Monday, November 26, 2007

Menilai Kembali Peranan Ibu Dalam Diri
Oleh Burhanuddin Abdul Jalal

TUGAS ibu memang berat dan sukar. Kecintaan, kasih sayang, kesabaran dan pengorbanan serta pertimbangan yang tinggi diperlukan dalam usaha membesarkan anak-anak. Oleh yang demikian, Allah mencipta peranan kasih sayang yang tidak terhingga di dalam hati ibu atau bapa. Tetapi yang lebih lagi ialah hati dan perasaan ibu. Kecintaan yang mendalam inilah yang mengiringi pembesaran anak-anak. Allah memberikan rahmat kepada kita semua kerana Allah sudah mencipta dalam diri manusia ikatan dan perasaan kasih sayang terhadap anak. Namun, mengapa ada wanita yang belum dapat menghayati tugas, tanggungjawab atau peranan sebagai ibu? Benarkah wanita kini tidak seronok lagi menjadi wanita bergelar ibu? Mengapa agaknya mempunyai anak-anak (yang ramai) tidak lagi menjadi kebanggaan? Umumnya, ibu yang kurang berpengetahuan dan kesedaran Islam mempunyai pandangan hidup yang sempit. Ia hanya memikirkan mengenai hidup keduniaan dan tidak mengetahui kehidupan di akhirat kelak. Ia hanya mengasihi anak-anak kerana sifat semula jadi. Ia memelihara anak-anaknya kerana dengan berbuat demikian, bangsanya akan terpelihara dan apabila anak-anaknya dewasa, ia akan dijaga oleh anaknya pula. Begitulah seterusnya. Setiap wanita Islam perlu menyedari bahawa selain mengharapkan aspek fizikal dan keduniaan, mereka perlu menanam keyakinan dan niat bahawa membesarkan anak-anak adalah atas nama Allah, beriman kepada-Nya serta keyakinan mengenai hari akhirat. Setiap ibu Muslim perlu menyedari bahawa sekiranya mendidik anak-anak dengan betul, ikhlas dan penuh keredaan, kita akan diberi ganjaran oleh Allah di akhirat kelak. Ini bertepatan dengan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Kanzal Ummal: "Apabila seseorang wanita mengandung, kedudukannya dapat disamakan dengan orang yang berpuasa, mengerjakan solat tahajud setiap malam, mentaati Allah dan berkorban untuknya. Tidak ada siapa yang boleh menduga ganjaran yang diperolehi daripada Allah di atas kesakitan yang dideritai ketika bersalin. Setelah anak itu dilahirkan, ia menyusukannya dan setiap titik air susu yang diminum oleh bayinya, ia mendapat ganjaran seperti ia memberi nyawa kepada seseorang. Apabila bayi berhenti menyusu (dalam tempoh tertentu) malaikat menepuk bahunya sambil berkata dengan rasa hormat dan kasih 'wahai dayang Allah, bersedialah untuk kandungan yang seterusnya' (Riwayat Kanzal Ummal). Pada zaman moden ini, mungkin ramai ibu yang berpendapat mereka sudah tiada masa atau mempunyai anak yang ramai membebankan. Ternyata semua alasan itu adalah salah dan tidak bertepatan dengan Islam. Bagi Islam, tugas dan tanggungjawab isteri adalah untuk kesejahteraan keluarga. Tugas ibu penting kerana ia dapat memelihara anak-anak dan membentuk keperibadian wanita itu sendiri. Jaya gagal, wanita yang bertindak sebagai ibu/isteri akan disoal pada hari akhirat. Sabda Rasulullah: "Wanita sebagai isteri dan ibu adalah pelindung rumah tangga. Ia bertanggungjawab kepada rumah tangga suami. Ia bertanggungjawab mengenai semua orang dan barang-barang yang diamanahkan kepada (al-Jumaah)". Sudah menjadi kenyataan apabila wanita atau ibu dipesongkan supaya melalaikan tugas rumah tangga untuk menyertai kegiatan di luar, membabitkan diri dalam kegiatan ekonomi, politik dan sosial, rumah tangga mereka rosak, kehidupan anak-anak bercelaru dan tidak tenteram. Bagi negara maju, slogan 'kebebasan wanita' sudah memberikan petunjuk bahawa keadaan masyarakat amat menyedihkan dan huru-hara. Wanita mereka bebas dalam setiap aspek kehidupan dan tidak lagi menjadi wanita, ibu, isteri atau anak-anak yang setia. Perkahwinan dianggap kuno (outdated). Sebaliknya mereka suka kepada cara hidup 'berteman' yang tidak ada ikatan perkahwinan. Akibatnya, anak yang lahir daripada sistem ini menjadi liar. Seluruh binaan masyarakat reput dan hancur. Sehubungan itu, Rasulullah menjelaskan, jika wanita muslim melakukan tugas tabii dan sosial yang betul, mereka akan ditempatkan di syurga bersamanya. Ini jelas menunjukkan bahawa kemuncak kejayaan wanita ialah pelaksanaan tugas tabii dan rumah tangga yang dihargai Allah. Ini disabdakan oleh Rasulullah: "Wanita yang tinggal di dalam rumah untuk memelihara anak akan menyertai saya di syurga" (Riwayat Kanzal Ummal). Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Untuk semua wanita yang bergelar ibu, Selamat Menyambut Hari Ibu.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024