Saturday, March 26, 2011

BARAKAH DENGAN BASMALAH

OLEH: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Seperti mana biasa, kuliah subuh di Surau al-Falah Kuaters ILMI dipenuhi dengan Kuliah tafsir oleh Kapt Razali che Jaafar dan tafsiran masih lagi dalam surah al-Baqarah. Menyentuh kuliah tafsir yang disebutkan itu, saya teringat dengan tafsiran yang telah dibuat oleh M Quraish Sihab dalam bukunya Lentera al-Quran (2008), yang mengupas tentang ayat Bismilahirrahmanirrahim. Menurut beliau saranan untuk membaca ‘basmalah’ itu bukan sekadar untuk mendapatkan ‘barakah’ tetapi juga perlu bagi kita untuk menghayati maknanya sehingga dapat melahirkan sikap dan pemikiran yang positif.

Perkataan ‘bi’ yang diterjemahkan oleh para ulama sebagai ‘dengan’ dapat dikaitkan dengan ‘memulakan’. Ini bermaksud para pengucap basmallah pada haikikatnya berkata’ Dengan nama Allah saya memulakan pekerjaan ini’ . Apabila kita memulakan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan nama Allah , maka pekerjaan atau amalan itu tidak akan mengakibatkan kerugian pada pihak lain. Ini adalah kerana pada ketika itu kita telah membentengi diri kita dari godaan nafsu serta melakuan dengan niat kepentingan umum dan tidak diri kita semata-mata.

Menurut Quraish Sihab lagi, perkata ‘bi’ juga dikaitkan dengan ‘ kekuasaan dan pertolongan’ sehingga orang yang menyebut basmallah menyedari bahawa pekerjaan atau perbuatan yang dilakukan terlaksana atas bantuan dan pertolongan (kudrat) Allah. Pengucapan juga secara tidak langsung memohon bantuan Allah semoga pekerjaan, amalan atau perbuatan yang dilakukan itu dapat diselesaikan dengan sempurna baik dan berjaya. Dengan perasaan ini, kita sebagai hamba Allah akan merasai kelemahan kita di sisi Allah dan di waktu yang sama, tertanam dalam jiwa, perasaan dan sikap kekuatan, percaya kepada diri sendiri, optimistik kerana berasa ada kekuatan yang dibantu oleh Allah swt. Ini seperti mana yang kita sama maklumi terdapat dua sifat kesempurnaan yang telah disebutkan oleh Allah iatu Ar-rahman dan Ar-rahim. Ar-rahman adalah curahan rahmat Allah Kepada manusia seluruhnya di dunia ini ( sama ada Islam atau kafir) sedangkan Ar-rahim adalah curahan rahmat Allah kepada mereka yang beriman pada hari akhirat kelak.

Oleh yang demikian, saranan M Quraish Sihab dalam konteks membaca dan menulis, disarankan untuk mengucap atau melafazkan basmalah ketika hendak menulis, semoga apa yang ditulis itu akan menjadi indah dan benar. Kasih sayang akan tercurah di atas kertas atau skrin dan semoga tulisan terhindar dari perkataan sia-sia serta mendapat keberkatan Allah swt. Selamat membaca dan menulis.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024