Seperti mana yang telah diperjelaskan sebelum ini, kekuatan sesebuah angkatan tentera itu dapat dibina dari pelbagai aspek kekuatan dan kekuatan itu pula dapat dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Dari segi bahasa ”kekuatan” bermaksud: ”Tenaga, daya, kekuasaan, keteguhan dan kekukuhan. Tempur bermaksud berjuang, berperang.” Manakala ”spirituil” pula bermaksud: ”mengenai roh, kejiwaan atau bersifat rohaniah, kerohanian” (Kamus Dewan 2005).
Dari segi istilah kekuatan tempur spirituil (”spiritual combat power”) bermaksud: ”Elemen berkaitan roh dan kejiwaan atau kerohanian yang menjadi pendorong dalam perjuangan dan peperangan bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan”. Dalam ertikata yang lain ia juga boleh didefinisikan sebagai: ”Semangat juang atau ”spiritual strength” iaitu kekuatan tersembunyi yang wujud dalam diri anggota tentera yang mampu bertindak sebagai penggerak yang menjadikan mereka tabah dan berani mengharungi apa jua bentuk kesusahan, kepayahan dan bahaya meskipun tekanan perang bertambah iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Brigedier Jeneral Hazim Abdul Qahar al-Rawi:
“A secret power that exists within military personnel which acts as a ‘driving force’ to keep them steadfast and courageous in any kind of hardship, difficulty, or danger, despite the increased degree of pressure during battle.”
Anggota tentera yang berkualiti memerlukan satu pengisian yang jelas dan bersepadu dari aspek fizikal, mental dan spirituil. Kekuatan fizikal akan menjamin daya mobiliti dan kepantasan bertindak khasnya sewaktu semasa operasi dan peperangan. Kekuatan mental pula menjadi faktor penentu ketahanan seseorang anggota menghadapi ujian semasa mengharungi situasi gawat dan getir (“combat stress”) dan sebagainya. Kekuatan spirituil menjamin wujudnya daya tempur (“spiritual combat power”) operasi dan latihan dan ia sekali gus menjadi benteng yang kukuh.
KEPENTINGAN KEKUATAN TEMPUR SPIRITUAL
Kekuatan tempur spirituil dilihat amat penting dalam menjayakan misi peperangan mahupun perjuangan organisasi. Prof Dr Gay Hendrick dan Kate Ludemen dalam bukunya The Corporate Mystic (2002) menyatakan: “Lately, the concern of the big corporation toward ethical and even spiritual aspect of their employee has grown rapidly, in the global market in the future, you wil find saint mystics or sufis in the big corporation or modern organization, not in the viharas, monosteries, sinogogues, temples, church or mosques.”
Kekuatan tempur spirituil dikenal pasti sebagai faktor penting apabila dikaitkan dengan kekuatan pertahanan berdasarkan aspek-aspek berikut:
a. Kekuatan Tempur Spirituil Sebagai Asas dan Aset Utama Pembentukan Kekuatan Angkatan Pertahanan. Ilmu ketenteraan telah menegaskan bahawa kekuatan sesuatu angkatan pertahanan dibina berasaskan lima faktor utama iaitu:
(1) Keupayaan seseorang anggota pejuang.
(2) Peralatan (logistik) yang cukup.
(3) Disiplin.
(4) Kekuatan rohani (spirituil).
(5) Semangat berpasukan (esprit de corps).
Jika diamati keseluruhan faktor-faktor tersebut, faktor rohani mendominasi faktor-faktor material. Logiknya adalah seperti berikut:
(1) Disiplin, kekuatan rohani dan semangat berpasukan merupakan faktor rohani.
(2) Walaupun seorang perajurit terdiri dari unsur rohani dan jasmani tetapi unsur rohani adalah asas dan penggerak terhadap segala tindakan.
(3) Persenjataan merupakan peralatan material, tetapi ia tidak berguna tanpa manusia.
(4) Slogan (moto) ada menyatakan ”Persenjataan bukan ukuran, kerana mereka yang berada di sisinya yang menentukan.” (Jabatan Arah KAGAT 1992).
b. Kekuatan Tempur Spirituil Sebagai Kekuatan Tempur Hakiki.
(1) Kekuatan spirituil adalah unsur kejiwaan yang menjadi kekuatan tempur hakiki menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang dalam menghadapi perjuangan. Ini disebabkan kerana dalam suasana perjuangan hanya faktor kekuatan spirituil/rohani yang akan melahirkan keberanian dan kesanggupan sebenar untuk mara ke barisan hadapan. Anggota yang memiliki kekuatan tempur kerohanian akan terus mengekal bara semangat perjuangannya.
(2) Kekuatan spirituil/rohani amat diperlukan untuk mengekalkan semangat juang anggota tentera. Perjuangan yang didasari kekuatan tempur rohani adalah merupakan pemulih yang menyelamatkan seseorang yang sakit dan menjamin seseorang itu dengan kesihatan dan kesejahteraan
c. Kekuatan Tempur Spirituil Pemangkin Kemenangan.
(1) Abdullah al-Namiri dalam bukunya Al-Harb `Abra al-Tarikh mencatat perakuan Field Marshal Montgomery yang memperakui kekuatan spiritual adalah elemen terpenting yang menentukan kecemerlangan seseorang anggota di medan tempur. Beliau menjelaskan:
“Spiritual strength is that fighting spirit which is considered to be the first of the vital factors for success in battle, because in it reflected all the attributes which should be found in military personnel, including character, discipline, courage, truthfulness, ability and capacity to face difficult conditions, and which prevents the loss of faith or motive for struggle.” (Abdullah An-Namiri, “Al-Harb `Abra al-Tarikh)
”Kekuatan kerohanian (spiritual) iaitu semangat bertempur adalah dianggap sebagai faktor utama menentukan kejayaan dalam sesuatu peperangan kerana ia memancarkan keseluruhan sifat yang wujud dalam diri anggota tentera termasuk sifat peribadi, disiplin, keberanian, kejujuran, kebolehan dan keupayaan untuk menghadapi keadaan yang sukar, dan (merupakan faktor) yang akan menghalang kehilangan kepercayaan dan penggerak untuk berjuang.”
Kekuatan tempur spirituil dilahirkan daripada keimanan dan kepercayaan kepada agama dan kepercayaan masing-masing. Kekuatan ini akan melahirkan barisan tentera yang kuat, berdisiplin, mempunyai semangat juang dan kerjasama yang utuh untuk memenangi sesuatu perjuangan mahupun peperangan.
Tidak dapat dinafikan bahawa elemen kekuatan kerohanian ini lazimnya terhasil daripada asuhan, pendidikan serta ajaran agama atau sesuatu ideologi perjuangan yang dianuti oleh seseorang anggota tentera. Bagi kalangan anggota yang beragama Islam khasnya, elemen agama memainkan peranan penting di dalam mencetuskan kekuatan tempur spirituil anggota. Hal ini telah dibuktikan menerusi sejarah kepahlawanan dan kecemerlangan anggota tentera Islam lampau yang telah mencapai kemenangan yang menakjubkan dalam peperangan yang telah ditempuhi.
Keseimbangan antara kekuatan fizikal dan spirituil akan amat diperlukan bagi menjamin keupayaan maksimum sesebuah angkatan tentera. Hal ini sangat dititik beratkan oleh Nabi Muhammad SAW yang bukan sahaja seorang rasul bahkan juga seorang panglima tentera yang terbilang dalam sejarah ketenteraan. Baginda telah memimpin tentera Islam menerusi dua puluh lapan peperangan di mana dua puluh enam daripadanya mendapat kemenangan, sementara dua peperangan mengalami kekalahan iaitu Peperangan Uhud dan Hunain disebabkan masalah disiplin anggota dan kelekaan dengan bilangan anggota yang ramai.
Keseimbangan membina angkatan tentera di zaman Nabi Muhammad telah dinyatakan oleh Al-Fazlur Rahman di dalam bukunya “Muhammad as a Military Leader”:
“Muhammad was very realistic, so he did not ignore preparations for war or slacken in his efforts. He achieved wonderful balance between the spiritual and the material power .”
(“Muhammad sangat bersikap realistik, oleh kerana itu baginda tidak mengabaikan aspek persiapan peperangan atau kepincangan dalam usaha-usaha baginda. Baginda telah mencapai keseimbangan yang menakjubkan antara kekuatan spiritual dan kekuatan material.”)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment