Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam
Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
DALAM seksyen Mega, Utusan Malaysia pada 10 Julai 2007 melaporkan perlunya para lulusan pengajian Islam menguasai bidang ilmu dan tidak hanya menguasai bidang pengajian Islam sahaja.
Perkara ini ditimbulkan oleh para ilmuwan Islam dalam satu forum Cabaran Graduan Pengajian Islam di Era Globalisasi di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.
Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh para pelajar dalam bidang pengajian Islam di Negara ini ialah kemampuan untuk membuat penyelidikan yang berkualiti dan bermutu tingi serta dapat dimanfaatkan di samping dapat menghasilkan ilmu baru.
Menyedari pentingnya para pelajar dalam bidang pengajian Islam khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu membuat penyelidikan yang berkualiti, Fakulti Pengajian Islam mengambil inisiatif menerbitkan buku Panduan Penyelidikan Pengajian Islam.
Buku yang dihasilkan oleh Ahmad Sunawari Long iaitu pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM ini, ditulis berdasarkan kepada pengalaman dan senario yang berlaku di kalangan para pelajar dalam bidang Pengajian Islam.
Menurut penulis, terdapat anggapan sebahagian pelajar Pengajian Islam bahawa subjek Kaedah Penyelidikan yang diajar di universiti bukanlah satu subjek yang penting, tidak relevan dengan pengajian mereka dan kurang diperlukan dalam memahami persoalan agama. Terdapat juga tanggapan bahawa Islam sudah sempurna, maka apa lagi yang hendak dikaji!
Menyedari keadaan ini dan sesuatu tindakan perlu dibuat bagi membetulkan perspektif yang salah ini. Oleh yang demikian melalui buku ini penulis telah menyusun buku ini bagi menyelesaikan dan memperbetulkan keadaan atau tanggapan yang salah tersebut.
Buku ini pada umumnya mengandungi 10 bab yang kandungannya dapat membantu para pelajar membuat penyelidikan dalam bidang Pengajian Islam yang lebih sempurna berkualiti dan menepati kehendak semasa.
Penerbitan buku ini juga diharap dapat mengajak para pelajar dan ilmuwan dalam bidang pengajian Islam supaya menyemarakkan budaya penyelidikan dalam bidang tersebut. Ini penting kerana Islam adalah agama yang rasional dan menolak budaya taklid dan sentiasa meneroka ke arah pembinaan budaya ilmu dalam kehidupan.
Melalui buku ini juga penulis mengharapkan bidang penyelidikan dalam bidang pengajian Islam dapat dikembangkan. Ini kerana walaupun memang banyak penyelidikan yang telah dibuat oleh para ilmuwan dan sarjana dalam bidang Pengajian Islam terdahulu, tetapi kebanyakannya masih lagi terfokus kepada isu-isu tradisi seperti tafsir, hadis, fikah dan akidah.
Metodologi kajiannya pula lebih bersifat kajian dokumen dan tafsiran-tafsiran secara skrip tual atau teks tual. Hasil-hasil sebegini dianggap kurang saintifik kerana pendekatan teknologi dan penganalisisan data mengabaikan prinsip-prinsip yang digariskan dalam ilmu kaedah penyelidikan moden.
Sehubungan itu, penyelidikan Pengajian Islam seharusnya menggabungkan pendekatan kualitatif dan kuantitatif serta menerokai bidang-bidang baru yang menyentuh isu sebenar ummah dan bersifat futuristik. Namun demikian aspek epistimologinya yang berasakan al-Quran dan al-hadis tidak harus diketepikan.
Oleh itu, metodologi penyelidikan yang dibangunkan dari dunia ilmiah Barat tidak sewajarnya diketepikan sebaliknya disaring dan disesuaikan dengan kehendak Islam. Sehubungan dengan itu buku ini merupakan pengenalan kepada kaedah penyelidikan yang berusaha menjambatani dunia penyelidikan tradisi Islam kepada metodologi penyelidikan saintifik kontemporari yang menjamin hasil kajian bersifat sah dan boleh dipercayai.
- Judul Buku: Pengenalan Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam
- Penulis: Ahmad Sunawari Long
- Penerbit: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Tahun Terbit: 2005
- Harga: RM10.00
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment