Wednesday, April 20, 2011

PESANAN UNTUK PENDAKWAH




Keratan akhbar di atas adalah rencana penulis yang telah tersiar di Utusan Malaysia pada 19 April 2011. Semoga mendapat pandangan dari para pembaca dan pengunjung blog ini. Terima kasih
_________________________________________

Pesanan kepada pendakwah

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

BERDAKWAH bukanlah sekadar 'laluan mudah' atau 'gaya bebas'. Usaha dakwah penuh dengan kesulitan, kepayahan, pengorbanan dan perjalanan yang jauh. Ia juga bukan jalan pintas dan jalan mudah untuk mendapatkan hasil dalam jangka pendek.
Sebagai aktivis dakwah, segala persiapan diri perlu dipenuhi bagi menghadapi pelbagai cabaran.
Allah SWT mengingatkan kita sebagai aktivis dakwah melalui firmannya yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (al-Ankabut: 2-3.
Sehubungan itu, menurut al-Bahi al-Khuli dalam bukunya Tazkirat duat (1984) menggariskan beberapa peringatan kepada pendakwah sebagai persiapan berdakwah di samping akan menjadi tumpuan masyarakat atau menjadi tempat rujukan.
Antara peringatan itu menyebut tentang beberapa perkara negatif yang perlu dihindarkan oleh para pendakwah iaitu:
l Mengutamakan masalah peribadi melebihi tugas, kerja atau kepentingan organisasi atau hanya melakukan kerja-kerja yang boleh memberi keuntungan peribadi.
l Hilangnya sifat tolong menolong.
l Tidak sanggup berkorban.Selain itu, al-Bahi al-Khuli juga telah memberi pesanan kepada para pendakwah agar menjaga dan memerhatikan diri masing-masing berkaitan aktiviti-aktiviti berikut:
l Masalah pergaulan. Perkara ini perlu dititik beratkan di kalangan para pendakwah atau orang yang terlibat dalam organisasi agama kerana mereka sering menjadi perhatian masyarakat.
l Ananiah. Ananiah dalam konteks ini bermaksud, keinginan seseorang pendakwah menunjuk-nunjuk diri rajin bekerja apabila di hadapan masyarakat bertujuan mengejar gelaran semata-mata. Apabila mendapat status yang baik, seterusnya berusaha mengekalkan kedudukan tersebut dengan menolak setiap individu yang cuba menandingi dan menghancurkan setiap individu yang boleh mengancam dan merebut tempatnya.
Ia berpunca daripada sifat kasihkan dunia dan sekali gus melahirkan sifat hasad dan dengki.
l Mengikut hawa nafsu. Ini bermaksud mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat sendiri. Sifat-sifat ini perlu dihapuskan dalam diri pendakwah atau individu yang berada dalam organisasi Islam.
l Sahsiah yang lemah. Para pendakwah perlu menyedari bahawa mereka adalah da'ie yang menyeru masyarakat kembali kepada Islam.
Oleh yang demikian sebelum melibatkan diri ke arena perjuangan, maka mereka perlulah memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain.
Akibat kelemahan sahsiah ini, akan timbulnya sikap dan sifat pendakwah yang mempunyai ciri-ciri berikut:
l Tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.
l Tidak mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
l Kurangnya kesedaran dan malas serta cuai dalam melaksanakan kewajipan yang dituntut.
l Tidak mampu menjadi qudwah hasanah. Para pendakwah perlu menjadi qudwah dan uswah kepada golongan sasaran (mad'u) kerana ia amat mempengaruhi mereka.
Tanpa teladan yang baik akan menyebabkan mad'u menjauhi dakwah yang dibawanya dan adakalanya boleh memberi fitnah kepada organisasi dakwah yang diwakilinya,
Bagi mengatasi gejala negatif ini, para pendakwah perlulah sedar betapa buruknya sifat ini kepada seorang daie. Ini kerana, di antara syarat awal kejayaan seorang daie itu adalah sifatnya yang suka memberi khidmat dan menolong orang lain serta bekerja untuk menyempurnakan keperluan mereka dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri.
Islam telah menekankan sifat tolong menolong serta menjauhi sifat-sifat negatif yang telah dinyatakan. Jika kita tinjau dan menyorot sirah Nabi SAW dan juga kisah para sahabat, banyak kisah yang menggambarkan bagaimana beratnya pengorbanan mereka sebagai para pendakwah generasi awal lakukan sama ada dalam bentuk tenaga, harta benda, waktu dan juga jiwa raga.
Para pendakwah mesti menyedari bahawa mengenepikan diri sendiri, sanggup berkorban harta benda, tenaga, waktu dan jiwa adalah merupakan pendahuluan yang membantu kepada kejayaan kerja-kerja amal Islami.
Selanjutnya, al-Bahi al-Khuli menyarankan beberapa perkara bagi mengatasi masalah yang negatif sekiranya berlaku di kalangan para pendakwah. Antaranya:
l Mengadakan program ziarah yang berterusan oleh kumpulan pendakwah kepada pendakwah yang bermasalah.
l Menggalakkan pendakwah untuk membiasakan diri bagi menghadiri program-program dan tempat-tempat umum.
l Perlunya nasihat yang berterusan dan tunjuk ajar dengan cara yang sewajarnya.
Perlu kita sedari bahawa kesemua perkara-perkara negatif yang menyerang golongan daie ini juga adalah berpunca dan berhubung kait dengan permasalahan hati.
Oleh yang demikian, cara untuk mengatasinya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Hujjatul Islam al-Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, dalam bab merawat penyakit hati. Mengikut Imam al-Ghazali penyakit hati boleh diatasi dengan tiga perkara berikut:
Pertama: Hendaklah seseorang itu duduk dan belajar dengan seseorang guru yang bijaksana, mempunyai keistimewaan dan kepandaian tentang penyakit jiwa, yang mampu mengubati penyakit hati, kemudian ikutilah nasihatnya serta selanjutnya melakukan perubahan dan kebaikan dengan kesungguhan hati, azam yang kuat dan keikhlasan.
Kedua: Seseorang itu perlu mencari seorang sahabat yang boleh dipercayai, yang suka membetulkan kesalahan. Selain itu, kawan tersebut perlunya yang pandai memeriksa dan kuat pula agamanya.
Ketiga: Seseorang itu perlu mengambil manfaat tentang wujudnya keaiban di jiwanya daripada mulut musuh-musuhnya, kerana pandangan orang yang membenci itu dapat melihat keburukan yang tidak mungkin dapat diketahui oleh orang-orang yang menyayangi.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024