Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
16 April ini KAGAT menyambut ulang tahun ke 25.Tentunyanya banyak aturcara yang telah diatur bagi merayakan kejayaan merempoh badai dan onak dalam tempoh tersebut di samping saling bertukar tugas dan tanggungjawab bagi meneruskan perjalanan yang masih belum selesai. Menyorot kembali kejayaan KAGAT dalam tempoh 25 tahun ini ternyata telah memberikan kesan yang positif terhadap kemajuan ATM seluruhnya serta turut memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan peningkatan syiar Islam di Malaysia pada umumnya. Ini terbukti dengan model KAGAT telah diterima pakai oleh agensi lain untuk menubuhkan unit agama dalam perkhidmatan mereka seperti PDRM, Penjara Malaysia, dan juga JAMAAT dalam Angkatan Tentera Diraja Brunei.
Namun demikian usaha-usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan organisasi, modul dan pendekatan dakwah juga perlu terus dilakukan. Ini bermaksud aspek pengurusan,dakwah yang merangkumi aspek modul, pendekatan atau kaedah dakwah yang dilakukan pada masa kini, perlu dilihat semula serta perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, golongan sasar dan tempat. Pendekatan ini termasuklah apa yang disebut oleh Franklin Covey ‘The 7 habits offfective people’ (2001) yang telah menyenaraikan aspek Seek First to Understand, then to be Understood. Aspek tersebut merupakan prinsip penting yang perlu dihayati oleh para pendakwah. Kegagalan memperkayakan pendekatan dakwah dan cara Islam dipersembahkan, bukan sahaja menjadikan manusia itu bosan dan menjauhkan diri apabila didekati, malah pendekatan yang tidak relevan itu bakal menjadi fitnah kepada agama. Selain dari itu, pemantapan pengurusan dakwah juga merangkumi aspek ad-die iaitu anggota dan pegawai KAGAT. Membina kualiti manusia ad-daie amat nya penting khususnya dari aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap. Sekiranya kualiti ad-daie dapat dibina sekali gus ia dapat melahirkan ad-daie yang berdisiplin serta mampu berkomunikasi dengan golongan sasar dengan sempurna serta mampu menghayati konsep ‘hikmah’. Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan ingatan Dato’ Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyarankan KAGAT meningkatkan tahap profesionalisme pendidikan Islam dan perkhidmatan keagamaan bukan sahaja kepada masyarakat tentera tetapi juga masyarakat awam.
Perlu disedari juga bahawa kini ATM sedang memasuki dimensi keempatnya atau fourth dimension Malaysia Armed Forces iaitu era transformasi yang bercirikan keupayaan bersepadu dan keupayaan pelbagai dimensi. Keadaan ini akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia beroperasi secara bersama serta dapat membina kesan sinergi yang optimum. Ciri-ciri utama yang disasarkan oleh ATM dalam era transformasi ialah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan. Oleh yang demikian evolusi transformasi keupayaan ATM ini perlu di perkasa secara menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan yang berkualiti. Ini merangkumi aspek pembangunan modal insan. Membangun modal insan dalam erti kata sebenar amat berkait rapat dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah. Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW secara menyeluruh dalam kehidupan. Pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membina insan yang terbaik dan berguna kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Dalam konteks ini anggota ATM sebagai salah satu benteng pertahanan negara perlu terus dibangunkan dengan menjadi insan yang bertakwa. Dalam hal ini Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan telah menyatakan, “Tanpa modal insan serta bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi”. (Utusan Malaysia 16 September 2009).
Ternyata dalam suasana kegemilangan menyambut jubli perak atau ulang tahun ke 25 penubuhan KAGAT ini, seluruh warga KAGAT perlu menyedari bahawa ‘perjuangan masih belum selesai’ dan Ini mengingatkan apa yang perlu disebutkan oleh tokoh dakwah Mustaffa Masyhur yang menjelaskan bahawa usaha memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada golongan sasaran dakwah perlu melepasi peringkat tertentu bermula dari memahami Islam yang dianuti dengan fahaman yang benar, tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hinggalah merealisasikan kepada merealisasikan segala isi ajarannya dengan cara yang betul dan sempurna hingga mencapai tahap para amilin dan solihin.. Jika ini mampu dilakukan, ternyata KAGAT telah menyumbang bagi mencapai matlamat untuk menjaga kepentingan Islam atas dasar Maqasid as-syariyyah dan dalam tempoh 25 tahun ini juga memenuhi keperluan tersebut yang turut merupakan misi dan visi ATM secara amnya iaitu menjaga lima perkara yang selari dengan kehendak Islam iaitu menjaga ad-din, menjaga akal, menjaga jiwa, menjaga kehormatan dan menjaga harta. Semoga KAGAT DAN ATM dapat menyumbang bagi membentuk negara Malaysia ke arah negara yang diredai dan dirahmati Allah seperti mana firman Allah, “(negeri kamu ini adalah) negeri Yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun”
Wednesday, April 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN
-------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
-
RENCANA OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL TAJUK: CABARAN DAKWAH ISLAMIAH MASA KINI Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabara...
No comments:
Post a Comment