Wednesday, April 14, 2010

MEMIKUL AMANAH NEGARA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Salah satu agensi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Oleh yang demikian tugas tersebut merupakan satu amanah yang besar dan yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Ternyata amanah tersebut telah dipikul dengan jayanya oleh ATM sejak tahun 1933 hingga kini dan telah menjangkau 77 tahun.

Proses menyediakan angkatan tentera yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan. Sebenarnya pembentukan angkatan tentera di sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai oleh umat Islam, adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran da;am siarah al-anfal ayat 60 yang bermaksudnya:“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”.

Dalam usaha untuk membentuk angkatan tentera yang mantap dan digeruni, tentunya terdapat kaedah atau formula yang benar-benar berkeupayaan untuk melahirkan anggota yang cekap dan berwibawa. Aspek-aspek latihan seperti mendisiplinkan anggota, melatih kecekapan menggunakan senjata, membentuk moral anggota supaya taat kepada arahan, tekun bekerja dan tidak melakukan sebarang penyelewengan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan. Namun demikian, kejayaan aspek-aspek tersebut tidak boleh dicapai tanpa ada satu lagi elemen penting dalam pembentukan diri anggota tentera. Elemen tersebut ialah elemen ‘kerohanian’ yang ada hubungannya dengan keimanan, ketakwaan, dan kepercayaan kepada agama.

Kepentingan pengukuhan nilai-nilai rohani ini perlu terus digerakkan bagi memastikan warga Angkatan Tentera Malaysia dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. Panglima Angkatan Tentera Malaysia pernah menyatakan, “ Dalam konteks latihan ketenteraan serta untuk membina profesionalisme dan pembangunan insan, aspek latihan berunsur kerohanian hendaklah dititik beratkan. Aspek ini penting bagi mengukuhkan landasan latihan supaya lebih berkesan”. Menurut Muhammad Ahmad Bashil (1989) dalam, bukunya, Politik dan ketenteraan – Perjanjian Hudaibiyyah, telah menjelaskan bahawa, usaha-usaha untuk membentuk anggota tentera yang boleh memahami tugas mereka dengan berkesan dan dalam masa yang sama menjadi hamba Allah yang taat memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang berterusan.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024