Monday, January 4, 2010

SERING DIRUNDUNG KETAKUTAN?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Sebagai manusia biasa kita sering dirundung ketakutan dan juga kegelisahan. Apa yang sering ditakuti oleh manusia? Allah telah berfirman yang bermaksud,

"Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar’ – al-Baqarah 2: 155.

Ayat tersebut menerangkan bahawa Allah telah menetapkan kejadian yang akan membuat diri kita merasa takut. Oleh yang demikian, apakah yang menjadi masalah kepada diri kita apabila ketakutan atau kecemasan itu merupakan ketentuan Allah? Bagaimana ketentuan Allah itu dapat kita urus dengan baik dan menjadi pendorong ke arah sesuatu yang positif? Atau ketentuan tersebut merupakan bencana yang akan menghancurkan keseluruhan hidup ini? Oleh yang demikian perkara yang paling penting ialah bagaimanakah sikap kita untuk menyelesaikan dan menghadapi musibah dari Allah itu.

Pelbagai perasaan takut dan kegelisahan bukan sahaja di alami oleh diri kita tetapi juga pernah dirasai oleh orang-orang yang terdahulu dari kita. Terdapat beberapa kisah dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana perasaan takut yang dialami oleh manusia seperti takut mati, takut menjadi miskin dan juga takut kepada sesama manusia.

Takut kepada Allah merupakan rasa takut yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ini adalah kerana rasa takut seperti ini akan mendorong untuk lebih bertakwa kepada Allah dan mencari keredaan-Nya, mematuhi ajaran-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan segala perintah dan suruhan-Nya. Takut kepada Allah merupakan satu unsur dalam aspek keimanan kepada Allah dan ia merupakan asas yang penting dalam membentuk keperibadian seseorang mukmin. Firman Allah SWT yang bermaksud,

”Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. Al-Baiyinnah 98: 7-8.


Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. – al-Anfaal 8: 2


”Katakanlah lagi: "Sesungguhnya Aku takut - jika Aku menderhaka kepada Tuhanku - akan azab hari Yang besar (soal jawabnya)". – az-Zumar 39: 13


"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan Kami azab hari Yang padanya muka orang-orang Yang bersalah: masam berkerut-kerut".- al-Insan 76: 10


Antara ketakutan yang umumnya ada pada semua manusia ialah ketakutan terhadap kematian. Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT,


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".al-Jumaah 62: 8


Ketakutan kepada kematian dialami oleh semua manusia dan tidak ada manusia yang terkecuali kepada ketakutan kepada kematian ini. Takut kepada kematian ini adalah kerana amal yang masih kurang, perlu meninggalkan orang-orang yang disayangi, takut mati kerana hartanya sedikit dan khuatir nanti keluarganya hidup melarat dan sebagainya. Bahkan dalam al-Quran juga menjelaskan bagaimana Nabi Musa pun berasa bimbang kalau dirinya dibunuh oleh Firaun. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,


"Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku".- as-Syuara’ 26: 14.

Nabi Musa merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Bahawa Aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku ". al-Qashash 28: 33



Keimanan yang benar-benar mantap dan kukuh kepada Allah SWT akan menghindarkan diri seseorang itu dari perasaan takut kepada kematian. Ini adalah kerana seseorang yang mukmin meyakini bahawa kematian akan memindahkan dirinya kepada kehidupan di alam baqa’ yang kekal abadi. Di sana dia akan memperoleh kerahmatan dan keredaan-Nya. Ini berbeza dengan orang-orang yang banyak melakukan maksiat dan banyak dosa yang sudah tentu kematian sesuatu yang benar-benar amat menakutkan.

Bagi orang-orang yang berfahaman ateis, yang tidak mempercayai hari kebangkitan dan hari akhirat, merasakan kematian itu sesuatu yang menghancurkan diri mereka. Sebahagian besar dari mereka takut kepada kematian kerana mereka tidak tahu apa nasib mereka selepas berlaunya kematian itu dan ketidakfahaman itulah yang menyebabkan mereka takut kepada kematian.

Selain dari kematian, kemiskinan juga sering ditakuti oleh manusia. Oleh itu, manusia sentiasa berusaha untuk mencari makanan sama ada untuk diri dan juga untuk keluarga. Selain dari itu manusia juga berlumba-lumba mencari rezeki dan juga pendapatan dalam bentuk wang dan kekayaan bagi memenuhi keperluan dan kesenangan keluarga selain untuk dipandang tinggi dan dihargai. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud,



“Lihatlah Bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian Yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan Sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya”- al-Isra’ 17: 21.




“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka”. – al-An-am 6: 151

Keimanan yang kukuh kepada Allah juga dapat menghilangkan rasa takut terhadap kemiskinan. Ini adalah kerana orang-orang yang benar-benar beriman akan meyakini bahawa rezeki itu berada dalam kekuasaan Allah. Oleh yang demikian tidak ada alasan untuk berasa gusar atau takut kepada kemiskinan. Firman Allah,


“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya”. – al-Zariyat 51: 58


”Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”. - al-Zariyat 51: 22

Perasaan takut merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian, persoalan di sini adakah ketakutan itu suatu ketetapan dan ketentuan Allah? Adakah manusia dapat mengurus ketakutan sehingga dapat menjadikan ia sesuatu yang positif atau ia mungkin menjadi bebanan yang boleh menghancurkan kehidupan. Untuk itu sekali lagi yang memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah ini adalah sikap.

Sesungguhnya Allah SWT mengetahui tahap kemampuan setiap hambanya apabila diuji. Sebagai hamba Allah yang taat kepadanya, sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambanya kecuali dengan kadar kesanggupan hambanya. Firman Allah,


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya”-al-Baqarah 2: 286.

Menurut Abdullah Gymnastiar (2005) dalam bukunya ‘Manajmen qalbu’ telah menggariskan memberikan nasihat dalam menghadapi kehidupan ini. Antara lain beliau menyatakan:

Pertama: Bersedia menerima kenyataan. Sesuatu perkara atau usaha yang dilakukan, walau sebaik mana persiapan atau perancangan yang telah dilakukan, pasti ada kecenderungan untuk gagal. Semua manusia inginkan kejayaan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang kerana itulah impian semua orang, tetapi sebagai manusia biasa kia juga perlu mempersiapkan mental dan fizikal jika usaha-usaha-usaha yang kita lakukan itu gagal. Terimalah saat kegagalan tersebut dan mengatakan bahawa kita sedang diuji oleh Allah. Hindarkan meratapi kegagalan dalam tempoh yang berpanjangan. Perlu cepat bangkit semula dan mencari jalan penyelesaian permasalahan supaya waktu yang ada tidak terbuang dengan sia-sia.

Kedua: Berfikiran positif. Sesungguhnya amat beruntung sekali jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif dan serta sentiasa menilai setiap langkah atau tindakan yang akan diambil dan mengambil pengajaran bagi setiap kejadian yang dilalui oleh dirinya. Dengan berfikiran positif, kita akan lebih efektif mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara pelbagai kaedah atau alternatif yang ada.

Ketiga: Menerima sesuatu kejadian atau keadaan dengan penuh keredaan. Apabila kita melaksanakan dengan penuh perancangan dan persiapan, tetapi masih gagal , terimalah keadaan tersebut dengan penuh reda sebagai satu ketetapan Allah yang terbaik bagi kita. Firman Allah,



“kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. Al-Baqarah 2: 216



Apa yang penting bagi kita ialah jangan menilai sesuatu itu dari pandangan diri kita semata-mata yang selalu menginginkan yang baik-baik atau yang muluk-muluk sahaja serta cepat dan segera untuk diperoleh. Mungkin kita gagal pada hari ini dan siapa yang tahun bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik pada masa hadapan.

Keempat: Sentiasa berusaha dan berikhtiar. Sebagai hamba Allah, selain dari menerima segala ketetapan-Nya, manusia juga wajib berikhtiar dan berusaha bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sama ada melalui doa atau usahalah. Jangan berharap masalah akan selesai sendiri tanpa ada tindakan yang dilakukan. Walau apa pun keadaan masalah yang timbul, kita perlu berusaha untuk menyelesaikannya. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah nasib diri mereka sendiri. Firman Allah,



Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. –al-Ra’du 13: 11



Kelima: Allah pasti akan menolong. Setelah melakukan ikhtiar, doa dan usaha yang maksimum, kita berserah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman,



“Sesiapa Yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya)”. Al-Talaq 65: 2.


Kita mesti yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong hambanya. Oleh yang demikian kita perlu bersangka baik kepada Allah dan InsyaAllah akan membantu hambanya yang sentiasa berserah kepada-Nya.

Dengan langkah-langkah yang telah diambil seperti yang disarankan di atas, adalah diharapkan kita dapat menyelesaikan dan menghadapi segala permasalahan yang timbul setiap hari dalam kehidupan ini.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024