Thursday, November 29, 2007

CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI

RENCANA
OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI

Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang semakin kompleks. Hal ini berlaku disebabkan perkembangan peradaban dan kemajuan tamadun kemanusiaan dalam pelbagai aspek kehidupan. Keadaan ini tentunya berbeza jika hendak dibandingkan dengan pada zaman era pertanian dan juga era perindustrian beberapa abad yang lampau. Ternyata realiti kehidupan manusia pada masa kini lebih bersifat kebendaan dan juga lebih bersifat individualistik.
Sehubungan dengan itu perkembangan dan kemajuan dakwah Islamiah perlu sentiasa selaras dengan perkembangan dan kemajuan masyarakat yang ada di sekelilingnya. Ini bermaksud segala aktiviti, program dan pendekatan dakwah Islamiah perlu mengikut perkembangan dan kemajuan masyarakat . Tidak dapat dinafikan bahawa ada kalanya aktiviti atau program dakwah Islamiah yang dijalankan tidak memenuhi keperluan dan kesesuaian suasana keadaan sesebuah atau kelompok masyarakat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dakwah Islamiah belum dijadikan model atau panduan oleh masyarakat dalam menghadapi perubahan yang berlaku dalam kehidupan mereka pada hari ini.
Dalam era kemajuan teknologi dan dalam era globalisasi masa kini sekurang-kurangnya terdapat tiga cabaran dakwah Islamiah yang perlu dihadapi pada masa kini iaitu: Pertama; pemahaman masyarakat terhadap aspek dakwah Islamiah pada umumnya lebih diertikan sebagai aktiviti yang bersifat komunikasi lisan ( oral communication) atau bersifat tabligh sehingga aktiviti dakwah lebih bersifat kepada penyampaian secara lisan semata-mata aktiviti ceramah semata-mata. Dari satu sudut, kegiatan ceramah yang banyak diadakan pada masa kini dalam masyarakat kini sama ada di surau, masjid, dewan, tempat-tempat awam atau di mana sahaja memang mempunyai kekuatan yang tersendiri, kerana ia dapat mewujudkan hubungan secara langsung antara pendakwah (daie) dengan sasaran dakwah atau kelompok yang didakwahi (mad’u). Selain dari itu para pendakwah yang terlibat dalam aktiviti jenis ini tidak perlu memerlukan tenaga yang terlalu banyak untuk berfikir dan khalayak pula terdiri dari pelbagai jenis kelompok pendengar. Dari sudut yang lain, terdapat kelemahan dalam program yang berbentuk ceramah ini, antaranya ialah penceramah atau pendakwah yang terlibat perlu menyediakan waktu yang banyak untuk program ini. Lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat kita pada hari ini masyarakat lebih suka dan tertarik dengan ara penceramah yang popular dan ‘menghiburkan’ atau para penceramah yang perlu ‘diimport’ dari jauh. Selain dari itu khalayak dakwah juga perlu menyediakan masa yang cukup untuk mengikut kegiatan ceramah ini yang diadakan di pelbagai tempat sedangkan pada masa kini, masyarakat tidak mempunyai banyak masa akibat dari pelbagai aktiviti bagi memenuhi kehidupan seharian termasuk keperluan bekerja dan tuntutan yang lain. Kemungkinan juga program ceramah-ceramah yang diadakan itu menjemukan atau tidak menepat sasaran khalayaknya kerana terdapat perbezaan daya intelektual para pendengar ataupun terdapatnya kelemahan-kelemahan yang lain dari para pendakwah sendiri.
Kedua, cabaran dari sudut keilmuan. Dakwah dalam era kini bukan lagi bersifat biasa (routine), sementara ( temporary) dan juga segera (instant) tetapi dakwah masa kini memerlukan kekuatan keilmuan. Dengan adanya keilmuan dakwah Islamiah tentunya aspek-aspek yang berkaitan dengan strategi pelaksanaan dakwah dapat dilaksanakan berdasarkan teori dakwah Islamiah yang telah diperkatakan oleh alim ulama atau para cendekiawan yang terdahulu. Kita perlu akui bahawa aktiviti-aktiviti atau program dakwah yang dilaksanakan pada hari pada umumnya tidak menggunakan kaedah pendekatan ilmiah atau kerangka teori dakwah yang jelas. Akibatnya semua program dan aktiviti dakwah yang dilaksanakan terus berjalan tanpa perancangan dan penilaian yang jelas. Masalah yang timbul berkaitan dengan aspek keilmuan dakwah Islamiah ini ialah disebabkan dari segi epistemologi ilmu dakwah tidak selari dengan khazanah ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu kalam, filsafat Islam, tasawuf, hadis, fikah dan lain-lainnya. Ternyata ilmu dakwah yang muncul agak lewat dari segi perkembangan ilmu dan ilmu ini baru dikuasai oleh para ilmuwan terkemudian dan masa kini.
Cabaran ketiga adalah berkaitan dengan modal insan. Dalam aspek ini jika diperhatikan aktiviti dakwah yang dilaksanakan masih lagi di tahap sederhana. Kesan dari ini terdapatnya para pendakwah yang tidak profesional dan ini menyebabkan masyarakat memberi penghargaan yang rendah kepada para pendakwah. Pandangan yang sama juga ditujukan kepada agensi atau organisasi dakwah akibat dari lemahnya daya kepimpinan dan juga aspek pengurusan organisasi dakwah. Para pendakwah yang masih gagal menguasai alat-alat teknologi dakwah ataupun kemudahan yang terdapat ada masa kini yang dapat memberikan kesan dalam menyampaikan dakwah, tidak mampu melaksanakan pengurusan dakwah yang berkesan yang merangkumi aspek perancangan, pengorganisasian, pengawalan dan juga kepimpinan yang berkesan. Secara idealnya para pendakwah pada masa kini tidak hanya menguasai ilmu-ilmu asas pendakwah seperti penguasaan ilmu pengajian Islam yang mantap, akhlak yang baik tetapi juga perlu menguasai ilmu-ilmu bantu yang lain seperti ilmu komunikasi dan juga kaedah atau metodologi dakwah, sekali gus ia mampu menterjemah ilmu atau kemahiran yang ada itu untuk menyampaikan dakwah Islamiah secara lebih berkesan.
Berdasarkan tiga cabaran yang dinyatakan di atas, adalah menjadi harapan kita bersama bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan tahap perlaksanaan dakwah Islamiah di kalangan para pendakwah dan juga organisasi dakwah sama pihak kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO ) akan terus diusahakan dan sekali gus aktiviti dakwah Islamiah di negara kita akan mengalami proses pencerahan (enlightenment) dalam memfokuskan persoalan-persoalan dakwah Islamiah yang berkembang dalam era kontemporari masa kini.


__________________________TAMAT____________________
CATATAN:
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal ialah Pegawai KAGAT yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Boleh dihubungi di burhanilmi@yahoo.com

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024