Thursday, November 29, 2007

DAKWAH DALAM PERSPEKTIF SOSIOBUDAYA MALAYSIA - INDONESIA

ULASAN BUKU

JUDUL BUKU: DAKWAH DALAM PERSPEKTIF SOSIOBUDAYA MALAYSIA - INDONESIA

PENYUNTING : Dr. Zulkiple Ghani , Anuar Puteh dan H.A Yaakob Matondang.
PENERBIT : Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

TAHUN TERBIT : 2003

HARGA: RM 15.00

ISBN: 983-2234-10-7

PENGULAS : MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Dakwah pada hakikatnya, merupakan gerakan pembangunan yang dilakukan dalam rangka amar makruf dan nahi mungkar supaya wujud kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Dari sisi yang lain pula dakwah merupakan proses komunikasi yang mempunyai kaitannya dengan perubahan sosiobudaya masyarakat.
Lapangan kehidupan yang luas merangkumi keperluan hidup secara teratur sentiasa menuntut penyusunan terbaik dalam pelbagai aspek kehidupan. Menyampaikan dakwah sebagai satu ‘sunah’ memerlukan pemahaman yang mendalam dalam persoalan perubahan sosiobudaya yang berlaku khususnya di kalangan umat Islam. Sosiobudaya manusia terhasil melalui interaksi yang berlangsung bukan sahaja sesama manusia , tetapi ia berlaku juga dengan Maha Pencipta dan dengan makhluk yang lain di muka bumi ini. Oleh itu kehidupan berpolitik, perundangan, kesenian, berorganisasi dan dunia yang bersifat global kini memerlukan para pendakwah yang dapat memahami segala cabaran dan fenomena perubahan dalam yang berlaku pada masa kini.
Buku berjudul ‘ Dakwah dalam perspektif sosiobudaya Malaysia-Indonesia’ yang disunting oleh Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan rakan-rakan ini, merupakan koleksi kertas kerja yang dihasilkan oleh ahli akademik dari Malaysia dan Indonesia sempena Seminar Antarabangsa Pengajian Dakwah Malaysia-Indonesia yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian dakwah dan Kepimpinan , Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah dilaksanakan pada tahun 2003.
Buku setebal 286 halaman ini disusun kepada empat bahagian yang membincangkan isu-isu dakwah serantau dalam pelbagai aspek sosiobudaya masyarakat Malaysia-Indonesia. Bahagian pertama membawa tema cabaran kecemerlangan dakwah yang antara lain menyentuh tentang keperluan kepada konsep ummatan wahidan, cabaran pendakwah dalam masalah gender, psikologi, ilmu dan juga globalisasi. Dalam bahagian dua pula menumpukan kepada tema dakwah dan perundangan dengan memfokuskan kepada aspek pelaksanaan hukum Islam dan peruntukan undang-undang yang mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti pendakwahan. Seterusnya dalam bahagian ketiga buku ini membicarakan tema dalam perspektif pelbagai ilmu yang melihat dari sudut ilmu teologi, tafsir dan pengurusan. Seterusnya dalam bahagian akhir buku ini menyentuh tentang aspek kajian budaya masyarakat yang menjadi sasaran dakwah di kedua-dua negara merangkumi masyarakat peribumi, Orang Asli di Malaysia dan juga masyarakat Batak Karo di Indonesia sebagi kes yang memerlukan perhatian, kesungguhan dan strategi serta tepat dan betul dalam usaha-usaha penyampaian dakwah Islamiah.
Sebagai agama yang bersifat komprehensif merangkumi keseluruhan aspek dalam lapangan kehidupan manusia, Islam menuntut ajarannya disebarluaskan. Selain dari itu ilmu dakwah Islamiah yang bersifat dinamik ia memerlukan gabungan maklumat teori dan lapangan untuk memastikan dakwah Islamiah sentiasa relevan dan sesuai di sepanjang masa dan tempat. Ternyata buku ini membekalkan khazanah ilmu yang amat berguna khususnya para pendakwah di pelbagai peringkat dan organisasi serta boleh menambah kekuatan intelektualisme di kalangan pendakwah untuk menghurai dan menyelesaikan masalah kemanusiaan dan juga sosiobudaya yang sering kali timbul dalam usaha-usaha dakwah Islamiah.

--------------------------------TAMAT----------------------------
Catatan: Gambar Kulit buku disertakan.

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .