Berikut adalah tulisan saya yang telah disiarkan dalam sisipan MEGA akhbar Utusan Malaysia pada hari ini 3 Mac 2011 yang bertajuk "Penghayatan Islam dalam tentera". Selamat membaca dan memberikan pandangan selanjutnya tentang tulisan tersebut. - Dr Burhanuddin Abdul Jalal
PENGHAYATAN ISLAM DALAM TENTERA
Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL
TARIKH 1 Mac setiap tahun sentiasa dalam ingatan seluruh warga Tentera Darat Malaysia. Tarikh tersebut merupakan tarikh ulang tahun Tentera Darat. Tahun ini, Tentera Darat Malaysia meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-78 dengan tema 1Angkatan Tetap Gagah Tetap Setia.
Menyentuh tentang aspek kesetiaan dalam budaya tentera darat, ternyata ia sentiasa dititikberatkan sejak seseorang anggota itu memasuki perkhidmatan.
Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh seluruh warga tentera darat dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keseluruhnya berhubung kesetiaan ialah membaca ikrar Kesatria.
Ikrar tersebut mempunyai nilai penghayatan Islam yang kuat dan mematuhi pemerintah adalah sesuatu yang wajib.
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (an-Nisa': 59)
Para ulama tafsir seperti Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ulil amri.
Jika digabungkan makna-makna tersebut, maka ulil amri menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sesungguhnya ia telah menderhakai Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud hadis ini jelas bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah amir dan amir itu adalah penguasa yang mesti dipatuhi.
Namun demikian, selari dengan Islam, ketaatan itu mesti tidak lari daripada kehendak agama.
Apabila bertentangan dengan kehendak Islam ia dilarang untuk ditaati.
Ia seperti sabda nabi yang bermaksud: "Tidak wajib mentaati pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat."
Tekad mempertahankan sesuatu merupakan gambaran dari istiqamah yang dimiliki oleh seseorang. Kata tekad itu mempunyai kaitan dengan kata iktikad.
Istiqamah bermaksud berjuang secara gigih dalam mempertahan prinsip yang benar. Jika kebenaran itu dikaitkan dengan agama, maka agama perlu dipertahankan dengan segala daya upaya.
Sikap istiqamah ini disebut oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi), dan bahawa sesungguhnya! kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (Jin: 16)
Berdasarkan ikrar Kesateria ini sudah terdapat nilai-nilai agama yang telah dihayati dan dilaksanakan secara jelas tanpa menyedari ia adalah sebahagian dari nilai penghayatan Islam yang telah lama wujud dalam ATM.
Antaranya ikrar: Beriman kepada tuhan dan bertakwa kepadanya.
Berdasarkan ikrar yang pertama ternyata anggota ATM mempunyai keyakinan terhadap Allah yang maha Esa. Dalam terminologi Islam disebut sebagai mempunyai akidah atau tauhid.
Jelas sekali tauhid atau keimanan yang kuat dalam perjuangan merupakan sesuatu yang penting.
Sejarah Islam membuktikan kemenangan yang besar dan gemilang diperoleh berkat keimanan yang mantap.
Kita menyedari bahawa, bagaimana Nabi SAW mempersiapkan pasukannya dengan keyakinan bahawa Allah adalah pencipta mereka, pemilik, penguasa dan mempunyai kekuasaan ke atas segala sesuatu.
Tidak ada sesuatu pun di luar penguasaan Allah. Allah akan memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Yang paling pasti ialah Allah akan menolong orang yang beriman.
Nabi Muhammad SAW telah menanamkan keyakinan ini kepada para pengikutnya, bahawa mereka perlu sentiasa bergantung pada Allah dan perlu sentiasa mengingatinya dalam semua keadaan.
Allah berfirman yang bermaksud: Wahai sekelian orang yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)
Ayat tersebut memperkuat keyakinan dan iman dalam tiga cara iaitu, memerintahkan orang beriman mencari pertolongan daripada kesabaran dan solat, kerana amalan tersebut akan membangkitkan tenaga dan kekuatan untuk melaksanakan tugas secara efektif.
Amalan tersebut juga akan melengkapkan diri dengan keberanian dan ketahanan untuk memikul segala tanggungjawab, cabaran, penderitaan, tekanan, kekerasan dan juga gangguan.
Kekuatan daya tahan dan kesabaran itu amat dipentingkan dan jika ia diperoleh melalui ibadah kepada Allah seseorang itu akan berasa aman dan tenteram.
Kedua, ia menjamin bahawa orang yang beriman dalam keadaan kesusahan, tidak akan dibiarkan sendirian tanpa pertolongan dari Allah.
Ini kerana pertolongan Allah akan segera datang jika perjuangan dilakukan dengan sabar dan bertahan di jalan-Nya.
Ketiga, orang yang beriman tidak pernah menyerah atau menerima kekalahan dari musuh mereka kerana mereka berjuang untuk menegakkan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan di muka bumi ini.
Jika mereka memperlihatkan suatu kelemahan atau menyerah kepada musuh maka kebenaran akan dikalahkan oleh kebatilan.
Oleh yang demikian, orang yang beriman berjuang dengan penuh kekuatan sehingga mencapai kemenangan atau hingga ke titisan darah terakhir.
Perjuangan orang beriman akan memperlihatkan kualiti ini. Dalam menghadapi musuh, mereka mempunyai keyakinan untuk mencapai kemenangan.
Mereka juga akan memperoleh cinta Allah kerana Allah mencintai mereka yang tabah, kuat dan pantang menyerah dalam perjuangan.
Kualiti dan kemantapan orang yang berjuang dan beriman ini dalam menghadapi musuh disebut dalam al-Quran yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah, dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam) (al-Fath: 29).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment