“ Masjid perlu digunakan mengikut fungsi dan ia mestilah mendekatkan umat Islam selain berfungsi sebagai tempat yang mengeratkan hubungan masyarakat”. Demikian antara ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai, Perdana Menteri Malaysia, ketika merasmikan Masjid al-Ghaffar bernilai RM 6.5 juta di Melaka baru-baru ini. Ternyata institusi masjid amat penting sekali, bukan sahaja dari aspek kepentingan ibadah tetapi ia juga merupakan pusat kebudayaan dan kemajuan umat Islam seluruhnya.
Di negara kita Malaysia, jumlah masjid kian bertambah bilangannya disebabkan keperluan yang bertambah akibat dari peningkatan jumlah penduduk, pembukaan tempat-tempat baru sama ada di kawasan perumahan, kawasan perindustrian ataupun pusat-pusat pendidikan. Namun demikian satu aspek yang perlu dilihat dalam institusi masjid ini ialah aspek pengurusannya. Pada umumnya masjid-masjid di negara kita bertambah cantik, besar dan bertambah bilangannya tetapi masih terdengar masalah-masalah yang berkaitan dengan pentadbiran masjid disebabkan oleh kelemahan dari aspek pengurusannya. Kritikan-kritikan tentang kelemahan pengurusan institusi masjid ini bukan hanya disebut oleh orang-orang awam, ahli kariah, para jemaah tetapi ia juga turut diakui oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri iaitu Jabatan Agama Islam negeri atau pun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Ini dapat kita dilihat di akhbar-akhbar tentang adanya laporan, bahan berita ataupun surat-surat pembaca yang disiarkan, menceritakan tentang kelemahan atau masalah yang timbul dalam institusi masjid. Oleh yang demikian, kita sebagai individu Islam yang cintakan institusi masjid ini, perlu melihat secara objektif beberapa masalah yang sering ditimbulkan sebagai salah satu usaha untuk memperbaiki kelemahan dan menyelamatkan institusi masjid.
a. Krisis pengurusan
Salah satu krisis yang amat membimbangkan ialahlah dari sudut pentadbiran dan pengurusan masjid. Pada umumnya banyak masjid mengalami masalah pengurusan yang tidak mantap. Ini dapat dilihat dari sudut ahli jawatankuasa yang telah dilantik atau dipilih. Kelihatan seolah-olah kebanyakan masjid hanya diterajui oleh seorang atau dua yang benar-benar ingin berkhidmat sedangkan ahli jawatankuasa yang telah dipilih atau yang dilantik itu agak ramai itu tidak berfungsi dengan sewajarnya. Keadaan ini berlaku disebabkan beberapa perkara:
Pertama: Terdapat di kalangan pengerusi atau nazir masjid yang tidak memahami serta menguasai ilmu pentadbiran dan pengurusan organisasi.
Kedua: Tidak mempunyai carta tugas atau bidang tugas mengikut biro atau jawatankuasa yang ditetapkan.
Ketiga: Banyak tenaga, buah fikiran, masa terbuang dengan sia-sia disebabkan pengurusan masjid dilakukan secara sambil lewa atau “sekadar melepaskan batuk di tangga”
Bagi memastikan pengurusan masjid ke arah yang lebih cemerlang pihak berkuasa barangkali boleh menyusun buku panduan pengurusan masjid yang isi kandungannya boleh dimasukkan seperti perkara-perkara berikut:
a. Etika dan peranan pengurus dan AJK masjid.
b. Fungsi masjid zaman Rasulullah.
c. Masjid sebagai pusat kecemerlangan umat.
d. Fungsi masjid masa kini dan akan datang.
e. Kepimpinan dan organisasi masjid.
f. Pengurusan masjid. Kemudahan fizikal dan landskap masjid.
g. Pengurusan kegiatan dan pengimarahan masjid.
h. Pengurusan kewangan masjid.
i. Kegiatan remaja masjid.
j. Komunikasi antara institusi masjid dan masyarakat.
b. Krisis pengurusan kewangan
Dalam aspek kewangan pula, institusi masjid pada umumnya menghadapi beberapa masalah:
a. Masjid memang tidak mempunyai kewangan yang kukuh.
b. Masjid mempunyai kewangan yang banyak tetapi lebih suka disimpan dan tidak dimanfaatkan. (AJK masjid bangga dengan jumlah RM yang disimpan dalam bank).
c. Pengurusan kewangan yang tidak cekap atau menyeleweng.
d. Hanya bergantung kepada pihak lain untuk mendapatkan sumber kewangan.
Pada umumnya rata-rata kita mengetahui bahawa untuk mengurus dan mengimarah masjid ke arah yang cemerlang ia memerlukan dana atau jumlah kewangan yang agak banyak. Oleh yang demikian, institusi masjid tidak boleh hanya mengharapkan wang derma mingguan sebagai sumber kewangannya yang utama bagi membiayai pengurusan masjid atau untuk membiayai aktiviti masjid. Kemungkinan juga terdapat individu yang bersedia untuk bersedekah atau memberi infak kepada masjid atau untuk menaja sebarang aktiviti masjid, namun demikian kemungkinan terdapat kelemahan dari aspek pengurusan kewangan masjid telah menyebabkan individu tersebut tawar hati untuk meneruskan niat baiknya itu. Oleh yang demikian pihak pengurusan masjid perlu melihat secara jelas tentang betapa pentingnya aspek pengurusan kewangan masjid ini dilakukan secara bijak, telus dan berwibawa bagi mengelakkan beberapa kejadian buruk penyalahgunaan wang masjid seperti yang telah berlaku di beberapa buah institusi masjid beberapa tahun dahulu.
c. Krisis khatib
Isu khatib juga sering kedengaran. Terdapat beberapa masalah berhubung dengan khatib yang bertugas di masjid-masjid khususnya bagi menyampaikan khutbah Jumaat, khutbah raya idil fitri atau pun hari raya idil Adha. Antara masalah yang timbul berhubung dengan persoalan khatib ini ialah dari segi kuantiti dan kualiti khatib yang berkhidmat di masjid. Jumlah khatib yang benar-benar berwibawa nampaknya tidak sering dengan jumlah penambahan masjid dan jumlah orang-orang agama yang telah melepasi pendidikan Islam secara formal di institusi pengajian tinggi agama sama ada di dalam atau di luar negara. Kadang-kadang sesebuah qariah masjid itu gagal untuk melahirkan khatib anak tempatan dan sering kali ‘mengimport” khatib dari luar daerah dan akibatnya khatib tersebut menyampaikan khutbah yang tidak memenuhi cita rasa jemaah.
Dari segi kualiti khatib pula, terdapat masjid-masjid yang masih mengekalkan “khatib yang agak lama dan uzur” atas dasar orang tua dan lama. Namun apa yang berlaku adalah penyampaian yang tidak jelas, tidak menarik dan khutbah yang sama diulang-ulang sehinggakan jemaah boleh menghafal ayat demi ayat khutbah atau boleh mengagak apa yang hendak disampaikan oleh khatib.
Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah kita perlu melatih para khatib yang berwibawa. Tentunya kita tidak mempunyai masalah kerana ramai di kalangan rakyat Malaysia yang telah mempunyai kelulusan agama sama ada dari institusi pengajian Islam tempatan ataupun luar negara. Pihak pengurusan masjid juga perlu melatih dan mengenal pasti khatib dan bakal khatib dari kalangan anak tempatan. Aspek ini juga mungkin dapat di atasi dengan cara kerjasama dengan masjid-masjid di daerah atau masjid-masjid yang berhampiran.
Jika isu khatib atau bakal-bakal khatib yang berwibawa ini tidak dilihat secara objektif, kita mungkin dilihat amat pesimis sekali, kerana amat sedih sekali kalau masjid-masjid kita akan terus mengekalkan khatib-khatib yang telah berusia dan bernada lama yang secara sengaja atau tidak, akan mengajak para jemaah terus sahaja “lena” dan “bersetuju” dengan apa sahaja yang diucapkan oleh para khatib.
Selain dari itu khatib juga perlu memahami tentang batas-batas tertentu seorang khatib sama ada dari segi bidang kuasa, kepakaran atau perkara-perkara yang ingin disentuh . Beberapa kejadian telah berlaku baru-baru ini, di mana khatib telah menyentuh perkara yang kebenarannya masih diragui dan boleh dipersoalkan. Terdapat juga khatib yang menyentuh soal politik, yang tentu sekali bukan di bawah pengetahuan dan maklumannya. Oleh yang demikian latihan dan pembentukan khatib yang berwibawa perlu dimulakan dari sekarang bagi memastikan khatib-khatib di masjid seluruh negara benar-benar berkhutbah dan bukan membaca khutbah.
d. Krisis remaja masjid
Golongan remaja merupakan satu aset penting masyarakat, sekali gus merupakan salah satu ‘tulang belakang’ dalam memakmurkan institusi masjid. Pada hari ini generasi muda nampaknya telah mula mendekati institusi masjid. Ini dapat dilihat dari beberapa aktiviti yang telah dilakukan oleh masjid-masjid tertentu dan juga beberapa aktiviti yang dianjurkan secara berpusat seperti program Rakan Muda Masjid yang saban tahun diadakan anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia, yang diadakan pada setiap bulan Ramadan. Namun demikian, secara umumnya golongan belia dan remaja yang terlibat dengan aktiviti masjid masih lagi ditahap yang rendah. Ini dapat dibuktikan dalam program-program yang diadakan di masjid-masjid, bilangan golongan belia agak sedikit yang hadir sedangkan jumlah golongan belia dan remaja di sesebuah qariah itu besar sekali jumlahnya.
Krisis remaja masjid ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, dan kita sebagai golongan dewasa perlu berusaha untuk merubah persepsi golongan remaja bahawa institusi masjid hanya untuk golongan tua sahaja dan tidak kepada golongan remaja. Oleh yang demikian golongan remaja perlu diberi tugas dan tanggungjawab untuk sama-sama memakmurkan masjid dan mereka juga perlu dididik dan dilatih untuk menjadi pengurus masjid sebagaimana dilakukan oleh golongan dewasa.
Untuk itu beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh masjid perlu melibatkan golongan remaja dan jangan sekali mereka ditinggalkan. Wakil remaja atau golongan belia perlu turut sama menganggotai ahli jawatankuasa masjid. Selain dari itu program-program untuk golongan belia perlu dilakukan dan ini dilakukan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu seperti golongan belia yang telah bekerja, para pelajar menengah atas, kumpulan pelajar menengah rendah atau kumpulan belia-belia yang telah agak dewasa. Dengan mengenal pasti kumpulan-kumpulan belia dan remaja ini, sekali gus kita dapat mengenal pasti apakah aktiviti yang mereka sukai dan jika diadakan kelas pengajian sekalipun, bentuk dan sukatan pengajian dapat dilakukan dengan lebih jelas dan menjurus kepada keperluan mereka yang sebenar.
Satu lagi apek yang penting ialah aktiviti untuk golongan belia ini tidak sekadar terarah kepada bentuk ceramah dan pengajian semata-mata tetapi ia perlu turut menjurus kepada aktiviti luar yang asasnya tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
e. Krisis penglibatan jemaah
Satu aspek yang sering kali menjadi keluhan pada ahli jawatankuasa masjid dan para pencinta Islam pada umumnya ialah soal penglibatan ahli qariah terhadap masjid. Pada umumnya penglibatan ahli qariah kepada masjid adalah amat rendah sekali. Penglibatan jemaah atau ahli kariah terhadap masjid amat hebat sekali khususnya apabila program yang bersifat perayaan seperti perayaan sambutan maulidur rasul, maal hijrah dan juga hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Hari Raya Korban, idil fitri dan juga bulan Ramadan, tetapi apabila hari-hari biasa khususnya sembahyang jemaah lima waktu, kuliah maghrib, kuliah subuh dan lain-lain kelas pengajian yang diadakan di masjid, jumlah kehadirannya amat sedikit sekali jika hendak dibandingkan dengan jumlah rumah dan ahli kariah masjid yang amat besar sekali bilangannya. Pelbagai kaedah dan cara telah dibuat untuk menarik minat para jemaah hadir seperti menjemput penceramah yang terkenal untuk memberi kuliah, jamuan dan sebagainya telah jumlah kehadiran jemaah masih rendah.
Oleh yang demikian, krisis kehadiran jemaah ini juga perlu diselesaikan. Selain dari memberi pendidikan, kesedaran dan tarbiah serta muhasabah diri, pihak ahli jawatankuasa masjid juga perlu lebih aktif selain dari sesekali meminta komentar, kritikan, atau pandangan ahli jemaah tentang apakah penilaian mereka terhadap masjid dan apakah harapan dan kemahuan mereka untuk sama-sama memakmurkan masjid. Barangkali ini agak jarang dan dilakukan, dan oleh yang demikian kalau ini boleh dilakukan, mengapa kita tidak bermula dari sekarang dan mungkin ia boleh dibuat secara formal atau tidak formal.
f. Krisis program dan penggerak aktiviti masjid
Pada umurnya krisis pengimarahan dan pengurusan masjid disebabkan beberapa masalah seperti yang telah huraikan dalam artikel ini, tetapi salah satu punca utama dalam melaksanakan pengimarahan dan kemajuan masjid ialah tidak ramainya individu atau orang-orang yang ingin secara sukarela bertindak sebagai “penggerak masjid”. Disebabkan tidak ramai orang yang boleh menjadi ‘nadi” atau “penggerak’ masjid, maka jadilah institusi masjid sekadar menjadi pusat ibadat secara ritual semata-mata dan tidak lebih dari itu, sedangkan institusi masjid perlu berperanan sebagai pusat kebudayaan, ekonomi dan kemajuan masyarakat seutuhnya.
Oleh yang demikian, dalam suasana semangat kecintaan Islam yang kian mendalam, dan kita telah menyedari bahawa institusi masjid perlu ditempatkan ke taraf yang sewajarnya, serta pihak kerajaan telah membelanjakan ratus jutaan ringgit untuk membina masjid, dan kini barangkali giliran kita pula untuk memakmurkan masjid ke tahap yang lebih cemerlang dengan menjadikan pengurusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sebagai “benchmark” kita dalam pengurusan masjid. Mudah-mudahan umat Islam di Malaysia akan menjadi golongan apa yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah 9 ayat 18 yang bermaksud,
“ Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapapun melainkan Allah , merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.
_____________TAMAT_____________
* MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL ialah Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment