Tuesday, December 16, 2008

Cabaran baru berdakwah

MENJELANG abad ke-21, beberapa perubahan telah berlaku. Percaturan politik
dunia ternyata mempengaruhi beberapa perkara yang berkaitan dengan suasana
politik, keadaan ekonomi, perhubungan antara bangsa serta aspek lain dalam
kehidupan. Ini amat ketara setelah komunisme runtuh di Russia yang sekali
gus meruntuhkan negara besar komunis. Ia juga menyebabkan berakhirnya
perang dingin antara dua kuasa besar dunia. Namun demikian pergolakan
dunia akan beralih kepada pertembungan antara dunia Barat dan dunia Timur.
Samuel Huntington dalam teorinya Clash of Civilazation menyatakan bahawa
musuh utama Barat masa kini adalah Islam. Namun, telahan Huntington itu
telah disangkal seorang orientalis Barat yang juga penasihat kerajaan
Amerika Syarikat dalam isu berkaitan Islam iaitu Prof John L Esposito. Apa
yang agak ketara dalam aspek ini ialah Amerika nampaknya lebih mempercayai
teori Huntington dan ini dapat dilihat daripada tindak-tanduk yang dibuat
Kongres dan juga negara Barat yang lain dalam menangani isu negara dan
umat Islam seperti isu Palestin, Iraq, Libya dan juga Iran. Bagi Barat,
Islam dan umatnya adalah seumpama lembaga yang perlu diawasi dan dicurigai
dalam setiap tindak-tanduknya sepanjang masa.
Perubahan lain yang turut memberi kesan kepada percaturan politik dunia
ialah gagasan negara Barat dan tentunya dipelopori Amerika Syarikat dalam
satu bentuk tata baru dunia yang dikenali Order Baru Dunia. Beberapa isu
ditonjolkan seperti isu demokrasi, hak asasi manusia, isu kebebasan wanita
dan juga isu yang membawa kepada keuntungan Barat. Tujuannya ialah jika
negara lain tidak mengikut kehendak atau perbezaan pendapat dengan apa
yang mereka lakukan atau tidak mengikut apa yang mereka hajati, kesannya
negara itu akan menghadapi pelbagai masalah seperti sekatan ekonomi,
pembekuan harta dan sekatan politik. Kes ini ternyata berlaku terhadap
beberapa negara seperti Iran, Iraq dan Libya.
Berakhirnya Perang Dingin dan Order Baru Dunia, bidang ekonomi dan
perniagaan akan turut mengalami perubahan. Ada paradigma baru terhadap
kemajuan perniagaan dan ekonomi, sekali gus akan memberi kesan terhadap
era industri.
Menurut pemikir Jepun, Kinichi Ohamae, dalam tiga buku utamanya yang
berjudul Triad Power, Borderlevy World dan The End of Nation State telah
menyatakan kini wujud kawasan ekonomi secara regional dan tidak berbentuk
global. Dalam era informasi yang akan menggantikan era industri, pelaku
perniagaan akan berpindah kepada individu dan tidak lagi dikuasai pihak
kerajaan. Ini bermakna era penswastaan dan hak milik individu akan
menguasai ekonomi. Profesionalisme dan juga teknologi maklumat adalah
faktor utama untuk mempengaruhi kemajuan. Media massa akan mempengaruhi
segala aspek kehidupan sekali gus media dapat menguasai pengguna.
Persoalannya, sekarang apakah hubungkaitnya segala perubahan yang berlaku
dalam era globalisasi masa kini dan masa hadapan terhadap kebangkitan
dakwah?. Kesannya ialah timbulnya cabaran dan masalah baru dalam dakwah
Islamiah. Perlu dijelaskan bahawa `dakwah' tidak sekadar ditafsirkan
sebagai dorongan atau ajakan ke arah kebaikan semata-mata tetapi mesti
mengambil iktibar serta turut sensitif terhadap segala perubahan yang
berlaku.
Secara umumnya, menurut Dr Ahmad Ghalussy dalam bukunya, Dakwatul
Islamiah, telah menyatakan dakwah Islamiah bertujuan menyebarkan syiar dan
risalah Islam. Risalah dalam erti kata yang luas dan umum bertujuan
membina masyarakat yang berjaya (al-falah).
Ternyata masyarakat yang berdaya, dinamik dan progresif ini tentunya
mempunyai sifat yang ingin terus maju. Antara ciri masyarakat yang berjaya
ini adalah seperti mewujudkan petani, guru, peniaga atau individu dalam
setiap profesion yang bersifat reda, ikhlas, amanah sebagai hamba Allah
dan sedar mengenai kewujudan Allah dalam dirinya sebagai khalifah Allah di
bumi ini. Jelasnya, tujuan dakwah pada hakikatnya tidak berubah tetapi
yang berubah adalah masyarakat dan faktor sekelilingya.
Ternyata sekali, jika kita lihat pada hari ini, masyarakat Islam telah
banyak berubah sama ada masyarakat Islam di Malaysia ataupun masyarakat
Islam di mana saja. Beberapa orang pengamat sosial menyatakan bahawa
proses modenisasi yang berlaku hari ini telah menimbulkan dua kesan utama
terhadap kemajuan iaitu industrialisasi (industri/perkilangan) dan juga
urbanisasi (perbandaran). Pada umumnya perubahan dua perkara ini telah
mewujudkan perubahan yang begitu ketara terhadap struktur sosial, ekonomi
dan juga nilai yang didokong oleh masyarakat selama ini.
Seorang tokoh sosiologi Barat, Max Weber berpendapat proses modenisasi
akan menyebabkan beberapa perkembangan dan perubahan dalam masyarakat. Ini
bermaksud, modenisasi akan menjauhkan individu daripada keluarganya,
masyarakat, komuniti setempat dan sekali gus akan merenggangkan ahli
masyarakat dan individu dari rumah ibadat. Semua perkara ini akan memberi
kesan terhadap institusi pendidikan, pentadbiran, masyarakat umum dan
negara. Lama-kelamaan kehidupan manusia semakin kompleks dan bertukar
kepada lebih bersikap individualistik, rasionalistik serta hedonistik.
Perubahan itu dari satu segi akan membuat kemajuan dan perkembangan dalam
bidang ekonomi dan juga bidang lain, tetapi dalam aspek lain khususnya
kehidupan beragama dalam abad 21 nanti amat menyulitkan. Jika keadaan ini
berlaku dalam abad 21, seolah-olah nilai, fungsi dan batas agama turut
mengalami krisis yang amat menakutkan. Jika ciri itu telah mula ketara di
kalangan umat Islam di negara ini dan juga di tempat lain, seperti
kejatuhan akhlak dan moral masyarakat perbuatan zina, rogol, bohsia, Aids
atau beberapa gejala negatif yang mula meruntun golongan remaja Islam
khususnya, tenyata sedikit sebanyak memberikan kita bayangan terhadap apa
yang akan berlaku dalam abad ke-21 nanti, jika tidak dibendung mulai
sekarang.
Kegusaran itu akan memungkinkan agama berada di dua persimpangan iaitu
agama (Islam) dianggap tidak lagi relevan dengan konteks modenisasi. Ini
telah meresap pemikiran sebahagian masyarakat moden hari ini. Keduanya,
agama akan kembali memainkan fungsinya kerana masyarakat mendapatkan
kesedaran betapa pentingnya agama (Islam) sebagai pedoman dan petunjuk.
Kedua-dua kemungkinan seperti yang dinyatakan di atas, sangat bergantung
kepada peranan pendakwah (ad-daie). Kehidupan moden masa kini dan masa
depan hanya akan mempertimbangkan nilai agama yang sesuai dengan ciri
kehidupan mereka. Misalnya, agama yang dapat difahami secara rasional dan
dihayati, bukan secara yang sukar difahami dan tidak selari dengan
kehidupan manusia, tetapi agama yang dapat memberi pedoman hidup dan
sesuai dalam kehidupan. Barangkali tidak keterlaluan jika kita katakan
bahawa kegiatan dakwah yang dilakukan oleh daie atau organisasi dakwah
pada umumnya masih pada tahap menyeru umat agar berbuat baik, beribadah
dan ke arah membina sahsiah diri atau perilaku mukmin dan muhsin.
Tetapi berapa ramaikah daie atau organisasi dakwah yang telah turut
serta menangani realiti sosial masa kini, cabaran era teknologi maklumat,
cabaran kebudayaan atau turut sama menyingsing lengan dalam menghadapi
pelbagai masalah seperti kegawatan ekonomi masa kini yang turut menjadi
penghalang umat untuk terus maju? Persoalan ini amat penting dan mendesak
sekali untuk diperhatikan.
Ini adalah kerana dakwah era informasi kini dalam pelbagai model budaya
dan gaya hidup yang tidak sesuai dengan budaya Timur, malah bertentangan
dengan cara hidup umat Islam, sering tertonjol di media massa, sama ada
dalam media cetak atau elektronik terutama televisyen.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024