Thursday, May 14, 2009

KISAH TOKOH TERKEMUKA ISLAM

Banyak kisah dan teladan yang boleh kita ambil dari kisah para sahabat yang telah berjuang demi Islam. Antaranya kisah tersebut adalah:

a. Jabir bin Abdullah. Dalam peristiwa persiapan tentera Islam untuk menghadapi tentera kafir Quraisy, iaitu dalam peperangan Khandak, Nabi dan para sahabat bekerja keras menggali parit dan kubu selama 15 hari. Bagi menahan lapar akibat kekurangan makanan, nabi dan para sahabat mengikut perut dengan tali. Pada satu hari sahabat Nabi bernama Jabir bin Abdullah berjumpa Nabi dan berkata. “ Wahai Rasulullah, di rumahku ada sedikit daging dan roti, aku ingin menjemputmu datang ke rumah untuk makan bersamaku”.

Rasulullah memandang wajah Jabir dan bertanya, “ hanya aku seorang?”, Rasulullah boleh mengajak seorang atau dua orang untuk pergi bersama”.Rasulullah kemudian naik ke atas bukit dan berkata, “ Wahai kaum Muhajirin, kaum Ansar, hari ini kita akan makan di rumah Jabir bin Abdullah”. Selepas itu Jabir bin Abdullah bergegas balik ke rumah dan menyatakan kepada isterinya, “ tolong aku, Rasulullah akan datang bersama semua tentera Muslimin untuk makan di rumah kita”, dengan nada kebingungan. “Apakah engkau memaklumkan kepada Rasulullah?” Tanya isterinya. “Ya”. Jawab Jabir. “ Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Jawab isteri Jabir. Apabila sampai pada waktu yang dijanjikan, Rasulullah datang ke rumah Jabir dan terus berjumpa Jabir, “ Wahai Jabir tugasmu menjaga pintu pada hari ini”, perintah Rasulullah. Seterusnya Rasulullah mencedok makan dan Jabir mempersilakan sepuluh orang demi sepuluh orang tentera untuk menikmati jamuan secara bergilir sehingga semua dapat makan dan kenyang. Jabir kemudian masuk dan berkata kepada Rasulullah, “ aku fikir makanan ini tidak cukup untuk semua orang makan dan ada orang yang tidak dapat menikmati makanan, tetapi ternyata mereka dapat makan semuanya”. Rasulullah menjawab, “ Allah memberkatimu dan keluarga serta makanan yang kamu hidangkan”. Jabir kemudian melihat periuk makanan yang dimasak dan makanan tersebut tidak berkurang sedikit pun.


b. Umar al-Khattab Terdapat beberapa kisah berhubung dengan Umar al-Khattab khalifah Islam kedua. Sebagai seorang khalifah kedudukannya mulia dan tinggi di kalangan masyarakat dan umat pada waktu itu. Pada satu hari Umar melihat beberapa orang budak kecil dan terus mendukung budak kecil itu tanpa segan silu atau masalah.

Pada kisah yang lain pula, ketika menjelang saat-saat akhir hayatnya, Umar yang sakit terbaring di atas katil, masih sempat bertanya ,“ sudahkah orang-orang itu menunaikan solat?’.

Berdasarkan kisah di atas ternyata terdapat gambaran tentang kesatuan umat, kasih sayang, kekhuatiran terhadap umat serta tiadanya sikap egoisme dalam diri.


c. Anak-anak Jaafar bin Abu Thalib. Setelah Jaafar bin Abu Thalib meninggal dunia secara syahid di medan perang, Rasulullah bertanya keada para sahabat,”sesiapakah yang bersedia untuk menjaga anak-anak yatim itu?”.
Seorang sahabat berkata, “ Saya ya Rasulullah”.
Seorang sahabat lain turut berkata, “ Saya ya, Rasulullah”.
Seterusnya seorang lain sahabat juga menyatakan kesediaannya dan berkata, “Saya ya, Rasulullah”. Berdasarkan sirah, ketiga-tiga sahabat itu adalah antara yang termiskin di kalangan para sahabat yang lain. Tidaklah menghairankan terjadi kepada ketiga-tiga sahanat untuk menjadi bapa kepada anak yatim itu kerana Jaafar Abu Tha,ib ketika hidupnya sangat bersikap kasih sesama Muslim dan mendapat gelaran ‘bapa kaum miskin’ daripada Rasulullah.

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah telah mempersaudarakan orang Ansar (penduduk Madinah) dengan orang-orang Muhajirin (Orang yang berhijrah bersama Rasulullah). Setelah berlaku penghijrahan tersebit, orang-orang Ansar menyatakan kepada orang-orang Muhajirin, “Marilah kita berkongsi rumah, pakaian dan makanan”.

Dalam kisah yang lain di catatkan bahawa Salahudin al-Ayubi tidak pernah ketawa semasa hayatnya. Ketika ditanya tentang keengganannya untuk ketawa, ia menjawab, “ Bagaimana aku hendak ketawa, sedangkan Aqsa masih tertawan. Aku malu untuk senyum di hadapan Allah, ketika saudara-saudara ku di sana sedang menghadapi penderitaan”.

Jelas sekali tujuan hidup kita adalah untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik untuk umat dan menghindarkan sikap dan sifat egoisme atau kepentingan diri semata-mata. Hidup yang individualistik adalah kehidupan yang sempit. Orang yang hidup sedia berkorban demi umat, usianya akan bertambah dengan bertambahnya usia umat.

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .