Thursday, January 20, 2011

PENDAKWAH PERLU MENGHAYATI BUDAYA ILMU

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Mengapa disebut ‘menghayati’ dan tidak mempelajari ilmu? Jawapannya terletak kepada tuntutan agar ilmu-ilmu yang kita dapat daripada pelbagai sumber, tidak sekadar merupakan ilmu tanpa amal, ilmu tanpa yakin dan ilmu tanpa ruh, tetapi merupakan ilmu yang ‘hayat’ atau hidup hatta sampai ke dalam setiap pembuluh darah dan ruangan jiwa. Inilah garis besar yang membedakan para pendakwah dengan orang lain. Ya, benar, orang lain juga mementingkan ilmuj, tetapi bagi pendakwah, ilmu ini amat penting dan tinggi kedudukannya, sehinggakan apa jua justifikasi tindakan wajib berlandaskan ilmu yang ditunjangi al-Quran dan Hadith, dan bukan dilatari dengan emosi, fahaman politik sempit dan pertimbangan kepuakan yang melulu.

Oleh yang demikian para pendakwah perlu menggerakkan agenda ‘mencanai’ ilmu dan bukannya sekadar ‘mempelajari’ ilmu. Tidak sekadar dihadkan kepada tafsiran ayat-ayat yang tipikal, pembacaan hadith dengan gaya klasik, ruh ilmu perlu ‘dihadirkan’ dengan cara dan penyampaian ilmu yang baru dan menarik. Isinya masih sama seperti perbincangan Tafsir, Hadith, Sirah, Tasawwuf, Tauhid dan sebagainya, cuma cara ia disampaikan perlu menarik, penuh komitmen, bertenaga dan yang terpenting ada kaitan dengan realiti kontemporari. Natijahnya, golongan sasaran dakwah akan terlonjak semangatnya untuk terus menekuni dan menjiwai ilmu-ilmu yang disampaikan di pelbagai kuliah, ceramah atau pelbagai program yang lain. Pokoknya, ilmu di dalam diri pendakwah amat memerlukan agenda ‘re-branding’ untuk meraikan idealisme generasi muda yang sentiasa mahukan pembaharuan pada hari ini. Dalam kata lain, isi (content) ilmu yang ada perlu diperteguhkan, manakala dalam masa yang sama cara penyampainnya (delivery) juga harus menarik! Selamat berdakwah.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024