Tuesday, April 6, 2010

MEMAHAMI SKOP FIQH

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Pada umunya terdapat dua makna al-fiqh:
1) Makna secara bahasa : Al-Fiqh ialah kefahaman. Faham dan memahami sesuatu.

2) Makna secara istilah. Terdapat dua keadaan:
• Al-Fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan mukallaf, dengan dalil-dalilnya yang terperinci. Iaitu dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Hadis dan cabang-cabang daripada keduanya iaitu ijma' dan ijtihad.
• Al-Fiqh itu ialah hukum-hukum syariat itu sendiri.
Perbezaan antara kedua maknanya yang pertama perihal mengenali hukum-hukum syariat dengan dalil-dalilnya dan keduanya adalah hukum-hukum syariat itu sendiri. Oleh yang demikian, di sini perlu ditekankan bahawa fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat Islam dengan dalil-dalilnya. Bermaksud pengetahuan tentang hukum-hukum agama yang bersifat amali perbuatan seperti solat sebagai contoh hendaklah diketahui melalui adanya petunjuk menyuruh beramal dengan amalan sedemikian. Sebaliknya bukanlah amalan itu diketahui semata-mata kerana orang di sekitar kita amalkan seperti itu maka kita turut amalkan atau kita amalkan amalan itu mengikut cara kita tersendiri dengan mereka-reka amalan tertentu kerana kita rasa ianya bagus dan sesuai untuk kita. Mengetahui hukum dengan dalilnya adalah wajib, taklid tanpa ilmu adalah haram dan bid'ah dalam ibadah adalah haram.
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan bahawa hukum-hukum syara' itu terbahagi kepada dua iaitu:
1. Hukum yang ditetapkan langsung oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah secara jelas dan terang.
2. Hukum yang ditetapkan dengan jalan ijtihad para ulama dan fuqaha yang tetap berpedomankan Al-Quran dan Sunnah atau yang tiada nas langsung melainkan melalui qias dan sebagainya. - ( Terjemahan kitab Madkhalun lidirasatil Syari'atil Islamiyyah oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi)
Maka di sini mengetahui hukum-hukum syariat ada kalanya bersifat qathie seperti bahagian pertama dalam penjelasan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dan ada kalanya bersifat dzanni seperti bahagian kedua daripada penjelasan di atas. Himpunan daripada kedua-dua bahagian ini dinamakan hukum syariat itu sendiri sebagaimana makna kedua dari istilah fiqh.
Maka tertolaklah pendapat yang mengatakan syariat itu sesuatu ilmu yang lain dan fiqh itu pula yang lain. Kerana syariat itu adalah tujuan dan fiqh itu adalah cara mengenal hukum syariat. Tanpa fiqh kita tidak tahu atau mengenali hukum syariat.
Istilah pertama berbeza dengan istilah ushul fiqh kerana istilah ushul fiqh adalah mengenali hal-hal yang membahaskan dalil-dalil fiqh secara umum dan cara-cara menggali hukum-hukum daripada dalil-dalilnya dan membahaskan keadaan orang yang menggali hukum-hukum tersebut (mujtahid). Oleh itu jangan keliru antara ilmu fiqh dengan ilmu ushulul fiqh. Kitab Fiqh Al-Manhaji tidak membahaskan ilmu ushul fiqh tetapi ianya membahaskan ilmu fiqh]
Kaitan Fiqh dengan Akidah
Hukum-hukum syariat mengatur perbuatan dan perkataan mukallaf. Ia berhubungan dengan iman kepada Allah Ta'ala dan rukun kepada kesempurnaan akidah Islamiyah dan tidaklah akidah iman itu berkenaan dengan kepercayaan hari akhirat sahaja. Akidah keimanan itu menjadikan seorang Muslim berpegang teguh dengan hukum-hukum agama dan mengikutinya dengan usaha untuk taat. Membiasakan dengan hukum-hukum syariah adalah cabang yang keluar daripada iman yang diturunkan dan disyariatkan kepada hamba-Nya.
Kesempurnaan Hukum Syariat Meliputi Segala Keperluan Manusia
Kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai Aspek. Setiap aspek ini menentukan kebahagiaan manusia, oleh yang demikian Islam hadir bersama fiqh Islam yang bertujuan memelihara setiap aspek kehidupan manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan jauh daripada kerosakan. Kajian terhadap sumber-sumber hukum fiqh Islam menunjukkan terdapat tujuh aspek kehidupan manusia yang dipelihara agar sentiasa dalam keadaan harmoni iaitu:
• Aspek Ibadat iaitu aturan-aturan wudhu, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum hukum ibadat.
• Aspekt Kekeluargaan iaitu aturan berpasangan, penceraian, keturunan dan penyusuan, nafkah dan waris dan lain-lainnya. Ia dinamakan hukum hal keperibadian (Al-ahwal Syakhshiyyah)
• Aspek Hubungan Manusia iaitu aturan berurusan sesama manusia seperti jualbeli, gadaian, pinjaman, dan lain-lainnya. Ia dinamakan hukum mu'amalat.
• Aspek Kehakiman iaitu aturan berkaitan dengan pemerintahan seperti menegakkan keadilan, menolak kezaliman. menguatkuasakan hukum-hukum, kewajipan yang dihukum untuk taat selain dalam perkara kemaksiatan dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum pemerintah (al-ahkamus sulthaniyyah) atau pensyariatan siyasah (as-siyasahus syar'iyyah).
• Aspek Kesalahan iaitu aturan berkaitan dengan perbuatan pelaku kesalahan dan memelihara keamanan dan keteraturan seperti kesan-kesan ke atas pembunuh, pencuri, peminum arak dan lain-lainnya. Ia dinamakan al-'uqubat atau balasan daripada perbuatan salah.
• Aspek tatanegara iaitu aturan berkaitan dengan perhubungan antarabangsa, antara negara-negara lain samada da;am peperangan atau perdamaian. Dinamakan As-Siyar.
• Sudut Akhlak dan Adab iaitu aturan yang berkaitan dengan etika, kesopanan, berbuat pembaikan, dan lain-lainnya. Ini dinamakan Akhlak dan Adab.

Berdasarkan penjelasan di atas , Islam bertujuan menjaga keperluan manusia melalui pensyariatan hukum-hukum seterusnya memastikan kebahagiaan mereka. Maka setiap hukum-hukum berada dalam kadar kemampuan manusia dan ianya menjamin had sempadan kemampuannya. Hukum itu bukan sesuatu yang melemahkan manusia daripada menunaikannya dan mendirikannya. Sesungguhnya agama membuka pintu-pintu kemudahan dan keringanan, apabila didapati kesusahan yang terkeluar daripada batas-batas kemampuannya atau penyebab kepada kesusahan dan menambah keberatan, khususnya dalam keadaan tertentu.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024