Tuesday, April 20, 2010

SOLAT TIANG AGAMA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Nabi pernah bersabda yang bermaksud, “solat itu tiang agama, dan sesiapa yang menunggalkannya ia telah meruntuhkan agamanya”. Berhubung dengan solat ini, ia bukanlah sesuatu yang baru dan asing, kerana bagi setiap orang Islam yang mukalaf yang beriman sedia maklum bahawa ibadat solat itu adalah suatu perintah yang wajib ke atas setiap individu Islam. Dalam buku “Bimbingan, penghayatan dan kesempurnaan solat “ (2009), terdapat tiga golongan yang boleh dikaitkan dengan solat, iaitu:

a. Golongan yang mengerjakan solat. Golongan yang mengerjakan solat ini pula terbahagi dua iaitu golongan yang melakukan solat dengan sempurna dan teratur, penuh khusyuk dan keikhlasan, dan ini amat dituntut, sedangkannya terdapat satu lagi kumpulan yang melakukan solat tetapi mereka mensia-siakan solat yang dilakukan. Mereka melaksanakan solat dengan cara mereka sendiri tanpa mempedulikan kesempurnaan solat. Bagi kumpulan seperti ini solat itu hanya memadai dengan berdiri, baca fatihah, tahiyyat dan salam, Hakikatnya golongan ini seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud, “akan datang kepada manusia(umat Nabi Muhammad) pada suatu zaman, dan pada zaman itu ramai orang yang merasakan mereka mengerjakan solat, sedang pada hakikatnya mereka tidak bersolat” (Ahmad 2000). Terdapat juga golongan yang mengerjakan kerana pengaruh kebiasaan dan tradisi. Oleh yang demikian kualiti solat yang dilaksanakan masih sama seperti di tahap mereka zaman kanak-kanak lagi. Mereka tidak faham apa yang dibaca dan tidak menghayati sepenuhnya solat. Ini seperti yang telah dimaksudkan oleh Allah dalam firmannya dalam Surah al-Ma‘un yang bermaksud,

“Kalau orang Yang demikian dikira dari bilangan orang Yang mendustakan ugama), maka Kecelakaan besar bagi orang ahli sembahyang- (iaitu) mereka Yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”.

b. Golongan yang tidak mengerjakan solat. Golongan ini adalah orang yang tidak mempedulikan langsung seruan azan untuk solat sama ada solat lima waktu atau solat Jumaat. Secara terang-terang mereka meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Jiwa mereka telah dihinggapi penyakit yang amat berbahaya kepada hakikat kekeramatan Islam yang mereka anuti. Keislaman mereka hanya pada majlis-majlis kenduri dan hari kebesaran Islam sahaja.
c. Golongan yang kadang-kadang mengerjakan solat dan kadang-kadang tidak mengerjakan solat. Biasanya golongan ini terpengaruh dengan rakan-rakan atau pengaruh persekitaran. Hal ini dapat dilihat apabila mereka berada dengan kawan yang tidak mengerjakan solat, maka mereka tidak melakukan solat. Terdapat juga di kalangan golongan ini yang meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan dunia semata-mata.

Berdasarkan tiga golongan yangtelah disebut, pastikan kita termasuk orang yang benar-benar solat dan memahami pengertian dan tujuan solat dengan sebenarnya.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024