Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Penguasaan ilmu dapat menyerlahkan potensi individu. Berhubung dengan ini, Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, "Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah, mereka juga terbaik dalam Islam jika mereka memiliki kefahaman agama." Hadis ini menunjukkan, manusia secara umumnya berpotensi untuk mencapai kejayaan. Bagi menyerlahkan potensi yang sedia ada, manusia perlu diproses dan digilap seperti emas dan perak. Apabila ia digilap berdasarkan kefahaman agama yang betul, potensi itu akan meledak ke tahap optimum dan hasilnya adalah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang yang diceburi. Justeru, perjuangan yang dilakukan tanpa ilmu mendatangkan banyak kerosakan pada manusia. Khalifah Omar Abdul Aziz pernah berkata, "Sesiapa yang melakukan sesuatu tanpa ilmu, dia akan mendatangkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan." Islam membahagikan ilmu kepada dua bahagian. Pertama, fardu ain, dan kedua, fardu kifayah.
Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib diketahui dan dilaksanakan oleh semua hamba Allah yang berakal serta baligh. Ilmu fardu ain yang dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah, tasawuf dan fikah. Ilmu-ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim dan Muslimah. Ilmu fardu kifayah adalah bidang-bidang yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam. Bidang-bidang ini amat diperlukan dalam kehidupan namun tidak semua individu Muslim dan Muslimah diwajibkan menceburi bidang-bidang ini. Jika sebahagian umat Islam sahaja yang menceburinya ia sudah memadai. Berhubung dengan ini, dalam surah at-Taubah ayat 122, Allah berfirman, "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri."
Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam mendalami ilmu-ilmu agama supaya mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai bidang fardu kifayah. Imam al-Ghazali membahagikan ilmu-ilmu fardu kifayah kepada dua iaitu ilmu syariat seperti ilmu tafsir al-Quran dan ilmu bukan syariat seperti ilmu perubatan. Walaupun penguasaan ilmu adalah penting, namun ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia difahami dengan betul, bersesuaian dengan kaedah keutamaan yang disepakati, bertepatan dengan tuntutan suasana serta mampu melahirkan amalan yang salih lagi bermanfaat. Antara kalimat yang ditekankan al-Quran dalam konteks ilmu adalah fiqh. Contohnya, dalam surah al-An’am ayat 65, Allah berfirman, "Perhatikanlah bagaimana Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya." Kalimat penting dalam ayat ini adalah yafqahuun yang bermaksud "mereka memahaminya." Ia berasal dari kalimat fiqh. Imam Ibn Kathir, semasa mentafsirkan kalimat yafqahuun di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "(Ia bermaksud) memahami serta merenungi tanda-tanda, hujah serta bukti berhubung kebesaran Allah."
Oleh yang demikian,ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang direnungi secara mendalam supaya rahsianya dapat disingkap dan maksudnya dapat difahami dengan tepat, selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah
Friday, April 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment