Tuesday, April 6, 2010

MEMBINA KEKUATAN IBADAT

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam usaha untuk membina anggota tentera yang menghayati agama serta memahami peranan yang sewajarnya menurut perspektif Islam, Khalid Ahmad Syantut (2003), telah menggariskan tujuh pendekatan yang mampu membina anggota tentera dari sudut pendidikan spiritual yang sentiasa mempunyai hubungan yang akrab antara hamba Allah dengan penciptaNya sekali gus menjadikan seseorang itu sentiasa tekun dan sentiasa beribadat sama dalam bentuk umum ataupun khusus. Antara pendekatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut :

a. Tekun beribadat yang merangkumi pelaksanaan solat, menunaikan ibadat puasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji.

(1). Solat. Solat merupakan hubungan antara hamba dengan tuhannya. Orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk, rohnya akan berhubung dengan penciptanya, sehingga ia tidak merasakan sesuatu yang terjadi dalam lingkungan dirinya dan tidak merasakan kesakitan di tubuh badannya. Dalam kitab Tahzib sirah Ibn Hisyam (t.th:185), yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah, dia menceritakan, “ kami pergi bersama Rasulullah SAW dalam perang Dzariqa’. Kemudian Nabi berhenti di sau tempat dan bersabda, “siapa yang berjaga pada malan ini?’ Lalu kaum Muhajirin dan Ansar menghantar seorang anggota tentera untuk tugas tersebut. Anggota tentera dari kumpulan Ansar berkata kepada anggota tentera kumpulan Muhajirin, “ kamu atau aku-kah yang akan berjaga terlebih dahulu?”. Anggota Muhajirin berkata, kamulah yang berjaga dahulu”. Anggota Muhajirin itu pun pergi tidur setelah anggota Ansar bersetuju untuk berjaga terlebuh dahulu Ketika anggota Ansar yang berjaga itu sedang solat, datang seorang musuh lalu memanah anggota Ansar yang sedang bersolat itu, kemudian ia mencabut anak panah di badannya dan meneruskan solatnya. Musuh itu memanahnya lagi anggota yang sedang solat itu, lalu dia mencabut anak panah itu sekali lagi . Kemudian musuh memanah lagi buat kali ketiga, lalu anggota itu mencabut anak panah yang melekat di badannya sekali lagi, dan seterusnya ia rukuk dan sujud sehingga selesai sembahyang. Kemudian rakannya dari Kaum Muhajirin bangun dan musuh terus lari. Ketika anggota Muhajirin itu melihat dari mengembur dari badan anggota Ansar itu, lalu ia berkata, “ Subhanallah, mengapa kamu tidak memanggil aku ketika panah yang pertama mengenai dirimu?” Anggota Ansar itu berkata, “ aku sedang membaca salah satu surah dari al-Quran dan aku tidak mahu memutuskannya sehingga selesai. Demi Allah , kalau aku sengaja mengabaikan perintah Allah ini, sudah tentu Allah akan menghentikan nafasku sebelum aku sempat menyelesaikan surah yang aku baca”.

Ternyata solat yang dilakukan oleh anggota tentera dari kaum Ansar ini adalah solat yang amat berkualiti dari aspek keikhlasan dan kekhusyukannya beribadat kepada Allah dan ini menyebabkan sekali gus dapat membantu raih menjadi cemerlang. Demikianlah para sahabat Rasulullah SAW ketika menunaikan solat sehingga mereka lupa terhadap keadaan diri mereka dan keadaan sekeliling, kerana roh lebih berpengaruh dari aspek fizikal dan sekali gus roh dapat menguasai fizikal dan melemahkan tuntutan fizikal dan nafsu yang buruk.

(2). Puasa. Ibadah puasa dapat menggilap roh serta dapat menguatkannya dari beberapa aspek. Antaranya ialah dapat mengalahkan godaan syaitan dan iblis yang sentiasa mengganggu dan menggoda manusia melalui nafsu makan minum, syahwat dan juga amal perbuatan yang lain. Dalam hal ini Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis dari Rasulullah,

“ Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam diri anak Adam melalui urat nadinya, maka sempitkanlah jalannya dengan rasa lapar”.

Imam al-Ghazali Rahimullah dalam kitabnya Ihya Ulumuddin (1960: 234) menjelaskan, “ ketahuilah bahawa puasa itu ada tiga tingkatan. Pertama, puasa umum iaitu menahan diri dari rasa lapar, dahaga dan menjaga kemaluan. Kedua, puasa khusus yang menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari segala dosa. Ketiga puasa khusus lagi khusus, iaitu puasa hati dan fikiran-fikiran duniawi dan menjaganya dari segala perkara melainkan ingatkan kepada Allah. Puasa jenis ini adalah hubungan seorang hamba dengan Rabb dan akan terus terjalin sepanjang melaksanakan ibadah puasa.

(3). Zakat. Dari segi bahasa zakat bermaksud berkat, berkembang, suci dan baik (al-Mu’jam al-Wasit :398). Menurut Ibnu Taimiyah dalam kitab al-Fatawa (1962) menyatakan, “ jiwa dan harta seseorang yang bersedekah itu akan besi, yakni akan suci dan baik”. Perkembangan dan kesucian itu pula tidak terletak pada harta semata-mata tetapi ia akan meresap ke dalam jiwa orang yang mengeluarkan zakat. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud,

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.


Berdasarkan firman Allah itu dengan laksanakan ibadah zakat akan dapat menyucikan jiwa dan seterusnya dapat mengalahkan nafsu yang sentiasa tamak kepada harta, sekali gus ia akan dapat menguatkan jiwa dan membersihkannya

(4). Haji. Ibadah haji akan mengukuhkan hubungan seseorang hamba dengan Allah SWT. Ini adalah kerana ibadah haji adalah kegiatan meninggalkan urusan dunia seperti urusan harta, keluarga demi untuk memenuhi panggilan dan seruan Allah. Iman al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin (1960: 265) berkata, ketahuilah bahawa tidak ada jalan menuju Allah SWT, kecuali dengan menyucikan diri dari syahwat, menahan diri dari berbagai-bagai kenikmatan dan hanya mengambil sekadar yang diperlukan, seta semua kegiatan aktif ataupun pasif semata-mata kerana Allah SWT”.

Dengan melaksanakan ibadah haji. Dalam masa beberapa minggu ternyata seseorang individu itu akan terputus hubungannya dengan urusan keduniaannya yang lain dan ia hanya tertumpu kepada amal ibadat untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

b. Membaca al-Quran. Dalam sebuah hadis marfuk yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, Al-Quran itu tali Allah yang kukuh, cahayanya menerangi, zikir yang bijaksana dan dialah jalan yang lurus”. Al-Quran adalah perkataan yang diturunkan oleh Allah yang Maha tinggi lagi Maha besar. Membacanya sebagai ibadah dan ia merupakan mukjizat yang makhluk tidak mampu untuk meniru seumpama dengannya (Faris Husin Hijazi : 1983). Ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud,

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat Gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. dan (ingatlah), misal-misal Perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”.

Selain dari itu, Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah memiliki keluarga dari kalangan manusia. Sahabat bertanya, “siapa mereka, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Para penghafaz al-Quran yang membacanya siang dan malam. Mereka itulah keluarga Allah dan orang-orang khusus baginya”.

Dengan membaca al-Quran seseorang itu akan mendapat kekuatan dalam jiwanya dan dapat memberi penghayatan kepada agama sekali gus dapat membina jiwa yang kuat dan sentiasa patuh kepada Allah SWT.

c. Zikir. Para ulama berpendapat bahawa amalan berzikir adalah salah satu cara untuk memperbaiki kualiti hati dan jiwa. Perkara ini pernah ditekankan oleh Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud,
“ Barang siapa menekuni bacaan istighfar, Allah akan mengubah setiap kesedihan menjadi kegembiraan, memberikan jalan keluar dari kesempitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka”.

Selain dari itu Rasulullah dalam amalannya menunjukkan bahawa Rasulullah melaksanakan amalan wirid dan zikir dan kita sebagai umatnya perlu meneladani apa yang telah Rasulullah lakukan. Untuk itu para ulama, khususnya Said Hawa (1979), menyarankan agar setiap individu Muslim dapat melaksanakan amalan wirid dan zikir harian seperti berikut:

i Solat fardu secara berjemaah, solat dhuha dan solat malam dan kemudian diikuti dengan zikir.
i. Membaca istighfar harian tidak kurang dari 100 kali.
ii. Membaca “la ilaha Illah wahdahu la syarikalah, lahumulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kuli saiin qadir” tidak kurang dari 100 kali.
iii. Membaca selawat kepada Rasulullah SAW tidak kurang dari 100 kali.
iv. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali.
v. Membaca satu juz al-Quran setiap hari.
vi. Zikir yang berterusan pada setiap pagi, petang dan malam (jika berkesempatan)

d. Persahabatan atau semangat setia kawan (esprit de’ corps). Ibn Khaldun berkata, “ pada dasarnya manusia adalah makhluk sosial, iaitu secara nalurinya suka bergaul dengan manusia lain. Jika tidak maka kehidupan dan peradaban manusia tidak akan terwujud”. Dalam Islam, kehidupan sosial (ijtimak’) mempunyai kedudukan yang penting kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh dari kegiatan tersebut. Antara kegiatan sosial yang dimaksudkan ialah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, majlis pengajian dan juga majlis zikir ( Sa’id Hawwa: 1979). Oleh yang demikian semangat setia kawan dan sentiasa mempunyai ikatan silaturahim yang kuat sesama rakan dan anggota masyarakat merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan kekuatan dalam masyarakat.

e. Penghayatan spiritual. Penghayatan nilai-nilai spiritual atau nilai-nilai kerohanian merupakan alatan yang penting dalam pembinaan atau peningkatan kualiti keperibadian seseorang Muslim. Penghayatan terhadap nilai kerohanian akan menolong seseorang sentiasa menuju dan mengamalkan ajaran yang sebenarnya. Menurut Khalid Ahmad Syantut (1989), antara amalan-amalan yang dapat membina kekuatan spiritual di kalangan tentera Muslim ialah:
i. Menghidupkan malam, berpuasa di siang hari dan membaca al-Quran pada waktu malam.
ii. Melakukan iktikaf pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, pusa, solat malam, menjaga solat jemaah, membaca al-Quran, zikir, selawat nabi dan lain-lain.
iii. Berkelah secara Islam.
iv. Melakukan haji dan umrah.
v. Berjaga-jaga di atas perkara-perkara yang tidak baik dan turut berjihad melawan musuh Allah.


f. Mengetahui dan menghayati Sirah nabi dan para sahabat. Kehidupan yang rapat dengan seserang akan dapat mempengaruhi kehidupan individu. Begitulah juga jika seseorang itu mengikuti sejarah, kehidupan, perlakuan Rasulullah, para nabi, sahabat dan juga syuhada. Dengan membaca kisah dan buku-buku berkaitan dengan sirah Rasulullah dan para sahabat akan dapat membentuk jiwa dan perlakuan serta semangat perjuangan dan kecintaan Islam yang tinggi.

g. Nasyid. Menurut Sa’id Hawwa ( 1979), salah satu cara untuk menggilap dan melembutkan jiwa manusia adalah melalui salah satu cabang seni iaitu lagu-lagu atau syair, kerana ia sesuai dengan sifat semula jadi manusia. Nasyid atau lagu yang dimaksudkan di sini ialah nasyid atau lagu yang mempunyai lirik atau seni kata yang dapat mendidik dan mendorong manusia ke arah kebaikan atau membesarkan yang Maha pencipta. Terdapat ulama berpendapat bahawa jika jiwa seseorang menerima sesuatu kebenaran dengan cara yang dapat dinikmati, ia akan menerima kebenaran dengan hasil yang lebih baik. Oleh yang demikian seni nasyid atau lagu yang dinikmati melalui suara yang merdu dapat menyerap kebaikan dan kesedaran dan yang pasti nasyid tersebut mengikuti landasan yang telah ditetapkan.

Bagi Sayyid Qutb (1982), dalam Ma’alim fi Tariq, telah menekankan aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia merupakan peradaban bagi manusia dan juga bahawa dunia hari ini telah didominasi dengan perkara-peraka yang bersifat material dan kepentingan duniawi semata-mata dan ini dapat di bendung dengan pendidikan rohani.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024