Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara . Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah Taala yang bermaksudnya:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Berdasarkan ayat tersebut, dan untuk menghadapi semua keadaan ini kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita tidak boleh dipandang remeh dan rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kekuatan Islam 14 abad yang lampau telah mendekatkan kita kepada Islam, yang penting tentera kita perlu mendekatkan diri kepada Allah, melaksanakan kewajipan agama, menunaikan solat ada waktunya serta makan dan minum sesuatu yang dihalalkan oleh Allah agar segala amalan mereka diterima Allah dan disanjung oleh manusia. Demikian apa yang telah tersirat dari sepotong ayat al-Quran,
Maksudnya:
“Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan”.
Secara umumnya profesion ketenteraan adalah sesuatu yang di pandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang-orang yang melibatkan secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang-orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara dikalungkan sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagi syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid ”- Riwayat Abu Daud.
Sehubungan dengan itu orang-orang yang berjuang pada jalan Allah Taala dengan penuh keikhlasan dan hanya mengharapkan keredaan Allah tetap akan mendapat ganjaran besar seperti mana yang Allah telah janjikan melalui firmannya,
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”.
Islam agama perdamaian
Islam telah dianggap oleh pihak Barat sebagai agama yang disebarkan melalui mata pedang. Anggapan yang keliru dan mengelirukan serta mengandungi unsur-unsur prejudis ini telah lama di canang oleh musuh-musuh Islam dan ianya diterima oleh kebanyakan orang. Walau bagaimanapun hakikat Islam sebagai ad-din yang membawa gagasan rahmat dan keselamatan sejagat masih tetap asli. Dari itu ajaran Islam dan sirah Rasulullah SAW merupakan pembawa dan penyampai risalah Islam.
Ketenteraan atau tentera adalah satu kumpulan profesional yang perlu dimiliki oleh sesebuah negara. Tentera terdiri daripada satu kumpulan yang berorganisasi dan terurus yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa jua situasi kritikal khususnya perangan. Menurut Amus Permutter (2002) tentera merupakan satu ikatan persaudaraan dan perikatan sekali gus alat kekuasaan dan birokrasi. Bagi S.E Finer (1962) pula, kelompok tentera ini diwujudkan bagi menghadapi peperangan dan untuk mempertahankan serta memastikan kemenangan untuk mempertahankan kepentingan sebuah negara.
Dari pengertian di atas dapat diambil kesimpulan bahawa peranan atau fungsi ketenteraan adalah untuk melakukan tugas dalam aspek pertahanan sesebuah negara dan ini disebut sebagai “peranan tentera”.
Dalam perjalanan sejarah Islam, masyarakat Islam klasik mula mengenal hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan apabila terbentuknya negara Islam yang pertama iaitu Madinah. Kajian ketenteraan dari sudut fiqh siyasah agak jarang dilakukan. Para pengkaji banyak melihat ketenteraan sebagai satu cabang kajian iaitu dari sudut jihad. Para pengkaji ketenteraan biasanya membuat analisis taksonomi dan konseptual dalam mengkaji bidang ketenteraan. Aspek ini diperlukan untuk melihat kajian ketenteraan dari sudut jenis tentera, bentuk-bentuk hubungan tentera dan awam, dan aspek sejarah ketenteraan. Untuk itu, Samuel Huntington (1980) telah mengemukakan tiga bentuk ketenteraan. Pertama, tentera profesional, iaitu bentuk organisasi tentera yang menonjol di negara yang keadaan politiknya stabil. Kedua, ketenteraan pretorian, iaitu bentuk tentera yang berkembang di negara-negara yang keadaan politiknya tidak stabil dan ketiga, tentera revolusi iaitu bentuk yang terdapat di negara yang keadaan politiknya yang stabil, tetapi ia bermula dari suasana politik yang tidak stabil.
Jacques Van Den dalam bukunya Ideology and The Military telah membahagikan ketenteraan itu kepada tiga landasan ideologi iaitu ideologi politik, ideologi korporat dan ideologi operasi (Muhammad Najib Azca 1998: 47). Berbeza dengan Luckam dalam Civil Military Vol 12 (2000), yang melihat kuat atau tidaknya organisasi tentera di sesebuah negara itu bergantung pada tiga aspek iaitu:
a. Aspek organisasi dan struktur ketenteraan secara profesional.
b. Kemampuan menekan atau mengawal kuasa pemerintahan sesebuah negara khususnya kerajaan yang memerintah.
c. Mempunyai peranan politik dalam sesebuah negara. Ini bermaksud organisasi tentera sebagai “guardian of the state’. Oleh yang demikian tentera mempunyai peranan yang dominan dalam pemerintahan sesebuah negara.
Berdasarkan kepada pendapat di atas, ternyata ketenteraan Islam pada zaman awal Islam tidak hanya dilihat sebagai satu alat untuk menghadapi peperangan semata-mata tetapi ia juga sebagai alat atau mekanisme untuk perluasan politik Islam pada zaman tersebut.
Jeneral Carl Von Clauswentiz (1967: 36), pernah menyebut bahawa perang hanyalah lanjutan dari tindakan politik dengan cara yang lain. Bagi ahli fikah pula menjelaskan “ diwujudkan perang itu kerana ada sebab. Perang bukankah tujuan akhir, kerana menjadi tujuan akhir adalah memberikan hidayat kepada orang kafir. Maka membunuh orang kafir itu bukanlah tujuan, kerana apabila mereka telah mendapat hidayah, perang bukan cara yang terbaik” (Wahbah Zuhaili 1962: 62).
Selain dari itu terdapat beberapa kajian yang telah dibuat bagi melihat ketenteraan dari aspek keagamaan. Antaranya:
(a.) Muhammad Jamaluddin (t.th), dalam, Al-askariyyah al-Islamiah telah menekankan nilai-nilai ideal yang perlu dimiliki oleh sesebuah organisasi ketenteraan menurut pandangan Islam.
(b) Wahbah Zuhaili (1962) Athasru al-Harb fil-Islam. Buku ini membahaskan tentang aspek peperangan dari perspektif Islam. Tidak banyak buku-buku fikah yang melihat peperangan dalam sejarah Islam sebahaginya dari sistem kenegaraan dalam Islam. Kebanyakan ahli fikah melihat peperangan sebagai sebahagian dari misi jihad fi sabilillah. Bagi Wahbah misi jihad sesungguhnya menegakkan nilai-nilai universal dalam Islam, sehingga jihad mengangkat senjata melawan orang kafir bukan satu-satunya bentuk jihad fi sabillah. Terdapat jihad dalam bentuk lain seperti melawan hawa nafsu. Namun Wahbah tetap mengakui terdapat konsep jihad dan peperangan dalam khazanah ilmu fikah kontemporari.
Wahbah telah membezakan antara jihad dengan peperangan. Jihad yang dimaksudkan dalam ilmu fikah ialah peperangan atau pertarungan antara umat Islam dengan bukan umat Islam dalam rangka menegakkan nilai-nilai dan agama Islam. Sejarah jihad dalam Islam dimulai sejak munculnya berbagai peperangan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Manakala peperangan (harb) pula merupakan peperangan antara satu negara dengan satu negara yang lain. Konteks peperangan ini juga biasa dilihat dalam sejarah Islam ketika negara-negara atau kerajaan Islam mempertahankan negara masing-masing.
(c) Reuben Levy (1969) The Social Structure of Islam. Buku ini menjelaskan aspek-aspek sosial dalam Islam yang merangkumi strata sosial dalam Islam termasuk kedudukan wanita, kanak-kanak, aspek perundangan Islam, pendidikan moral, politik, agama dan pemerintahan Islam Selain dari itu terdapat juga bab yang menyentuh tentang ketenteraan Islam secara ringkas.
(d) Howards M. Federsphil (1973), Military and Islam in Indonesia, dalam Jurnal Fasific Affairs Vol 46. Kajian ini melihat korelasi antara Keislaman seseorang anggota tentera dalam kehidupan seharian. Islam yang difahami sebagai way of life dan pandangan hidup mengatur seluruh kehidupan manusia. Aspek ibadah ritual merupakan ciri-ciri keimanan seseorang yang dilihat secara zahirnya. Sedangkan ketakwaan sebagai inti penghayatan Islam.
Di kalangan tentera Islam Indonesia, aspek ritual keagamaan menjadi sangat penting dalam melihat perkembangan Islam di dalam Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Apa yang dilakukan oleh Jeneral Abdul Haris Nasution, pada waktu itu ialah dengan mewujudkan kelompok tentera yang dapat menguruskan aspek pembinaan mental anggota tentera, dalam usaha untuk mengekalkan anggota tentera Muslim mengamalkan ajaran Islam sesuai dengan tempat dan keadaan.
(e). Muhammad Yassin Mahdzar Siddigue (1988), Organization of Goverment under the Holy Prophet. Kajian yang telah dilakukan oleh Mahdzar ialah beliau melihat berkaitan dengan aspek-aspek politik Islam klasik yang amat komprehensif. Buku tersebut telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian ketenteraan, bahagian perkhidmatan awam bahagian pengurusan agama. Buku ini juga telah menjelaskan organisasi ketenteraan di zaman Rasullah berdasarkan buku-buku sejarah utama dalam Islam iaitu seperti Sirah an-Nabawi oleh Ibn Ishak, Tarikh Islami oleh at-Tabari serta buku tulisan Montogomery Watt menerusi bukunya, “Prophet and the statesmen”.
(f) Afzalur Rahman (1990), Muhammad as military leader. Buku ini menjelaskan nilai-nilai universal ketenteraan Islam yang selama ini disalah fahami oleh ramai orang. Khususnya golongan bukan Islam. Buku ini juga menjelaskan bahawa Islam disebarkan melalui konsep ketenteraan Islam yang amat murni dan bukan melalui pedang (Islam is a sword). Secara umumnya Rahman menjelaskan tentang prinsip-prinsip peperangan dalam Islam dengan banyak mengemukakan dalil-dalil naqliah sama ada dari al-Quran ataupun dari al-Hadis. Berkembangnya organisasi ketenteraan dalam Islam tidak terlepas dari aspek semangat dan nilai-nilai agama yang menjadi landasan perjuangan tentera Islam. Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan keizinan untuk berperang turut dikaitkan dalam konteks peperangan yang berlaku dalam zaman Nabi Muhammad SAW.
Merujuk kepada Madinah sebagai sebuah negara Islam yang pertama, peperangan bukanlah satu-satunya strategi dalam melakukan perluasan wilayah negara Islam. Ini terbukti dengan ramainya orang Yahudi yang menjadi warga negara di Madinah. Walaupun mereka terpaksa membayar jizyah (cukai) kepada pihak pemerintah Islam. Peperangan dilakukan jika sekiranya tiada jalan lain untuk perdamaian.
(g) Daniel Pipes (1993), Slave soldier and Islam, yang telah mengkaji perkembangan ketenteraan pada zaman Abbasiyyah, di mana Pipes telah melihat kumpulan tentera pada zaman kerajaan Mamluk (129-205 H). Pipes, menjelaskan tentang maksud “Slaves soldier”, itu adalah kumpulan anggota tentera pada zaman kerajaan Mamluk yang telah dapat dididik dan dilatih sehingga menjadi tentera Muslim yang berwibawa, terlatih serta telah menghayati Islam sepenuhnya hingga mampu menjaga kerajaan Abbasiyyah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment