SETIAP kali kedatangan Aidiladha, sudah pasti kita akan merenung kembali
perjuangan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, khususnya perjuangan dan
pengorbanan yang telah mereka lakukan demi menyahut seruan Allah.
Namun, sejauh manakah kita umat Islam hari ini dapat menghayati dan
mengambil iktibar peristiwa pengorbanan, perjuangan dan kegigihan Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail bagi menghadapi pelbagai cabaran pada hari ini?
Sesungguhnya, cabaran dan dugaan umat Islam hari ini amat hebat sekali.
Ini seperti yang diramalkan oleh Rasulullah saw melalui hadisnya yang
bermaksud: "Pada akhir zaman nanti, hampir kesemua bangsa akan mengerumuni
kamu sekalian seperti mengerumuni jamuan. Sahabat bertanya, apakah umat
Islam pada waktu itu sedikit bilangannya, wahai Rasulullah? Rasulullah
menjawab: Tidak, bahkan jumlah kamu pasti ketika itu besar sekali tetapi
kamu pada ketika itu umpama buih di laut, pada waktu itu Allah telah
mencabut perasaan takut dari hati musuh-musuh kamu dan Allah telah
mencampakkan perasaan wahan ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya apakah
wahan itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, cintakan dunia dan takutkan
mati." (Hadis Riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis Rasulullah ini, adalah perlu umat Islam seluruhnya
melihat kembali sejauh mana kita telah menghayati dan mengambil iktibar
dalam suasana Aidiladha atau Hari Raya Korban ini.
Apakah penyakit wahan itu telah menyelubungi ramai umat Islam serta
gagal meneladani semangat dan kesungguhan perjuangan serta pengorbanan
Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim?
Menyorot kembali perjuangan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, iktibar
perlu diambil daripada perjuangan itu oleh umat Islam seluruhnya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada
bawaan Nabi Ibrahim as dan pengikutnya contoh yang baik, ketika mereka
berkata kepada kaumnya yang kufur, sesungguhnya kami berlepas diri
daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain daripada Allah,
kami kufur ingkarkan segala penyembahan kamu dan nyatalah permusuhan dan
kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya sehingga kamu
menyembah Allah semata-mata." (Surah al-Mumtahanah, ayat 4)
Nabi Ibrahim sebagai bapa kepada para nabi dikenali sebagai seorang nabi
yang gigih menentang kemusyrikan dan mengajak manusia menyembah Allah swt.
Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud: "Dan
ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya. Aazar, patutkah ayah
menjadikan berhala-hala sebagai tuhan? Sesungguhnya ia akan melihatmu dan
kaummu dalam kesesatan yang nyata."
Walaupun seruan Nabi Ibrahim terhadap bapa dan kaumnya ditolak, tindakan
itu telah memberikan satu kekuatan kepada Nabi Ibrahim dan Baginda yakin
bahawa setiap perjuangan dan usaha untuk menyampaikan kebenaran pasti
menghadapi ujian dan cabaran.
Bahkan Baginda yakin Allah akan meninggikan darjat kepada orang yang
sabar dan gigih menegakkan kebenaran.
Kegigihan Nabi Ibrahim menegakkan kebenaran diteruskan hingga zaman Raja
Namrud.
Usaha untuk menyampaikan kebenaran ini mendapat tentangan hebat oleh
Namrud tetapi Nabi Ibrahim tetap tabah dan sabar menghadapi ujian
berkenaan.
Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua mereka berkata, bakarlah dia
dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya,
kami berfirmankan, wahai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera
kepada Ibrahim (Surah al-Anbiya, ayat 68-69).
Persoalannya sekarang, sejauh manakah umat Islam hari ini gigih, kuat
dan sabar dalam usaha menyampaikan dakwah dan syiar Islam?
Barangkali kita agak longgar dan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha
itu, malah kadang-kadang umat Islam tidak menghayati langsung ajaran
Islam. Banyak sekali masalah dan pelbagai penyakit sosial dihadapi oleh
umat Islam.
Oleh yang demikian, sempena dengan Aidiladha ini, perlulah umat Islam
melihat kembali perjuangan kita untuk menghadapi Islam terhadap diri,
keluarga dan masyarakat.
Ini seperti yang telah difirmankan Allah: "Wahai orang yang beriman,
peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka." (Surah
at-Tahrim, ayat 6)
Selain itu, kehidupan kita di dunia ini adalah sementara saja. Untuk
itu, perlulah kita mengambil kesempatan untuk sama-sama berusaha dan
berkorban bagi menegakkan agama Allah dengan berteraskan al-Quran dan as-
Sunnah.
Untuk itu, firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 71 perlu dihayati dan
menjadi pemangkin atau panduan untuk kita berjuang dan berkorban seperti
yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Semoga kita sama-sama menghayati firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat
71 yang bermaksud: "Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya, sesungguhnya
ia telah mendapat kemenangan yang besar."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment