Thursday, May 14, 2009

AKIBAT MAKSIAT

Secara sedar atau tidak pada hari ini banyak sekali perbuatan-perbuatan maksiat dilakukan secara terbuka ataupun tertutup.Mengapa ini berlaku? Apakah kita tidak tahu kesan atau akibat dari perbuatan maksiat? Berikut dijelaskan beberapa akibat atau kesan dari perbuatan maksiat terhadap diri, keluarga atau umat. Antara akibat atau kesan dari perbuatan maksiat, dian antaranya ialah:

a. Kemurkaan Allah SWT. Dalam sebuah hadis Qudsi Sallah SWT berfirman yang bermaksud, “Aku adalah tuhan, tidak ada tuhan selain aku. Bila dipatuhi aku akan senang dan bila di derhaka, aku akan murka. Apabila murka aku akan melaknat tujuh keturunan”.

b. Kebencian kaum Mukminin. Imam Syafie pernah berkata. “Kamu sekalian perlu menghindari kebencian dari kaum Muslimin”. “Bagaimana keadaan tersebut boleh berlaku”, tanya yang lain. Seseorang yang melakukan maksiat, kemudian Allah akan menimbulkan perasaan benci di hati kaum Muslimin yang lain terhadapnya”.


c. Terhalangnya bagi mendapat ilmu. Imam Malik pernah berkata kepada Imam Syafie, “Allah telah mencerahkanmu dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu janganlah sekali-kali memadamnya dengan kemaksiatan”. Salah seorang murid telah mengadu kesukarannya untuk menghafal al-Quran dan memahami pelajarannya dan dia berkata, “Aku mengadu kesukarannya untuk menghafal dan memahami pelajaran kepada guruku Waqi’ dan diajarkan kepadaku ajar meninggalkan maksiat. “ Kerana sesungguhnya ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak diberikan kepada orang yang sentiasa membuat dosa”.

d. Malapetaka yang dahsyat. Imam Malik pernah berkata bencana kerap terjadi disebabkan kemaksiatan dan hanya taubat yang akan dapat menghindarkannya”.

e. Ada Jarak dengan Allah. Terdapatnya seolah-olah jarak yang memisahkan diri kita dengan Allah dan kita berasa kesukaran dan kebingungan untuk mendekat diri dengan Allah SWT.

f. Terdapatnya jarak antara diri dengan masyarakat atau individu sekeliling. Meskipun kita berada di tengah-tengah keluarga atau masyarakat, namun kita merasa kesepian dan kesunyian. Dalam hal ini terdapat satu ungkapan yang menarik pernah dinyatakan oleh seorang ulama, “Aku dapat melihat akibat maksiat dari tingkah laku isteriku, anak dan kenderaanku. Ada sesuatu yang ganjil terhadap mereka. Kenderaanku sering bermasalah, anak-anak mempamerkan perangai dan tingkah laku yang buruk dan isteriku yang tidak patuh dan taat kepada lagi. Mengapa ini berlaku? Kesemuanya disebabkan oleh maksiat yang dilakukan”.

g. Hati dan wajah menjadi gelap. Ibnu Abbas berkata, “Maksiat menyebabkan kegelapan di wajah, kegelapan di hati, kebencian orang lain, menurunnya daya kesihatan badan dan kesulitan dari aspek ekonomi. Sebaliknya, kebajikan akan mencerahkan wajah, menjernihkan hati, akan dikasihi oleh rang lain, meningkatkan ekonomi dan memurahkan rezeki”.

h. Berat dalam melakukan ibadah. Tidak mudah bagi seserang yang bergelumang dengan maksiat untuk melakukan ibadah. Sebagai contoh, untuk menunaikan solat subuh, walaupun telah berniat untuk melakukannya tetapi sukar untuk melakukannya. Semangat dan kemanisan untuk beribadah telah menurun.

i. Melakukan maksiat-maksiat lain. Terus melakukan maksiat-maksiat lain kerana maksiat itu seperti mata rantai yang saling berkaitan dan panjang.

j. Mendapat kehinaan di hadapan Allah SWT. Seseorang Muslim itu amat mulia di sisi Allah SWT, dan ia akan menjadi hina apabila melakukan maksiat. Hassan al-Basri pernah berkata, “ mereka hina di hadapan Allah hingga mereka engkar. Jika mereka mulia sudah pasti Allah melindungi mereka”.

k. Mempunyai hati yang kerdil. Orang-orang yang melakukan maksiat mempunyai hati yang kecil atau kerdil. Walaupun memakai pakaian yang hebat, kenderaan yang mewah atau disegani oleh ramai orang, tetapi kehinaan maksiat tidak pernah lenyap dari hati mereka. Mereka lalai dan jauh dari Allah dalam kemaksiatan dan ini merupakan satu kehinaan terhadap mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud

“Sesiapa Yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya Dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah Segala kemuliaan. kepada Allah lah naiknya Segala perkataan Yang baik (yang menegaskan iman dan Tauhid, untuk dimasukkan ke Dalam kira-kira balasan), dan amal Yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal Yang makbul - Yang memberi kemuliaan kepada Yang melakukannya). dan sebaliknya: orang-orang Yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa Yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”.

l. Maksiat boleh menyebabkan pelakunya menjadi lemah akal. Seorang ulama perah mengungkapkan, “Barang siapa yang melakukan maksiat, maka sebahagian dari akalnya akan hilang dan bahagian yang hilang itu tidak akan kembali”.

m. Keburukan maksiat dan akibatnya disebut oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

“ Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri. maka berhala-berhala Yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan Yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka”.

n. Pengkhianatan lidah berterusan setiap hari. Bagi individu yang melakukan maksiat, lidahnya juga secara berterusan melakukan maksiat. Apakah yang dimaksudkan dengan pengkhianatan lidah yang berterusan? Sebagi contoh jika kita gagal mengucapkan dua kalimah Syahadah ‘ Asyahadu Alla Illaha iIallah”. Ungkapan ini kita tahu dan pernah mengucapkannya, tetapi tiba-tiba sukar untuk melafazkannya. Ya gagal, seolah-olah terdapat gunung yang besar di lidah atau mulut untuk mengucapkannya. Ternyata kita bergelumang dengan dosa dan maksiat, oleh yang demikian kita perlu bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.


Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang diberikan akibat atau kesan dari perbuatan maksiat adalah amat sukar diterima jika seseorang itu terus bergelumang dengan maksiat dan dosa. Mungkinkan hatinya telah tertutup seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT. Fikir-fikirkanlah!

”(dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa Yang amat besar.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024