesuai dengan program Islam Hadhari ternyata terbukti dengan beberapa kejayaan program yang diatur seperi program cepat baca al-Quran (CBQ), program PASDAM yang telah melaksanakan program di pelbagai peringkat ATM dan juga agensi kerajaan yang lain. Selain dari itu KAGAT juga telah diberi kepercayaan oleh pihak JAKIM sebagai pengelola program dwi tahunan sukan antara Jabatan dan Majlis Agama Negeri-negeri Malaysia.

Ketokohan dan kewibawaan beliau semakin terserlah apabila beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral dan ini juga merupakan pengiktirafan pihak tertinggi ATM terhadap KAGAT seluruhnya.

Atas kelebihan, kewibawaan dan ketokohan beliau itu juga telah menjadi satu kekuatan dan faktor utama untuk beliau dilantik sebagai senator dalam parlimen Malaysia sekali gus dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia untuk memegang jabatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.


Walaupun memegang jawatan Pengarah KAGAT dalam tempoh yang agak singkat namun, Mej Jen Dato Haji Jamil Khir Bin Baharom telah berjaya meneruskan kesinambungan kejayaan dan penyerlahan KAGAT dalam peranan khususnya di dalam Angkatan Tentera Malaysia, juga di mata umum rakyat Malaysia seluruhnya.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024