Friday, December 26, 2008

PENGHAYATAN ISLAM DI KALANGAN ANGGOTA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA : SATU KAJIAN

Bidang ketenteraan merupakan satu aspek yang penting dalam Islam. Bidang ini sebenarnya berkait rapat dengan aspek pertahanan negara dan ketahanan ummah. Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan ditakuti ialah negara yang antara lain mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih pula dari segi persenjataan. Sebab itu antara perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah ialah membentuk jentera pertahanan atau dengan kata lain mengasaskan angkatan tentera yang mampu menjadi benteng kepada negara dan umat Islam.

Proses menyediakan angkatan tentera yang kuat profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan. Sebenarnya pembentukan angkatan tentera adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada setiap umat Islam. Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran,


Maksudnya:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya .

Berdasarkan ayat di atas, musuh Islam tetap ada sama ada musuh itu dalam pengetahuan kita atau di luar pengetahuan kita. Sebab itu Allah mengarahkan agar umat Islam sentiasa bersiap sedia dan berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan agar mereka tidak akan dikejutkan oleh musuh yang mereka tidak menduga akan menyerang .

Kepentingan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah organisasi yang diberi kepercayaan yang tinggi dalam mempertahankan tanah air turut diperakui oleh salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mahatahir Mohammad dalam ucapan perbarisan tamat Latihan rekrut pada 31 Disember 2001 yang menyatakan,

“Negara terhutang budi kepada tentera yang telah menjalankan tugas dengan penuh setia dan sanggup berkorban demi memastikan keselamatan dan kebebasan negara dari segala bentuk ancaman sejak dari Perang Dunia ke-2. Oleh itu sebagai rakyat kita perlulah bersatu bersama anggota tentera mengekalkan keamanan ini agar kita tidak menjadi hamba kepada penjajah sekali lagi”.

Dalam usaha membentuk angkatan tentera yang mantap dan digeruni, kita sewajarnya tahu memilih sesuatu formula yang benar-benar berkeupayaan melahirkan anggota yang cekap dan berwibawa. Aspek-aspek latihan seperti mendisiplinkan anggota, melatih kecekapan menggunakan senjata, membentuk moral anggota supaya taat kepada arahan, kuat bekerja dan tidak melakukan sebarang penyelewengan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan. Namun demikian, kejayaan aspek-aspek tersebut tidak boleh diharapkan tanpa ada satu lagi elemen penting dalam pembentuk diri anggota tentera. Elemen tersebut ialah elemen ‘kerohanian’ yang ada hubungannya dengan keimanan, ketakwaan, dan kepercayaan kepada agama. (Jabatan Arah KAGAT : Profesion Ketenteraan dan Bimbingan Rohani: 1992).

Kepentingan pengukuhan nilai-nilai rohani ini perlu terus digerakkan bagi memastikan warga Angkatan Tentera Malaysia dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. Jeneral Tan Sri Dato’ Ismail bin Jamaluddin Panglima Tentera Darat Malaysia, dalam perintah ulung pelantikannya sebagai Panglima Tentera Darat telah menegaskan “ Dalam konteks latihan dalam pasukan Tentera Darat, dan untuk membina profesionalisme dan pembangunan insan, aspek latihan berunsur kerohanian hendaklah dititik beratkan. Aspek ini penting bagi mengukuhkan landasan latihan supaya lebih berkesan”. (Berita Tentera Darat Bil. 256 Mac : 2008 ).

Bagi memastikan warga tentera keseluruhannya dapat dibentuk dan dididik, proses pembinaan yang berterusan melalui latihan yang sistematik amat diperlukan. Pembinaan ini memerlukan kepada dua elemen penting iaitu golongan yang membentuk ( para anggota Agama ATM atau KAGAT) dan golongan yang dibentuk (anggota ATM keseluruhannya) ( Majalah Istiqamah Ogos 2007).

Menurut Muhammad Ahmad Bashil (1989) dalam, bukunya, Politik dan Ketenteraan – Perjanjian Hudaibiyyah, telah menjelaskan bahawa, usaha-usaha untuk membentuk anggota tentera yang boleh memahami tugas mereka dengan berkesan dan dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang taat memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang berterusan.

Kenyataan-kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya ilmu akidah, syariah dan akhlak kepada diri anggota Angkatan Tentera Malaysia, dalam mengakis pengaruh negatif sekularisme dan membentuk mereka menjadi khalifah Allah yang bertakwa. Oleh yang demikian Kor Agama Angkatan Tentera atau KAGAT telah diberikan tugas, peranan dan tanggungjawab bagi membina aspek agama dan kerohanian di kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024