Menilai gerakan dakwah selepas 50 tahun merdeka
Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL
ISTILAH dakwah sama ada dilihat dari segi makna konsep ataupun praktikalnya, menjurus kepada keperluan sasarannya atau khalayak iaitu untuk membina masyarakat yang baik sama ada dari segi fizikal, mental dan juga spiritual. Keperluan untuk melihat semula istilah dan kefahaman dakwah dari semua sudut amat perlu sekali dengan tujuan untuk memperoleh hasil yang maksimum daripada matlamat murni konsep dakwah yang diperintahkan oleh Allah dalam kitab suci al-Quran.
Namun demikian, satu perkara yang penting dalam konsep dakwah Islamiah pada hari ini perlu dilihat kembali dari sudut konsep, tujuan dan aktiviti dakwah yang dilaksanakan. Ini tidak bermaksud untuk merubah makna dan matlamat dakwah yang jalankan tetapi bertujuan untuk melihat dari kecekapan (efektif) dan keberkesanan (efisien).
Institusi-institusi pengajian tinggi Islam yang di dalam ataupun di luar negara yang menjadi ‘kilang’ mengeluarkan graduan yang bakal menjadi pendakwah dalam masyarakat sudah pastinya telah melihat keperluan dan tuntutan masyarakat masa kini dalam usaha menyampaikan dakwah Islamiah dalam erti kata yang sebenar.
Berdasarkan kepada perkembangan mutakhir pada hari ini Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini telah menubuhkan fakulti atau jabatan yang mengkhusus dalam bidang pengajian dakwah.
Di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, terdapat Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan sejak 1980, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula ditubuhkan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Begitu juga di lain-lain institusi pengajian Islam yang terdapat di negara ini.
Pengajian
Berdasarkan kurikulum yang terdapat di fakulti atau jabatan-jabatan yang menawarkan pengajian dakwah tersebut pada umumnya telah mengarahkan kurikulum dalam pengajian dakwah ke arah mengintegrasikan ilmu agama dengan ilmu pengetahuan dan teknologi masa kini.
Ini bertujuan menghasilkan graduan yang mampu mengharungi cabaran dalam pasaran pekerjaan (learning to be), mengetahui apa yang perlu diketahui oleh masyarakat industri, teknologi dan globalisasi (learning to think) dan juga graduan yang mampu untuk membina kesejahteraan diri sendiri dan masyarakat (learning to do).
Bagi memenuhi keperluan tersebut, kajian secara mendalam dan teliti perlu dilaksanakan oleh semua pihak merangkumi sudut organisasi, sumber manusia, organisasi ataupun dari sudut kemudahan atau prasarananya yang sedia ada pada hari ini. Untuk mencapai hasrat tersebut terdapat empat strategi yang perlu dilakukan;
a) Menyusun dan mengembangkan organisasi. Strategi ini bermaksud untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan merealisasi program pendidikan atau pengajaran serta hubungannya dengan masyarakat.
b) Menyusun dan mengembangkan kurikulum pengajian.
Strategi ini bertujuan untuk memenuhi tuntutan kurikulum dan mengintegrasikan ilmu agama (pengajian Islam) dengan ilmu pengetahuan teknologi sehingga dapat menghasilkan graduan yang mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.
c) Mengadakan serta mengembangkan peluang dan kemudahan dalam pendidikan.
Strategi ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pengajian bagi melahirkan graduan yang memiliki kecekapan dan keterampilan yang sesuai dengan kompetensi alam pekerjaan.
d) Membentuk jaringan dan mengukuhkan hubungan.
Strategi ini untuk mendorong semua potensi yang ada untuk mewujudkan organisasi, institusi serta peningkatan sumber tenaga manusia keseluruhannya.
Selain dari itu apa yang lebih penting dalam usaha untuk berdakwah dengan lebih berkesan, kita perlu mengambil saranan Dr. Yusuf al-Qaradawi (2000), menyentuh aspek kematangan berdakwah, melalui bukunya yang berjudul, As-Sahwah Al-Islamiyyah Minal Murahaqah Ilal Rusyd, yang bermaksud Kebangkitan Islam: Dari Peringkat Keremajaan Ke Arah Kematangan.
Beliau menyebutkan yang berbunyi, “Akan tetapi, kebangkitan ini telah dicemari dengan pelbagai pencemaran yang mengeruhkan kesuciannya dan menambahkan kekeliruan terhadapnya serta merosakkan hakikatnya dan menyebabkan salah faham terhadap kehebatannya, yang mana kami katakan sebagai ‘Penyakit-penyakit kebangkitan ini’, yang mana wajib bagi kita merawatnya dan tidak membiarkannya dan membetulkannya dan tidak meninggalkannya begitu sahaja.”
Selain itu, sempena dengan sambutan ke-50 kemerdekaan negara, semua pihak dapat melihat kembali peranan dan usaha-usaha dakwah yang telah dilaksanakan dalam usaha membina modal insan yang berkualiti yang dapat berjuang dengan penuh komitmen dan bertanggungjawab bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Oleh itu, pesanan Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya itu tentunya dapat dijadikan panduan.
Antara lain Yusuf al-Qaradawi menyatakan, segalanya boleh dilihat dengan adanya gejala melampau, tergesa-gesa, terlalu sibuk dalam perkara berbentuk teknikal daripada sibuk dalam perkara asas, sibuk dalam berdebat daripada memberi dan melakukan amal.
“Di sini boleh dilihat pada beberapa kumpulan dakwah yang bersikap taksub dan tertutup, jumud dan taklid, menyusahkan dan menakutkan, mengikut emosi dan perasaan, mementingkan perkara furuk dan cabang lebih daripada perkara usul, dan menghalakan dakwahnya ke arah keganasan dan kekerasan daripada berlembut dan bersikap rahmat,” kata beliau.
Lantaran itu, dalam semangat kita menyambut 50 tahun kemerdekaan negara, ada baiknya para pendakwah dapat menghayati apa yang digariskan al-Qaradhawi dalam usaha untuk memacu usaha-usaha dakwah di negara ini.
10 cadangan Dr. Yusuf al-Qaradawi
* Daripada bentuk dan zahir, kepada hakikat dan asas.
* Daripada bercakap dan berdebat, kepada memberi dan beramal.
* Daripada beremosi dan berperasaan, kepada berakal dan berilmu.
* Daripada furuk dan cabang, kepada usul dan pokok.
* Daripada menyusahkan dan menakutkan, kepada memudahkan dan menggembirakan.
* Daripada jumud dan taklid, kepada ijtihad dan tajdid.
* Daripada taksub dan tertutup, kepada toleransi dan terbuka.
* Daripada melampau dan zalim, kepada sederhana dan adil.
* Daripada keras dan ganas, kepada lembut dan rahmat.
* Daripada berselisih dan berpecah, kepada berpadu dan bersatu.
Semoga kemerdekaan yang ke-50 tahun negara akan menambahkan lagi semangat dan komitmen pendakwah di Malaysia sesuai dengan kematangan usia negara kita.
* MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL ialah Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment