PENGERTIAN umum dakwah bermaksud panggilan, seruan atau ajakan. Maksud
ajakan di sini ialah menyeru manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha
Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan
berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Perkara itu adalah inti pati dakwah bagi membina manusia yang bertakwa
kepada Allah dalam erti kata yang sebenar dan seluas-luasnya.
Dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya kehidupan umat Islam, dakwah
mempunyai kedudukan yang amat penting. Dengan dakwah, dapat disampaikan
serta dijelaskan mengenai ajaran Islam kepada masyarakat dan umat sehingga
sasaran dapat mengetahui perkara yang benar (haq) atau perkara yang salah
(batil).
Peranan dakwah bukan setakat dapat membezakan tetapi dakwah juga dapat
mempengaruhi masyarakat untuk menyukai perkara yang baik serta dapat
menolak apa saja yang tidak betul yang berlaku dalam masyarakat. Sekiranya
ini dapat diwujudkan dalam masyarakat Islam, sudah tentu hasrat kehidupan
yang baik di dunia dan di akhirat dapat dicapai.
Sesungguhnya dakwah mempunyai kedudukan yang amat penting. Secara
asasnya, hukum dakwah menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan dan
oleh setiap individu Muslim.
Banyak ayat al-Quran dan hadis menyaran atau menyeru setiap individu
Muslim melaksanakan tugas dakwah ini. Firman Allah dalam Surah an-Nahl
ayat 125 bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah
dengan mereka (yang engkau seru itu dengan cara yang lebih baik),
sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang
sesat di jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang
mendapat hidayah petunjuk."
Firman Allah dalam surah Ali-Imran 104 pula bermaksud: "Dan hendaklah
ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta
melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang yang berjaya."
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan
melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu
pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman."
Sabda Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan dari Bukhari dan Tirmizi yang
bermaksud: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
Individu Muslim yang melaksanakan usaha dakwah mengikut kemampuan atau
bidang yang mampu dilakukan oleh dirinya, akan mendapat ganjaran atau
kelebihan tertentu yang akan diberikan oleh Allah swt.
Antara ganjaran yang bakal diterima ialah:
* Memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah dengan ditempatkan dalam
kelompok yang terbaik.
* Memperolehi pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw
yang bermaksud: "Barang siapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, maka akan
diberi pahala sama seperti orang yang melakukan." (Hadis Riwayat Muslim,
Abu Daud, Tirmizi)
Usaha dakwah yang dilakukan dengan tulus ikhlas dan rela, menggambarkan
keimanan dan peribadi seseorang. Ini adalah kerana usaha dakwah yang
dilakukan itu tentunya tidak bertentangan dengan sifat atau peribadi
seseorang.
Ini berdasarkan firman Allah dalam surah As-Saff ayat 2-3 yang
bermaksud: "Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu
yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu yang
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya?"
* Memperolehi keuntungan, kemuliaan dan keberkatan dalam hidup sama ada
di dunia di akhirat. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah
Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah di antara kamu satu puak
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala
yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang
yang berjaya."
* Terhindar daripada laknat atau bala dari Allah. Ini seperti yang telah
dijanjikan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 78-79
yang bermaksud: "Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di
dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibnu
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu
menceroboh. Dan mereka sentiasa tidak berlarangan (sesama sendiri)
daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."
* Memperolehi rahmat dan keampunan daripada Allah. Perkara ini telah
dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 71
yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
sesetengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh
berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan
Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah
maha kuasa lagi maha bijaksana."
Dalam usaha melaksanakan dakwah, ada tahap yang perlu difahami dan
diperhatikan. Ini penting bagi memastikan usaha itu berkesan serta dapat
mencapai matlamat yang diharapkan.
Sheikh Mustaffa Masyhur dalam bukunya yang berjudul Tariq Fi Ad-Dakwah
(Jalan-Jalan Dakwah) menyebut tiga tahap dakwah, iaitu:
* Taarif (penerangan/pengenalan) - tahap ini adalah untuk
memperkenalkan, menyampaikan idea, gagasan atau untuk menggambarkan kepada
khalayak atau sasaran tentang dakwah yang hendak disampaikan.
* Takwin (pembinaan/pembentukan) - tahap pembentukan, pembinaan
pendakwah dan pemantapan mesej yang disampaikan.
* Tanfiz (pelaksanaan) - tahap beramal, berusaha dan melaksanakan dakwah
bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Berdasarkan tiga tahap yang dinyatakan oleh tokoh ilmuwan itu, ternyata
dakwah adalah perjalanan yang panjang dan berliku. Untuk itu, petugas
dakwah atau individu yang bergerak dalam usaha-usaha dakwah atau
organisasi yang melaksanakan kerja dakwah perlu menyiapkan diri atau
organisasi masing-masing pada tahap yang maksimum dan bersedia bukan pada
tahap ala kadar atau sambil lewa kerana dakwah akan menghadapi pelbagai
rintangan dan ujian yang tidak terduga atau kadang-kadang di luar jangkaan
manusia.
Dalam situasi masyarakat masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan
dalam era globalisasi, dakwah perlu digerakkan sebagai membimbing manusia
ke jalan yang betul.
Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk
sama-sama melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta
memberi kesedaran mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat
Muslim yang terbaik.
Kata lainnya, dakwah adalah satu kaedah yang penting bagi membetulkan
masyarakat yang tempang ke arah masyarakat yang lebih Islamik serta
menghayati nilai-nilai Islam dalam seluruh masyarakat dan kehidupan.
Untuk itu, setiap Muslim perlu sedar dan perlu membabitkan diri dalam
dakwah, sesuai dengan potensi atau keupayaan diri masing-masing.
Terbinanya diri, keluarga dan masyarakat yang Islamik merupakan matlamat
utama dalam dakwah.
Matlamat dan harapan ini tidak dapat dicapai sekadar menerusi ceramah
dan khutbah tetapi melalui pelbagai bidang serta potensi yang ada. Oleh
itu, perlu kita sedar bahawa segala potensi dan kemampuan yang kita ada
atau miliki, perlu digunakan untuk kepentingan Islam dan dakwah Islamiah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment