Wednesday, March 30, 2011

PERINGATAN UNTUK PENDAKWAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Hari ini (30 Mac 2011), ILMI sekali lagi menganjurkan program bulanan, Majlis Pengukuhan Ilmu(sebelum ini dipanggil usrah) untuk warga KAGAT di sekitar PD dan seremban. Untuk kali ini program telah dipenuhi dengan ceramah oleh Ustaz Mohd Sabri Awang , pensyarah dari UNITI. Tajuk yang dibincangkan ialah ‘peringatan untuk pendakwah. Ya, tajuk itu tepat sekali kerana anggota KAGAT pada umunya adalah pendakwah, daie, ustaz, agamawan atau panggilan apa saya tetapi merujuk orang yang dikaitan dengan dakwah dan agama. Antara perkara yang telah ditekankan oleh penceramah berkaitan dengan pendakwah iaitu cabaran semasa di kalangan para pendakwah.

PERKARA-PERKARA YANG MESTI DIATASI OLEH PENDAKWAH

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kepda mereka yang menggabungkan diri dalam jamaah Islam. Sikap-sikap negatif byang dimaksudkan ialah:
i : Mengutamakan masalah peribadi melebihi tugas, kerja atau kepentingan organisasi.
ii : Hanya melakukan kerja-kerja yang boleh memberi keuntungan peribadi.
iii : Hilangnya sifat At-Ta’awun .
iv : Tidak sanggup berkorban.

Masalah pergaulan. Fenomena ini begitu ketara sekali berlaku di kalangan anggota jamaah dan seharusnya di beri perhatian yang sungguh-sungguh untuk mengatasinya.Termasuk di dalam perkara ini ialah :
i : Kurangnya ukhuwwah di kalangan anggota jamaah.
ii : Mu’amalat yang tidak baik.

Ananiah. Ananiah dalam konteks ini bermaksud, keinginan seseorang anggota jamaah untuk menunjuk-nunjuk diri rajin bekerja apabila berada di hadapan masyarakat bertujuan untuk mengejar gelaran semata-mata dan apabila mendapat status yang baik, maka berusahalah terus untuk mengekalkan kedudukan tersebut dengan menolak setiap individu yang cuba menandingi dan menghancurkan setiap peribadi yang boleh mengancam dan merebut tempatnya. Ianya berpunca dari sifat kasihkan dunia dan akan melahirkan sifat hasad dan dengki.

Mengikut hawa nafsu,mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat sendiri.Sifat-sifat ini perlu dihapuskan dari diri mereka yang berada dalam organisasi Islam.
Syakhsiah yang lemah. Anggota jamaah seharusnya menyedari bahawa mereka adalah da’ie Ilallah yang menyeru masyarakat kembali kepada Islam. Jadi,sebelum menerjunkan diri ke arena perjuangan, maka mereka perlulah memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain. Akibat dari kelemahan syakhsiah ini,maka timbulnya anggota-anggota yang mempunyai sifat-sifat berikut:
i : Tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.
ii : Tidak mempraktikkan ajaran islam dalam kehidupan seharian.
iii : Kurangnya kesedaran dan malas serta cuai dalam melaksanakan kewajipan yang dituntut.

Tidak dapat menjadi qudwah hasanah. Pendokong harakah perlu menjadi qudwah dan uswah kepada mad’u kerana ianya amat mempengaruhi mereka.Tanpanya akan menyebabkan mad’u menjauhi dakwah yang dibawanya dan adakalanya boleh memberi fitnah kepada harakah yang didokonginya.

Kurangnya kepatuhan kepada kepimpinan dan organisasi. Perkara ini berlaku kerana beberapa faktor.Kadangkala ianya berpunca dari anggota ataupun mungkin juga kepimpinan atau organisasi itu sendiri.

CARA PENYELESAIAN

Bagi mengatasi penyakit ini,para anggota perlulah diingatkan betapa buruknya sifat ini kepada seorang da’ie kerana diantara syarat awal kejayaan seorang da’ie itu ialah sifatnya yang suka memberi khidmat dan menolong orang lain serta bekerja untuk menyempurnakan keperluan mereka dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri. Islam sendiri menganjurkan kepada At-Ta’awun dan menjauhi sifat-sifat yang telah di-nyatakan.Kalau kita perhatikan kisah para sahabat,disana terdapat banyak kisah yang menggambarkan bagaimana beratnya pengorbanan yang mereka telah lakukan. Segala pengorbanan itu berbentuk tenaga,harta benda,waktu dan juga jiwa dan raga.

Para pendokong Islam mestilah menyedari bahawa mengenepikan diri sendiri, sanggup berkorban harta benda,tenaga,waktu dan jiwa adalah merupakan pendahuluan yang membantu kepada kejayaan kerja-kerja amal jamai’e. Umat Islam adalah umat yang memerlukan pengorbanan yang sedemikan rupa sehingga mereka berjaya mewujudkan kerja-kerja amal jama’ie yang berupaya menghasilkan cita-citanya.

Untuk mengatasi masalah ini,maka perlulah dilakukan beberapa perkara. Diantaranya ialah:
i : Mengadakan program ziarah yang berterusan.
ii : Menggalakkan anggota untuk membiasakan diri bagi menghadiri program-program dan tempat-tempat umum.
iii : Perlunya tazkirah,nasihat yang berterusan dan tunjuk ajar dengan cara yang sewajarnya.

Oleh kerana penyakit ini berhubung kait dengan permasalahan hati,maka cara untuk mengatasinya adalah sebagaimana yang disebut oleh Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali r.a.m dalam kitabnya Ihya Ulumuddin di dalam bab merawat penyakit hati.Ianya boleh diatasi dengan tiga perkara:

i : Guru yang mursyid.
ii : Sahabat yang sholeh.
iii : Serangan dan kritikan dari musuh.

Untuk mengatasi penyakit mengikut hawa nafsu, anggota KAGAT perlu dan sentiasa di bekalkan dan di ingatkan dengan firman Allah s.w.t :

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya". (79 : 40)

Tuesday, March 29, 2011

PENDAKWAH SEBAGAI PENASIHAT

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Mengikut Kamus Dewan (1989) nasihat ditaKrifkan sebagi ajaran atau petunjuk yang baik. Dalam konteks dakawah nasihat adalah salah satu cara dari al-mau’izah al-hasanah yang bertujuan mengingatkan bahawa segala perbuatan ada kesan dan akibat. Al-Asfahani memberikan pemahaman bahawa istilah tersebut dapat disama kan dengan makna al-mau’izah yang bermaksud tindakan mengingatkan seseorang dengan baik dan sopan agar dapat melembutkan hati seseorang. Secara tegasnya nasihat mesti memberi kesan dalam jiwa seseorang dan mampu mendekatkan jiwa seseorang itu dengan keimanan dan petunjuk Ilahi. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 66 yang bermaksud,

“Dan Sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka, dan Sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) Yang telah diberikan kepada mereka, tentulah Yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka)”

Sebagai pendakwah atau daie seccara automatiknya dapat digolongkan sebagai penasihat dan bukan seperti watak “Penasihat’ dalam cerita Tiga Abdul yang hanya mengharapkan ‘persen” dari tuannya semata-mata. Menurut Ibn Taimiyyah terdapat beberapa sifat yang perlu ada bagi seseorang daie atau seorang penasihat Dalam konteks ini penasihat pada umumnya memainkan peranan untuk mengajak orang lain kepada amalan makruf dan melarang melakukan kemungkaran. Perkara yang pertama perlu ada pada diri para daie adalah memilki ilmu tentang perkara makruf dan mungkar serta mampu membezakan antara keduanya. Ini bernaksud seseorang pendakwah itu mengetahui ilmu yang diajar oleh Rasulullah dan apa yang terdapat dalam al-Quran.

Oleh yang demikian daie perlu menguasai ilmu serta berkualiti dari segi akademik, keseimbangan antara ilmu dan amalnya , bersopan santun, lapang dada dan sentiasa mendokong dakwah dan menghomati sasaran dakwahnya. Iniupenting bagaimana seseorang itu mampu untuk berdakwah ke tahap yang cemerlang, gemilang dan terbilang sekiraya tiada ilmu dan ia juga tidak tahu bagaimana untuk menuju Jalannya dan mengetaui Syariatnya. Untuk itu para daie perlu terus menasihati orang yang memerlukan. Untuk itu semoga kita menghayati firman Allah dalam surah al-Asr yang bermaksud,

Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Monday, March 28, 2011

DAIE DAN PEMIKIRAN KREATIF

Salah seorang tokoh dakwah yang sering menjadi rujukan di kalngan para daie khususnya dari aspek buku-buku dakwah dan gerakan dakwahnya ialah tokoh ihwannul Muslimin iaitu Hassan al-Banna. Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”

Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.

Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.

Inilah yang dimaksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Faqih.

Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i.

Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.

Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.

Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.

Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith.

Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”

Sumber: Saifulislam.com

Sunday, March 27, 2011

TIADA KESEIMBANGAN PUNCA DAIE TEWAS

OLEH: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Tawazun atau keseimbangan merupakan asas kehidupan. Bagi para daie aktiviti kerohanian sesuatu yang amat penting, kerana itulah salah satu bekal dan modal utama dalam perjalanan dakwah. Realiti di medan dakwah telah mengajar kita sebagai para daie bahawa jika sekadar berbekalkan semangat, kuasa, tugas atau ’kerja’ semata-mata tanpa disertai dengan kekuatan rohaniah, ia tidak akan mampu bertahan lama dalam gerak kerja dakwah. Jika aktiviti kerohanian tidak mantap dan kukuh, para daie akan dilelahkan dengan dengan pelbagai aktiviti dan program dakwah dalam aspek pengurusan program dan organisasi tetapi diri sendiri terabai dari aspek kerohnian lantaran kesibukan dan seterusnya kepenatan.

Dalam hal ini Allah swt telah menegur bani Israel yang suka menyuruh oramg lain tetapi melalaikan diri sendiri. Teguran Allah dalam surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud,

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”.

Perlu disedari bahawa dalam aspek dakwah, bukan bermakna para aktivis dakwah atau para daie hanya mengajak orang lain semata-mata tetapi ia lebih dari itu. Sebenarnya para daielah yang terlebih dahulu melakukan apa yang diserukan itu dan kita para daie hendaklah sentiasa menghayati firman Allah dalam surah as-saff ayat 2 yang bermaksud,

“ Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Saturday, March 26, 2011

BARAKAH DENGAN BASMALAH

OLEH: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Seperti mana biasa, kuliah subuh di Surau al-Falah Kuaters ILMI dipenuhi dengan Kuliah tafsir oleh Kapt Razali che Jaafar dan tafsiran masih lagi dalam surah al-Baqarah. Menyentuh kuliah tafsir yang disebutkan itu, saya teringat dengan tafsiran yang telah dibuat oleh M Quraish Sihab dalam bukunya Lentera al-Quran (2008), yang mengupas tentang ayat Bismilahirrahmanirrahim. Menurut beliau saranan untuk membaca ‘basmalah’ itu bukan sekadar untuk mendapatkan ‘barakah’ tetapi juga perlu bagi kita untuk menghayati maknanya sehingga dapat melahirkan sikap dan pemikiran yang positif.

Perkataan ‘bi’ yang diterjemahkan oleh para ulama sebagai ‘dengan’ dapat dikaitkan dengan ‘memulakan’. Ini bermaksud para pengucap basmallah pada haikikatnya berkata’ Dengan nama Allah saya memulakan pekerjaan ini’ . Apabila kita memulakan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan nama Allah , maka pekerjaan atau amalan itu tidak akan mengakibatkan kerugian pada pihak lain. Ini adalah kerana pada ketika itu kita telah membentengi diri kita dari godaan nafsu serta melakuan dengan niat kepentingan umum dan tidak diri kita semata-mata.

Menurut Quraish Sihab lagi, perkata ‘bi’ juga dikaitkan dengan ‘ kekuasaan dan pertolongan’ sehingga orang yang menyebut basmallah menyedari bahawa pekerjaan atau perbuatan yang dilakukan terlaksana atas bantuan dan pertolongan (kudrat) Allah. Pengucapan juga secara tidak langsung memohon bantuan Allah semoga pekerjaan, amalan atau perbuatan yang dilakukan itu dapat diselesaikan dengan sempurna baik dan berjaya. Dengan perasaan ini, kita sebagai hamba Allah akan merasai kelemahan kita di sisi Allah dan di waktu yang sama, tertanam dalam jiwa, perasaan dan sikap kekuatan, percaya kepada diri sendiri, optimistik kerana berasa ada kekuatan yang dibantu oleh Allah swt. Ini seperti mana yang kita sama maklumi terdapat dua sifat kesempurnaan yang telah disebutkan oleh Allah iatu Ar-rahman dan Ar-rahim. Ar-rahman adalah curahan rahmat Allah Kepada manusia seluruhnya di dunia ini ( sama ada Islam atau kafir) sedangkan Ar-rahim adalah curahan rahmat Allah kepada mereka yang beriman pada hari akhirat kelak.

Oleh yang demikian, saranan M Quraish Sihab dalam konteks membaca dan menulis, disarankan untuk mengucap atau melafazkan basmalah ketika hendak menulis, semoga apa yang ditulis itu akan menjadi indah dan benar. Kasih sayang akan tercurah di atas kertas atau skrin dan semoga tulisan terhindar dari perkataan sia-sia serta mendapat keberkatan Allah swt. Selamat membaca dan menulis.

Thursday, March 24, 2011

MASALAH DALAM KALANGAN AKTIVIS DAKWAH

Oleh: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

‘Jalan dakwah’bukanlah sekadar ‘laluan mudah’ dan ‘gaya bebas’. Jalan dakwah penuh dengan kesulitan, kepayahan, pengorbanan serta jarak jauh dan ia juga bukan jalan pintas yang mudah mendapatkan hasilnya dalam jangkja masa yang pendek, sekadar dipinggiran atau sekadar ‘suam-suam kuku’. Fenomena ini perlu difahami, diketahui serta disedari oeh seluruh aktivis dakwah. Segala persiapan diri perlu dipenuhi bagi menghadapi pelbagai cabaran di pertengahan jalan samada di laluan sibuk, sunyi, dalam suasana sepi atau di lebuhraya yang sesak!. Allah swt telah mengingatkan kita sebagai aktivis dakwah melalui firmannya yang bermaksud,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”. (al-Ankabut:2-3)

Masalah iman memang bukan sedar pengakuan. Iman memerlukan pembuktian. Dengan adanya ujian-ujian yang sebenar dalam kehidupan akan membuktikan siapakah yang sebenarnya yang dikatakan beriman dan siapakah yang berdusta atau hanya sekadar manis di bibir atau cakap tidak serupa bikin!. Ujian juga dapat meningkatkan tahap keimanan atau darjat seseorang kepada martabat yang tinggi.

Jangan terkejut bila anda dimaklumkan terdapatnya aktivitis dakwah dalam orgaisasi, kampung atau masyarakat setempat yang terlibat dengan aktiviti yang kurang menyenangkan. Berdasarkan buku’Tegar di jalan dakwah (2009) antara faktor yang mendorong berlakunya masalah di kalangan aktivis dakwah antaranya ialah faktor gejolak kejiwaan, ketidakseimbangan aktiviti, latar belakang dan sejarah, penyesuaian diri dan faktor organisasi.

Amat menarik untuk membahaskan isu ini dan walau apapun kita sebagai pendakwah perlu terus bertekad serta berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa dikuatkan iman, semangat dan keyakinan untuk terus berdakwah untuk mencari keredaan Alah swt.

Wednesday, March 23, 2011

PEMBINAAN TENTERA PROFESIONAL BERTERASKAN ISLAM

OLEH: DR BURHANUDDIN BIN ABDUL JALAL

Profesion ketenteraan adalah sesuatu yang di pandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang-orang yang melibatkan secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang-orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara dikalungkan sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“ Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagi syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid ”- Riwayat Abu Daud.( Sahih Bukhari).

Sehubungan dengan itu orang-orang yang berjuang pada jalan Allah Taala dengan penuh keikhlasan dan hanya mengharapkan keredaan Allah tetap akan mendapat ganjaran besar seperti mana yang Allah telah janjikan melalui firmannya,

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”.( at-Taubah 9: 111).

Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah Taala yang bermaksud,

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (al-Anfal 8: 60)

Berdasarkan ayat tersebut, dan untuk menghadapi semua keadaan ini kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita tidak boleh dipandang remeh dan rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kekuatan Islam 14 abad yang lampau telah mendekatkan kita kepada Islam, yang penting tentera kita perlu mendekatkan diri kepada Allah, melaksanakan kewajipan agama, menunaikan solat pada waktunya serta makan dan minum sesuatu yang dihalalkan oleh Allah agar segala amalan mereka diterima Allah dan disanjung oleh manusia. Demikian apa yang telah tersirat dari sepotong ayat al-Quran,

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (al-Taubah 9: 105)

Tuesday, March 22, 2011

FITNAH DAN CABARAN DALAM BERDAKWAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap organisasi akan sentiasa menghadapi krisis dan pelbagai permasalahan dalam menuju objektif yang telah ditentukan. Begitulah halnya bagi organisasi Islam yang menuju ke matlamat yang telah digariskan. Ulama gerakan Islam telah menulis mengenai buku isu ini antaranya Syeikh Ahmad ar Rasyid dalam bukunya ‘Al awaik’ dan ‘Khasais al-Fitan’, Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya ‘Masalah Dakwah dan Pendakwah’ dan ‘Orang-orang Yang Gugur Di Jalan Dakwah’.

Gerakan Islam adalah berbeza daripada organisasi-organisasi sekular. Perbezaannya merangkumi manhaj atau methodologi, merangkumi tabiat dan ciri-ciri, merangkumi pencetus motivasi amal dan pengorbanan dan merangkumi penggerak dan pekerjanya.

Kejayaan gerakan Islam tidak boleh diukur dengan kekuatan dan jumlah bilangan anggotanya sahaja tetapi kejayaannya berdasarkan sejauhmana tersebar luasnya akhlak imaniah, kebersihan jiwa dan bertambahnya istighfar dan taubat di kalangan anggotanya. Lebih banyak ciri-ciri ini menerajui amal Islami bermakna kejayaan semakin hampir.

Kejayaan gerakan Islam diukur sejauhmana ia mampu menggerakkan masyarakat ke arah peng’islah’an tetapi mereka tidak akan berjaya selagi gerakan Islam itu tidak mampu membentuk dan mentaujih mereka sendiri ke arah kebaikan. Pembentukan diri dan harakah bermula dengan penonjolan sifat wara’ dan menjauhi syubhat. Kerana sifat taqwa yang merangkumi sesebuah jamaah akan menjadi cahaya memandu manusia kepadanya dan membawa sokongan masyarakat kepadanya.

Monday, March 21, 2011

MEMBINA MASYARAKAT ISLAMI

Perubahan ke arah pengislaman masyarakat secara bermakna hanya akan terjelma apabila segenap unsur dan dimensi dalam kehidupannya dapat digerakkan secara sepadu dan menyeluruh. Pemahaman tentang proses perubahan yang bersifat sebegini adalah sejajar dengan realiti masyarakat itu sendiri yang berada di dalam suasana yang dikenali sebagai bersifat organik. Ia bermaksud, seluruh dimensi kemasyarakatan berada di dalam keadaan saling berkait dan berhubungan di antara satu dengan yang lain. Tidak ada satu unsur pun yang mampu tumbuh dan berkembang menuju perubahan secara sendirian.

Oleh kerana itu, sebarang usaha bagi menjayakan proses Islamisasi atau pengislaman masyarakat harus menerusi satu usaha yang bersifat menyeluruh dan sepadu. Antara sifat unik dan istimewa yang lain berkenaan dengan proses Islamisasi ini ialah pegangan bahawa proses perubahan harus berlaku secara beransur-ansur. Dalam kata lain, pengislaman masyarakat sebagai satu proses perubaban harus terjadi secara bertahap-tahap berdasarkan kadar-kadar yang sesuai dengan realiti atau keadaan masyarakat tersebut. Menerusi pegangan tentang sifat perubahan yang bersifat beransur-ansur ini, ia memberi maksud bahawa usaha pengislaman masyarakat tidak harus berlaku di dalam bentuk paksaan atau radikal. Pengislaman yang berlaku menerusi proses perubahan yang bersifat sebegini selalunya tidak akan menghasilkan natijah yang bermakna. Inilah antara dua sifat proses pengislaman yang harus menjadi asas penting di dalam kita memahami keperluan dan kepentingan terhadap usaha menjayakannya pada masa kini.

Untuk pengetahuan kita, Islamisasi sebagai satu tema dakwah lahir dari satu sejarah peradaban Islam yang panjang. Pada hakikatnya, Islamisasi amat sinonim sekali dengan sifat agama Islam itu sendiri. Sebagaimana telah kita sedia ketahui, penurunan risalah Islam bertujuan bagi menjayakan proses perubahan dan pembaharuan kepada umat manusia di dalam segenap aspek kehidupan. Ia dijayakan menerusi saluran dakwah dan tarbiyyah secara menyeluruh meliputi kepercayaan, kefahaman dan akhlak.

Namun, tuntutan terhadap Islamisasi bertambah mendesak sekali kini setelah peradaban Islam berada pada tahap kelemahan dan kejatuhannya di era semasa. Dalam hubungan ini, menjayakan Islamisasi ialah merujuk kepada usaha membina kekuatan semula masyarakat Islam dan memulihkan semula peradabannya. Matlamat terakhir Islamisasi ialah bagi membina dan membangunkan semula satu ummah yang kuat sehingga mampu digelar sebagai ummat terbaik atau ‘Khayra Ummah’

Friday, March 18, 2011

MEMBINA MODAL INSAN YANG BERWIBAWA UNTUK NEGARA

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Keperluan membina tenaga manusia yang hebat bagi mempertahankan negara merupakan agenda penting dalam sesebuah negara. Salah satu aspek penting dalam usaha membina tenaga manusia atau modal indan yang hebat adalah melalui penghayatan agama dan juga menerusi menerusi pendidikan. Penekanan utama pendidikan adalah untuk membangunkan keperibadian manusia berlandaskan etika, moral dan agama. Menurut perspektif Islam, pendidikan merupakan asas yang penting kepada keseluruhan hidup manusia bagi mencapai objektif pengabdian yang menyeluruh terhadap Allah (Adnan 2002).Pendidikan juga merupakan proses menjaga dan memelihara sifat-sifat semula jadi seseorang individu yang diberi latihan atau pendidikan untuk memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri mereka dengan dorongan secara beransur-ansur supaya bakat, personaliti dan nilai-nilai luhur dapat dikembangkan dengan baik (Fathi Yakan 1984), fokus utama dan terpenting dalam pendidikan ialah seseorang individu itu perlu dididik sepanjang masa secara seimbang ialah jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dijuruskan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah dan memperoleh keredaanNya. Sebagaimana diungkapkannya “manusia yang penuh keimanan dan takwa berhubung dengan Allah, memelihara dan menghadapkan segala perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan” (Hassan Langgulung 1997:137).

Monday, March 14, 2011

KEBENARAN DAN KESILAPAN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Seorang sahabat lama, Dr. Hassan Basri Mohd Dahan dalam emelnya dalam ALKIS Group telah mengulas pendapat Sheikh Yusuff al-Qardhawiyy tentang isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam masa kini. Sheikh Yusuf al-Qarddawiyy telah mengulas tentang kisah Saidina Umar al-Khattab.

Beliau menceritakan, Saidina Umar (R) semasa pemerintahan baginda pergi mengintip sekumpulan pemuda yang sedang asyik berpesta sambil menyanyi d satu kawasan tertutup. Beliau memanjat pagar dan menangkap mereka. Sebelum mereka di bawa ke pejabatnya untuk dihukum, mereka berkata: Ya Amiral Mukmimin, kami melakukan SATU kesalahan, tatapi tuan melakukan TIGA kesalahan. Amirul mukminin berkata: apakah kesalahan aku? Mereka berkata: Allah berfirman, hendaklah kamu masuk ke rumah melalui pintu, tuan masuk melalui pagar!! Keduanya, Allah berfirman: kalau kamu masuk rumah, hendaklah engkau beri salam. tuan masuk ke rumah kami tidak memberi salam!! Ketiganya, Allah berfirman: jangan engkau mengintip dan tuan mengintip kami!! Saidina Umar ketawa dan mengaku bersalah, lalu berkata moga Allah mengempunkan kesalahan aku dan kesalahan kamu, lalu mereka dilepaskannya).

Persoalnnyanya adakah kita mudah untuk mengaku kesilapan yang kita lakukan atau kita sentiasa ingin menegakkan benag basah dalam segala urusan. Fikir-fikirkanlah.

Sunday, March 13, 2011

MENJAGA RAHSIA NEGARA

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Minggu lalu Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Angkatan Tentera telah menulis di akhbar tentang kepentingan setiap warga negara menjaga rahsia negara.

Ini adalah disebabkan perkembngan mutakhir yang menunjukkan akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini agak membimbangkan. Sering kali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara.

Satu lagi yang membimbangkan ialah elemen keselamatan perlindungan rahsia negara. Ramai kalangan penjawat awam hari ini tidak mengambil berat hal ini sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara.

Perlu difahami rahsia negara sebahagian aset negara dan mesti dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman. Apa juga bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara adalah jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara.

Sebagai seorang warga negara atau sebagi penjawat awam, marilah bersama menghayati prinsip integriti, akauntabiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat mahmudah seperti rajin, tekun, berdisiplin dan mengutamakan kesempurnaan dalam setiap tugasan.

Allah akan mengadili semua tugas diamanahkan walau sekecil manapun tugas itu. Ingatlah jika kita sekali mengkhianati amanah yang diberikan, nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain.

Jika kita terbabit dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki diperoleh adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian dipakai juga haram kerana datang daripada sumber haram.

Oleh itu, marilah bersama mengamalkan sikap jujur dan bertanggungjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah diberikan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisaa, ayat 58)

Thursday, March 10, 2011

POTENSI GENERASI BELIA

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Tidak beberapa lama lagi kita akan menyambut hari belia dan pihak berwajib nampaknya akan melaksanakan program yang agak besar pada tahin ini, khusisnya bagi meraikan generasi belia dengan beberapa program tertentu.

Bagi menyahut hasrat tersebut ada baiknya kita menyorot sedikit sirah bagi mengaitkan dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh generasi belia. Dalam perang Badar kita telah menyaksikan peranan tiga anak muda (Umair bin Abi Waqqash, Muaz dan Muawwaz) yang telah memainkan peranan dalam pembunuhan Abu Jahal.

Al-Mubarakfuri melapor bahawa jumlah 10,000 Ahzab jauh lebih besar dari jumlah penduduk Madinah tmasuk wanita dan anak-anak. Ertinya serangan mereka memang mampu lumpuhranapkan Madinah sekaligus. Dalam perang Ahzab pula, saksikan sekali lagi peranan tiga orang anak muda utama dalam merencana kemenangan Islam tanpa melalui pertempuran langsung. Salman dengan idea hebat beliau, manakala Nuaim dan Huzaifah dengan operasi gerak cepat dan tipu muslihat.


- Salman al-Farisi : Rasulullah mengambil idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian Utara Madinah. Bahagian lain di sekeliling Madinah dikelilingi oleh gunung-gunung dan kebun-kebun kurma menyukarkan kaum musyrikin memasuki kota Madinah.

- Nuaim bin Mas’ud al-Asyja’ie (Bani Ghatfan) : seorang yang berpengaruh dalam kalangan Bani Quraizah dan orang musyrikin Quraisy yang masuk Islam - bantuan Allah hasil doa dan munajat Nabi – dan kemudian menjadi agen perisikan Nabi dan berjaya pecah belahkan pakatan Ahzab dari dalam (baca tulisan menarik mengenai kebijaksanaan beliau dan Huzaifah al-Yaman di Brain News di sini).

- Huzaifah al-Yaman : Salah seorang yang memainkan peranan sebagai 'perisik' bagi Rasulullah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan pasti sehingga Rasulullah mengirim Hudzaifah ke dalam pertahanan musuh dalam keadaan kegelapan malam.

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Tuesday, March 8, 2011

MENELADANI MUHAMMAD AL-FATIH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

SALAH seorang tokoh kepimpinan ketenteraan yang wajar diteladani dan diikuti oleh generasi tentera masa kini ialah Sultan Muhammad al-Fatih. Muhammad al-Fatih merupakan seorang pemimpin tentera dan sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W:

“ Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera".

Selain dari itu dalam konteks membina tentera yang baik ini, Muhammad Munir al-Qhadban dalam kitabnya telah mencatatkan,

"Umar al-Khattab telah berkata kepada Saad bin Abi Waqas panglima perang di Iraq. Aku berwasiat kepada engkau dan tentera yang bersama engkau supaya bertakwalah kepada Allah. Berwaspadalah terhadap maksiat kerana maksiat itulah seharusnya engkau lebih berwaspada daripada musuh. Sesungguhnya kamu tidak akan dibantu dengan bilangan dan persediaan kamu. tetapi kamu akan dibantu dengan ketaatan kepada tuhan kamu dan mengikuti sunnah Rasullah s.a.w. Sekiranya kamu mengabaikan maksiat nescaya musuh akan mengalahkan kamu dengan bilangan dan persediaan"

Saturday, March 5, 2011

MENDALAMI FIQH KETENTERAAN

Oleh : Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ilmu Fiqh atau fiqah, menurut bahasa bererti mengetahui dan memahamkan. Menurut istilah ia bermaksud suatu ilmu yang menerangkan segala hukum syara' yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w. secara penelitian yang mendalam yakni dengan jalan ijtihad dan istinbat. Pada umumnya Ilmu Fiqh membahas bidang-bidang:

• Fiqh Ekonomi (Mua'malat)
• Fiqh Politik
• Fiqh Perkahwinan (Munakahat)
• Fiqh Jenayah
• Fiqh Adab
• Fiqh Ibadat
• Fiqh Kebersihan
• Fiqh Ketenteraan

Dalam aspek feqah ketenteraan pada umumnya akan membincangkan perkara-perkara berikut:

• Jihad
• Mati syahid
• Perang dan undang-undang perang
• Tawanan perang

Berdasarkan kandungan yang telah dijelsakan adalah wajar bagi kita tentera muslim untuk mendalami aspek feqh ketenteraan termasuk isu-isu sejarah peperangan dalam zaman Islam dan juga yang melibatkan Junjunagn Besar Nabi Muhammad serta tokoh-tokoh kepimpinan dan ketenteraan Islam untuk dijadian panduan dan iktibar bagi membina tentera yang baik, pemimpin yang baik dan juga negara yang baik.

Thursday, March 3, 2011

PENGHAYATAN ISLAM DALAM TENTERA

Berikut adalah tulisan saya yang telah disiarkan dalam sisipan MEGA akhbar Utusan Malaysia pada hari ini 3 Mac 2011 yang bertajuk "Penghayatan Islam dalam tentera". Selamat membaca dan memberikan pandangan selanjutnya tentang tulisan tersebut. - Dr Burhanuddin Abdul Jalal

PENGHAYATAN ISLAM DALAM TENTERA

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

TARIKH 1 Mac setiap tahun sentiasa dalam ingatan seluruh warga Tentera Darat Malaysia. Tarikh tersebut merupakan tarikh ulang tahun Tentera Darat. Tahun ini, Tentera Darat Malaysia meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-78 dengan tema 1Angkatan Tetap Gagah Tetap Setia.

Menyentuh tentang aspek kesetiaan dalam budaya tentera darat, ternyata ia sentiasa dititikberatkan sejak seseorang anggota itu memasuki perkhidmatan.

Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh seluruh warga tentera darat dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keseluruhnya berhubung kesetiaan ialah membaca ikrar Kesatria.

Ikrar tersebut mempunyai nilai penghayatan Islam yang kuat dan mematuhi pemerintah adalah sesuatu yang wajib.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (an-Nisa': 59)

Para ulama tafsir seperti Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ulil amri.

Jika digabungkan makna-makna tersebut, maka ulil amri menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sesungguhnya ia telah menderhakai Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis ini jelas bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah amir dan amir itu adalah penguasa yang mesti dipatuhi.

Namun demikian, selari dengan Islam, ketaatan itu mesti tidak lari daripada kehendak agama.

Apabila bertentangan dengan kehendak Islam ia dilarang untuk ditaati.

Ia seperti sabda nabi yang bermaksud: "Tidak wajib mentaati pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat."

Tekad mempertahankan sesuatu merupakan gambaran dari istiqamah yang dimiliki oleh seseorang. Kata tekad itu mempunyai kaitan dengan kata iktikad.

Istiqamah bermaksud berjuang secara gigih dalam mempertahan prinsip yang benar. Jika kebenaran itu dikaitkan dengan agama, maka agama perlu dipertahankan dengan segala daya upaya.

Sikap istiqamah ini disebut oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi), dan bahawa sesungguhnya! kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (Jin: 16)

Berdasarkan ikrar Kesateria ini sudah terdapat nilai-nilai agama yang telah dihayati dan dilaksanakan secara jelas tanpa menyedari ia adalah sebahagian dari nilai penghayatan Islam yang telah lama wujud dalam ATM.

Antaranya ikrar: Beriman kepada tuhan dan bertakwa kepadanya.

Berdasarkan ikrar yang pertama ternyata anggota ATM mempunyai keyakinan terhadap Allah yang maha Esa. Dalam terminologi Islam disebut sebagai mempunyai akidah atau tauhid.

Jelas sekali tauhid atau keimanan yang kuat dalam perjuangan merupakan sesuatu yang penting.

Sejarah Islam membuktikan kemenangan yang besar dan gemilang diperoleh berkat keimanan yang mantap.

Kita menyedari bahawa, bagaimana Nabi SAW mempersiapkan pasukannya dengan keyakinan bahawa Allah adalah pencipta mereka, pemilik, penguasa dan mempunyai kekuasaan ke atas segala sesuatu.

Tidak ada sesuatu pun di luar penguasaan Allah. Allah akan memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Yang paling pasti ialah Allah akan menolong orang yang beriman.

Nabi Muhammad SAW telah menanamkan keyakinan ini kepada para pengikutnya, bahawa mereka perlu sentiasa bergantung pada Allah dan perlu sentiasa mengingatinya dalam semua keadaan.

Allah berfirman yang bermaksud: Wahai sekelian orang yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)

Ayat tersebut memperkuat keyakinan dan iman dalam tiga cara iaitu, memerintahkan orang beriman mencari pertolongan daripada kesabaran dan solat, kerana amalan tersebut akan membangkitkan tenaga dan kekuatan untuk melaksanakan tugas secara efektif.

Amalan tersebut juga akan melengkapkan diri dengan keberanian dan ketahanan untuk memikul segala tanggungjawab, cabaran, penderitaan, tekanan, kekerasan dan juga gangguan.

Kekuatan daya tahan dan kesabaran itu amat dipentingkan dan jika ia diperoleh melalui ibadah kepada Allah seseorang itu akan berasa aman dan tenteram.

Kedua, ia menjamin bahawa orang yang beriman dalam keadaan kesusahan, tidak akan dibiarkan sendirian tanpa pertolongan dari Allah.

Ini kerana pertolongan Allah akan segera datang jika perjuangan dilakukan dengan sabar dan bertahan di jalan-Nya.

Ketiga, orang yang beriman tidak pernah menyerah atau menerima kekalahan dari musuh mereka kerana mereka berjuang untuk menegakkan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan di muka bumi ini.

Jika mereka memperlihatkan suatu kelemahan atau menyerah kepada musuh maka kebenaran akan dikalahkan oleh kebatilan.

Oleh yang demikian, orang yang beriman berjuang dengan penuh kekuatan sehingga mencapai kemenangan atau hingga ke titisan darah terakhir.

Perjuangan orang beriman akan memperlihatkan kualiti ini. Dalam menghadapi musuh, mereka mempunyai keyakinan untuk mencapai kemenangan.

Mereka juga akan memperoleh cinta Allah kerana Allah mencintai mereka yang tabah, kuat dan pantang menyerah dalam perjuangan.

Kualiti dan kemantapan orang yang berjuang dan beriman ini dalam menghadapi musuh disebut dalam al-Quran yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah, dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam) (al-Fath: 29).

Wednesday, March 2, 2011

KEKALKAN SEMANGAT JUANG

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kekentalan semangat dan tekad untuk memikul tanggungjawab bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan adalah kualiti-kualiti penting yang diperlukan dari orang yang benar-benar beriman, lebih-lebih lagi anggota tentera. Dari perspektif Islam, Allah telah menjanjikan bahawa orang terkorban atau gugur di jalan Allah ketika dalam perjuangan melawan musuh akan di balas dengan kehidupan abadi dan kegembiraan. Firman Allah dalam Surah Al ‘Imran (3:169-171) yang bermaksud, ‘Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi tuhan mereka dengan mendapat rezeki (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya, dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang yang beriman”.

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024