Sunday, March 13, 2011

MENJAGA RAHSIA NEGARA

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Minggu lalu Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Angkatan Tentera telah menulis di akhbar tentang kepentingan setiap warga negara menjaga rahsia negara.

Ini adalah disebabkan perkembngan mutakhir yang menunjukkan akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini agak membimbangkan. Sering kali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara.

Satu lagi yang membimbangkan ialah elemen keselamatan perlindungan rahsia negara. Ramai kalangan penjawat awam hari ini tidak mengambil berat hal ini sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara.

Perlu difahami rahsia negara sebahagian aset negara dan mesti dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman. Apa juga bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara adalah jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara.

Sebagai seorang warga negara atau sebagi penjawat awam, marilah bersama menghayati prinsip integriti, akauntabiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat mahmudah seperti rajin, tekun, berdisiplin dan mengutamakan kesempurnaan dalam setiap tugasan.

Allah akan mengadili semua tugas diamanahkan walau sekecil manapun tugas itu. Ingatlah jika kita sekali mengkhianati amanah yang diberikan, nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain.

Jika kita terbabit dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki diperoleh adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian dipakai juga haram kerana datang daripada sumber haram.

Oleh itu, marilah bersama mengamalkan sikap jujur dan bertanggungjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah diberikan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisaa, ayat 58)

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024