Tuesday, April 12, 2011

MENYEDARI GERAKAN PENJAJAHAN PEMIKIRAN (AL-GHAZW AL-FIKRI)

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Umat Islam pada umumnya kurang menyedari tentang proses penjajahan pemikiran yang sedang dan telah dilakukan oleh musuh Islam sepanjang masa. Ini dapat dibuktikan dengan ramainya orang-orang Islam yang secara sedar atau tidak, mengikuti pemikiran, tingkah laku dan gaya hidup orang bukan Islam (kafir dan budaya Barat). Kealpaan orang Islam terhadap perkara ini menjadikan umat Islam (sebahagian darinya) kehilangan identiti dan harga diri sebagai seorang muslim. Bahkan terdapat sebahagian dari mereka bangga dengan tingkah laku dan amalan yang mereka lakukan, bahkan menjadi sebahagian dari kehidupan mereka.

Perkara ini perlu sentiasa disebut dan diulang-ulang bagi menyedarkan sebahagian rakan-rakan muslim kita tentang perkara ini serta sentiasa diberikan contoh , bukti tentang apa yang dikatakan al-Ghazw al-fikri atau penjajahan pemikiran ini., sehingga umat Islam mempunyai benteng yang kukuh serta kesedaran yang tinggi untuk menghayati Islam sepenuhnya.

Golongan kuffar memang terus berazam untuk menghancurkan Islam sejak dulu lagi. Mereka tidak pernah berhenti menyerang Islam sehinga umat Islam mengikut jalan dan cara hidup mereka (millah). Strategi penjajahan fikiran atau ghazw al-fikri ini memang dipilih bagi menghancurkan umat Islam iaitu dengan kaedah serangan budaya, pemikiran, dan serangan ini berterusan dan berpanjangan tanpa henti.

Selain dari itu al-ghazw al-fikri adalah bertujuan untuk merosakkan akhlak, menghancurkan pemikiran dan mengajak muslim murtad dari agamanya. Pelaku al-Ghazw al-fikr ini pada umumnya terdiri daripada orang Yahudi, Nasrani, Majusi, Musyrikin, Munafikin, Atheis dan orang kafir. Cara yang digunakan adalah dengan menyerang segenap penjuru umat Islam melalui propaganda, pendidikan, buku, majalah, media cetak, kelab-kelab hiburan, filem dan juga muzik.

Oleh yang demikian umat Islam perlu berwaspada dan sentiasa mengingati firman Allah dalam surah al-Maidah (5:51) yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024