Tuesday, December 16, 2008

Antara ulama sejati, ulama menyeleweng

DALAM al-Quran istilah ulama secara jelas disebut pada dua tempat, iaitu:
* "Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah
menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita agama Bani Israel
mengetahui kebenaran al-Quran." (surah Asy-Syuara' ayat 197); dan:
* "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada
kalangan hambaNya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha
Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah al-Fathir ayat 28)
Walaupun surah Ash-Syuara berkaitan dengan Bani Israel, ia menunjukkan
bahawa seseorang dikatakan ulama apabila memiliki ilmu pengetahuan yang
luas dan mendalam khususnya ilmu fatwa. Ayat kedua menjelaskan seseorang
dikatakan mencapai tahap ulama apabila memiliki rasa `khasyyah' yang
bermaksud `takut dan cinta yang tinggi kepada Allah SWT serta sentiasa
memelihara hubungannya dengan Allah.
Selain itu, pengajaran dan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat
mencerminkan takwanya kepada Allah. Dalam aspek ini, Said Hawwa dalam
kitabnya `al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas'ud yang
menyatakan bahawa ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak
ilmu tetapi juga orang yang banyak `khasyyah' (takut dan cinta yang
tinggi) kepada Allah".
Ada hadis yang menjelaskan mengenai beberapa ciri ulama dan hampir
keseluruhannya mengulas mengenai akhlak dan keperibadian serta sikap
terhadap perkara hak dan batil dan sikap terhadap pemerintah. Hadis
Riwayat Ahmad menyatakan, "Gambaran ulama di muka bumi adalah seperti
bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan
lautan. Apabila bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan
tersesat jalan."
Ulama adalah cermin dan pemimpin ummah. Barang siapa yang sentiasa
bergaul dengannya bertambah kebaikannya" (Hadis Riwayat Jamaah). Seorang
sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai keutamaan dan
kemuliaan seseorang ulama yang mengamalkan ilmunya berbanding orang yang
semata-mata digelar ulama tanpa didukung oleh keluasan ilmunya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya keutamaan dan
kelebihan seorang yang alim berbanding seorang abdi (ahli ibadah) adalah
seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah antara kamu.
Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi, malah semut
di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang
lain (ulama selalu membimbing umat ke arah kebaikan). (Hadis Riwayat Imam
Tarmizi)
Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama sebagaimana yang
dijelaskan dalam hadis ternyata bahawa seseorang ulama mempunyai
penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga menjadi cermin
dan pemimpin umat dalam menegakkan agama Allah, sanggup mengatakan perkara
yang hak.
Taraf ulama adalah tinggi. Oleh itu, ulama disebut sebagai waris anbiya,
malah Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Muliakanlah
ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang
memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya."
(Hadis Riwayat Iman Khatib dari Jabir).
Berdasarkan hadis berkenaan istilah ulama tidak perlu lagi ditambah
seperti ulama-cendekiawan kerana ulama memang mempunyai ciri-ciri
cendekiawanan Muslim yang memahami dengan baik al-Quran, as-Sunnah dan
ilmu syariat. Ini ditambah pula dengan ketakwaan dan keperibadian yang
mulia.
Persoalannya sekarang wujudkah apa yang disebut sebagai ulama jahat?
(as-su'u). Dalam hubungan ini, Rasulullah menyebut dalam beberapa hadisnya
bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan
batil dan memahami al-Quran serta al-hadis sanggup mencampur-adukkan
perkara yang hak dan yang batil. Inilah yang dikatakan ulama yang
menyeleweng (ulama syirar, as-syin, fasik).
Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, "apakah amal perbuatan
yang paling utama?" Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila
kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan." Sahabat
berkenaan bertanya lagi, "manusia yang bagaimana yang paling buruk?"
baginda menjawab, "ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat
Jamaah).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Rosaknya
agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat,
pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad." (Hadis
Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai
wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin
menyelamatkan orang lain.
Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah
kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri
mengejar kedudukan dan harta duniawi.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan
ke dalam neraka jahanam pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli
neraka lain bertanya: "mengapakah anda jadi begini sedangkan anda sentiasa
menyuruh kami berbuat baik dan mencegah kemungkaran?"
Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik tetapi
saya tidak melakukannya dan saya yang melarang anda tidak melakukannya
tetapi saya sengaja melanggarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa peringatan berkenaan menunjukkan wujudnya ulama yang tidak
menepati ciri-ciri ulama. Apa yang penting ialah ilmu dan penghayatannya
serta niat seseorang.
Ulama yang berhati bersih, jujur, teguh pendiriannya dan mengutamakan
Allah serta RasulNya tetap berpegang teguh pada prinsip dan amanah. Mereka
memahami bahawa Allah melaknat mereka jika taraf ulama yang ada pada diri
mereka diselewengkan.
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang
menyembunyikan apa yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan
petunjuk setelah kami nyatakan kepada manusia dalam al-Quran, mereka
dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang dapat melaknati mereka."
(al-Baqarah-159)
Ulama yang menunjukkan sikap jujur, bersih dan ikhlas demi menegakkan
kalimah Allah dan syiar Islam, merekalah yang "Ulama warasatul anbiyaa".
Bagaimanapun, ulama yang mengingkari perjanjian dengan Allah serta
mempunyai niat untuk kepentingan diri sehingga sanggup mengorbankan nilai
ulama dan imej ulama umumnya perlu kembali ke pangkal jalan.
Mereka perlu menghayati sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Seorang
ulama yang menggunakan ilmunya untuk mencari keredaan Allah, maka segala
sesuatu akan tunduk dan kagum kepadanya.
Tetapi jika dia menggunakan ilmunya hanya untuk mendapatkan harta dunia,
maka hilanglah sesuatu daripadanya." (Hadis Riwayat Dailami) - Mejar
Burhanuddin Abdul Jalal ialah Pegawai Penerbitan di Jabatan arah Kor Agama
Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024