Thursday, November 29, 2007

Kecemerlangan sasaran 2 Divisyen
Oleh MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL (PS 2 AGAMA MK 2 DIV)
‘KECEMERLANGAN Sasaran Kita’ merupakan motto Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen) yang mula digerakkan oleh Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Amiruddin Mahmud Aladad Khan sempena pelantikan beliau sebagai Panglima 2 Divisyen.
Slogan tersebut sekali gus mengetuk minda kita untuk benar-benar menghayati pengertian cemerlang.
Apakah itu cemerlang?
Dalam bahasa Inggeris cemerlang bermaksud excellence dan The American Heritage Dictionary of English Language (2000) memberikan takrif excellence sebagai the state quality, or condition of excelling, superiority.
Kamus Dewan pula mentakrifkan cemerlang sebagai bersinar, (bercahaya) dengan terang sekali, berkilauan, gilang-gemilang (berkenaan), kejayaan, keputusan yang baik.
Persoalannya sekarang bagaimanakah kita boleh mencapai kecemerlangan?
Dr. Danial Zainala Abidin dalam bukunya, Tip-tip Cemerlang Dalam al-Quran (2004), telah menggariskan tujuh ciri penting yang perlu ada dalam setiap diri bagi mencapai kecemerlangan, iaitu:
1. Produk yang istimewa
Setiap individu insan adalah makhluk yang mulia. Oleh yang demikian kita perlu menghargai diri kita sebagai insan atau manusia yang mempunyai nilai, maruah dan martabat atau harga diri yang tinggi.
Selain daripada itu kita perlu menyedari bahawa tugas kita sebagai anggota tentera merupakan satu profesion yang mulia dan juga penting. Tambahan pula ia mengeluarkan produk atau memberikan perkhidmatan yang penting atas kepentingan keselamatan negara.
Jika ini dapat dihayati oleh setiap warga tentera atau setiap insan dalam apa juga kerjaya yang diceburi, usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam diri akan mudah dicapai.
2. Berfikir sebagai pemimpin dan bukan pengikut
Perkara ini memang telah ditekankan oleh Allah s.w.t. dan dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w..
Dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyarankan setiap umat Islam agar berdoa kepada Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa (bermaksud pemimpin yang berkualiti).”
3. Perkongsian nilai
Satu nilai utama yang ditekan oleh Islam adalah sifat amanah.
Dalam hal ini Imam al-Alusi pernah berkata, “Amanah adalah tanggungjawab yang berkaitan dengan hak-hak Allah dan hak-hak makhluk sama ada berbentuk perbuatan, perkataan ataupun kepercayaan.”
Oleh yang demikian, nilai-nilai murni perlu diwujudkan dalam setiap insan dan jika nilai-nilai murni ini dapat dikongsi, diamal dan juga dihayati bersama dalam organisasi, kumpulan atau masyarakat, sudah tentu kecemerlangan dapat dicapai.
4. Memberi fokus kepada inovasi
Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam diri dan organisasi, setiap daripada kita perlu memberi fokus kepada inovasi atau keinginan terhadap usaha-usaha ke arah pembaikan dan pembangunan organisasi.
Dalam hal ini, al-Quran telah menjelaskan tentang kisah Zulkarnain dalam surah al-Kahfi yang menjelaskan tentang perancangan yang rapi dalam usaha mencapai matlamat.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa Zulkarnain ialah insan yang boleh dijadikan contoh dalam aspek yang berkaitan dengan inovasi atau inovatif.
5. Mementingkan kualiti
Nilai mementingkan kualiti dalam apa juga tindakan adalah amat penting.
Dalam al-Quran, Allah s.w.t. telah menyebut dalam surah al-Mulk yang bermaksud, “Dialah Tuhan yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya ia dapat menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.”
6. Tidak berasa rendah diri
Untuk hidup dengan berjaya dan cemerlang, kita perlu menghindari sifat-sifat negatif daripada menguasai diri seperti sifat rendah diri yang tidak bertempat.
Untuk mencapai kecemerlangan kita perlu sentiasa bersifat positif dan optimis.
Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 139 yang bermaksud, “Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu berdukacita kerana kamu golongan yang tinggi jika kamu beriman.”
7. Mampu bekerjasama
Sejauh manakah kita sudah mengamalkan sikap bekerjasama dengan rakan-rakan atau organisasi dalam melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan?
Jika kita mampu mengamalkan sikap yang penting dan mulia ini, sudah tentu kita boleh mencapai kecemerlangan dengan mudahnya.
Allah s.w.t. telah memperingatkan kita tentang betapa pentingnya amalan ini.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, “Tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.”
Oleh yang demikian, jika setiap daripada kita mampu menguasai ketujuh-tujuh ciri yang penting ini, sudah tentu kita akan mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam diri, masyarakat, organisasi ataupun negara sekali gus dapat merealisasikan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar Malaysia menjadi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024