Monday, January 18, 2010
KEPIMPINAN KAGAT 1985-2010
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Menjelang 16 April 2010 KAGAT akan menyambut ulang tahun penubuhannya kali ke 25. Banyak pahit manis yang pernah dilalui oleh KAGAT. Antara aspek yang selalu menjadi topik perbincangan ialah darihal aspek kepimpinan. Dalam beberapa mingu ini penulis cuba untuk mengungkapkan nostaljia kepimpinan KAGAT sejak zaman YB Brig Jen Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin, YBhg Brig Jen Dato' Haji Najmi Haji Ahmad. YB Mej Jen Dato' Jamil Khir Baharom dan terkini Brig Jen Haji Kamaruddin Mamat.
Sebagai mukadimah kepada perkara tersebut, berikut adalah tulisan awal yang boleh diperbincangkan bersama.
Kepimpinan tentera didefinisikan sebagai seni mempengaruhi dan mengarah anggota mengikut sesuatu cara agar memperolehi kepatuhan, keyakinan, rasa hormat dan kerjasama setia mereka secara rela untuk mencapai misi. Kepimpinan merupakan adunan pujukan yang menjadikan anggota melakukan apa yang pemerintah inginkan daripada mereka walaupun tugas tersebut sebenarnya tidak mereka sukai. Pencapaian melalui pujukan, galakan dan teladan adalah lebih baik berbanding dengan paksaan. Namun begitu, ada kalanya paksaan merupakan satu keperluan apabila anggota telah letih atau ketakutan. Anggota Tentera secara nalurinya akan mematuhi perintah tegas daripada pemerintah berleluasa yang mempunyai keperibadian, pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan.
Perintah sebagaimana yang didefinisikan oleh Fil Masryal Montgomery ialah yang mempunyai “keupayaan dan kehendak untuk menyatukan lelaki dan wanita ke arah satu matlamat, dan ciri yang mengaspirasikan keyakinan”. Seni memerintah merupakan perkara yang sangat peribadi di mana walaupun tidak akan terdapat dua pemerintah yang melaksanakan tugas dalam cara yang sama, namun semua pemerintah akan mempunyai sifat-sifat tertentu yang sama. Dari masa ke semasa kerjaya sebagai seorang pegawai tentera akan meningkat dan beliau pasti akan memerintah unit sama ada unit tempur, logistik atau institusi latihan. Banyak hasil penulisan telah menyatakan bahawa untuk menjadi pemimpin yang berjaya, seseorang pemerintah hendaklah mempunyai pengetahuan menyeluruh tentang jenis manusia dan jenis keadaan yang beliau perlu uruskan sebagai pemimpin. Beliau hendaklah mempunyai cara berfikir yang efektif berhubung dengan manusia dan keadaan yang dihadapi. Daripada keperluan-keperluan ini, pertama sekali ia hanya boleh dipenuhi melalui pengalaman dan walaupun pengalaman membantu, ia juga memerlukan usaha dan kajian menyeluruh serta kefahaman berhubung dengan subjek kepimpinan. Tanpa pemahaman fungsi pemerintahan, seseorang pasti akan gagal dan akibatnya unit yang akan gagal untuk mencapai objektif-objektif yang diinginkan. Tanggungjawab yang akan dihadapi adalah sangat mencabar, terutamanya untuk mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik. Menurut Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Bidin, bekas Panglima Angkatan Tentera sewaktu perbarisan tamat latihan di Pusat Latihan Tentera Udara di Kepala Batas pada tahun 1970 dalam ucapan beliau,
“Untuk menjadi pemimpin cemerlang, seseorang hendaklah memiliki kemahiran profesional yang tinggi termasuklah mempunyai keperibadian seimbang yang diperlukan daripada seorang pemimpin dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia”.
Terdapat andaian secara umum menyatakan bahawa pemerintahan dinyatakan dalam bentuk kuasa untuk menyampaikan kepada orang lain apa yang perlu dilakukan dan bersamanya, kuasa untuk mendominasi. Seseorang pemimpin adalah diharapkan untuk mengamalkan kemahiran kepimpinan dan pengurusannya ke tahap yang paling tinggi dalam menentukan profesionalisme dalam organisasinya. Bagi mencapai perkara ini, beliau mestilah berupaya memahami peranan dan tugas beliau serta berupaya untuk memahami harapan anggota tentera di bawah pemerintahannya. Sebagai pemimpin, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan bahawa harapan-harapan ini dipenuhi bagi faedah anggota dan organisasinya agar misi yang diberikan oleh pihak berkuasa atasan dapat disempurnakan. Secara umumnya, pemerintah-pemerintah adalah juga bertanggungjawab untuk penyempurnaan misi yang mana ianya bergantung kepada usaha dan aktiviti anggota. Dari itu, aspek pemerintahan yang sangat penting ialah kepimpinan. Adalah menjadi fungsi pemimpin untuk mendorong, mengawal dan mengarah aktiviti para individu dengan cara-cara yang konstruktif agar tahap prestasi organisasi boleh dioptimumkan dan dikekalkan untuk penyempurnaan misi. Sehubungan itu, kepimpinan adalah berkaitan dengan prestasi manusia.
Kepimpinan yang cemerlang dan berwibawa amat penting dalam organisasi dakwah khususnya dalam harakah Islamiah. Menurut Zawawi Ali dan Mohammad Kamil Abdul Majid (1983) dalam Gerakan Islam- Kepimpinan, Syura dan tarbiyyah, telah menjelaskan bahawa harakah Islamiah mempunyai tiga tahap atau peringkat dalam usaha menyampaikan dakwah atau berkembang. Tahap yang dimaksudkan itu ialah at-Taarif (tahap penyebaran fikrah secara umum kepada orang ramai), tahap at-takwim (era pembentukan organisasi dan bersedia untuk terus menyampaikan dakwah) dan tahap Tanfiz (tahap pelaksanaan dakwah secara lebih menyeluruh dan berterusan). Sehubungan dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk terus mengukuhkan dan mengembangkan organisasi merupakan salah satu cara untuk membina kekuatan dan keberkesanan organisasi mencapai matlamat dan tujuan penubuhannya.
Ternyata dalam tempoh 25 tahun ini KAGAT dan kepimpinannya telah melalui tahap usaha dakwah yang disebut era penyebaran dan kefahaman Islam kepada khalayak atau sasaran dakwahnya khususnya di peringkat awal penubuhan KAGAT dalam tahun-tahun 1985 – 1995. Kemudian KAGAT terus berkembang dan peranan untuk memantapkan organisasi di samping terus melaksanakan usaha-usaha dakwah, pemahaman Islam, penghayatan dan juga meninggikan syiar Islam dalam tahun 1996-2006. Selanjutnya kepimpinan KAGAT terus beralih dan tahap kepimpinan seterusnya ialah tahap pelaksanaan dakwah secara lebih menyeluruh dan berterusan dalam usaha untuk membina Angkatan Tentera Malaysia yang berwibawa serta mempunyai daya tempur yang kuat serta rohani yang mantap. ( spritual combat power), dan ini berlaku dalam era kepimpinan Pengarah KAGAT yang ketiga antara tahun 2005-2008.
Teraju kepimpinan telah berganti dan seterusnya akan memacu organisasi ke arah wawasan yang lebih gemilang bagi membina modal insan yang benar-benar mampu mempertahan kedaulatan negara, agama dan bangsa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment