Saturday, April 3, 2010

MENCINTAI NABI MUHAMMAD S.A.W

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dengan tema “ Memantap ukhuwah, memperkasa ummah” yang telah dilaksanakan baru-baru ini diharapkan dapat menyuntik semangat kita semua untuk menghayati sirah Rasulullah s.a.w. Dengan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w secara mendalam dan teliti serta disulami dengan rujukan yang muktabar sudah pasti kita akan menemui banyak natijah yang baik, yang akan membawa kita ke arah lebuh maju dan selari mengikut syariah Allah.

Menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya, Fiqh al-sirah’, menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsi sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya ialah:

Pertama: memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dariNya.

Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan. Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21).

Ketiga: ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.

Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.
Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang daie, pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa period dakwahnya.

Selain dari itu bagi setiap individu Muslim perlu memahami dan menghayati surah Rasulullah SAW ini kerana sebagai seorang Muslim hubungan kita dengan Rasulullah adalah hubungan yang berterusan dan ini dapat dibuktikan dengan ucapan syahadah yang mengiktiraf bahawa hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah dan caranya ialah dengan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

Sebagai seorang awam yang agak terbatas penguasaan dalam Bahasa Arab, tentunya kita tidak mampu untuk membaca atau menelaah kitab-kitab surah yang ‘besar’ atau yang menjadi rujukan asas dalam sirah seperti Sirah Ibnu Hisham, Zaad al-Ma’aad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Sayyid al-Naas, Fiqh al-Sirah oleh Sheikh al-Buti, Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibrahim al-’Ali, Nurul Yaqeen oleh Sheikh Muhammad Al-Khudori atau al-Sirah al-Nabawiyyah: Durusun wa ‘Ibar oleh Sheikh Mustafa al-Siba’ie. Oleh yang demikian buku yang berjudul, “Mengenali rasulullah s.a.w”, akan dapat membantu diri kita menghayati sirah Rasulullah s.a.w sekali gus dapat memantapkan lagi penghayatan Islam dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Dengan membaca buku ini sekurang-kurangnya akan dapat memberikan kita jawapan yang jelas mengapa penulis Barat yang bernama Michael H Hart yang menulis di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” , telah turut mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w. Dengan memahami sirah Rasulullahlah s.a.w tentunya kita dapat memperbaharui komitmen kita kepada mempelajari contoh amali kepada Islam, iaitu sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya”.

Selain dari itu wasiat seorang sahabat nabi yang bernama Saad bin Abi Waqas RA, antara lain telah menyebutkan, “Kita hendaklah mengajar anak-anak kita peperangan Rasulullah seperti mana kita mengajar mereka surah-surah al-Quran”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa sesungguhnya Rasulullah begitu hampir dengan dari kita sebebarnya kecuali kabus kemewahan dan kelalaian telah menjadi hijab atau penghalang bagi diri kita untuk mengenali Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadis mengikut al-Tabrani, daripada Saidina Ali RA , Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Didiklah anakmu atas tiga sifat, cintakan nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran. Ini kerana pembawa al-Quran berhak mendapat bayangan lindungan Arasy Allah ada hari tiada sebarang lindungan kecuali lindungan-Nya bersama para nabi dan orang-orang yang dipilih-Nya”.

Dengan membaca buku ini diharapkan akan menambangkan lagi rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sekali gus dapat memperkasa kita diri dan ummah ke arah yang lebih dinamik.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024